Tuesday, March 10, 2009

Menyelak duka, seloka sesudah 8 Mac 2008

Semalam 12 Rabiulawal 1430, hari bersejarah kepada umat Islam. Di sana sini, mereka menyambut Maulidur Rasul, bagi memperingati hari kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.


Hari keputeraan ini disambut bagi mensyukuri rahmat Allah yang mengutuskan seorang pemimpin kepada umat di muka bumi ini. Allah mengutuskan Rasulullah SAW kepada umat di dunia ini untuk menjadi contoh tetapi sejauh mana umat Islam mencontohi Baginda?

Adakah sekadar mengadakan sambutan dan menyertainya tanpa mencontohi ciri-ciri peribadi mulia yang dimiliki oleh Rasulullah SAW? Perkataan, perbuatan serta keperibadian Baginda hanya diakui melalui ceramah, kuliah dan majlis tertentu tetapi dalam kebanyakan masa, umat Islam melupakannya.

Lebih-lebih lagi dalam situasi hari ini, mereka lebih mengagungkan orang tertentu daripada Nabi Muhammad SAW. Orang itu dijadikan idola. Apa yang dilakukan idola mereka, itulah yang terbaik. Mereka lebih selesa mengikuti keperibadian idola yang dipuja dan disanjung.


Maka berkecamuklah pemikiran orang kita. Hari ini, esok dan seterusnya akan ada parti politik yang mengambil sempena sambutan Maulidur Rasul ini untuk mengadakan ceramah. Tetapi ceramahnya lebih kepada politik maki hamun, caci mencaci, fitnah memfitnah dan sebagainya. Sedangkan dalam suasana sekarang, kita seharusnya merenung sejenak perjuangan Rasulullah SAW.



Jadikanlah akhlak dan ajaran Baginda sebagai contoh yang terbaik untuk diikuti. Semoga sambutan kali ini membawa pembaharuan.

Apa yang penting, bukan sekadar menyertai acara sambutan atau perarakan. Diharapkan juga perhimpunan Maulidur Rasul yang berlangsung di Dataran Merdeka Kuala Lumpur hari ini akan lebih ramai penyertaannya berbanding perhimpunan lain atau contoh paling dekat perarakan berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kelmarin (Sabtu).
Menyentuh PPSMI, perhimpunan yang diadakan pada tanggal 7 Mac telah mencetuskan suasana yang kurang menyenangkan. Khabarnya ada dalang di sebalik perhimpunan itu.

Jika sekadar untuk menyerahkan memorandum, apakah tidak ada cara lain yang lebih bijak? Apakah itu sudah menjadi hobi orang Melayu berarak di sana sini untuk menunjukkan sokongan? Kenapa tidak disampaikan dengan cara lebih baik dan bersopan?

Rendah sangatkah martabat bahasa Melayu apabila kita hanya menyerahkan memorandum di depan pintu pagar? Sebenarnya banyak pro dan kontra orang Melayu berhubung isu ini. Tetapi satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima semalam membuatkan penulis termenung sejenak.

Timbul persoalan macam filem Hang Tuah apabila Hang Tuah bertanya pada diri sendiri ''Tuah yang bersalah atau Jebat yang bersalah''.

SMS daripada seorang pelajar tingkatan 1 itu berbunyi: ''Saya melihat berita TV3 1.30 petang ini (Ahad) mengenai perarakan PPSMI. Saya tengok semuanya orang tua. Adakah mereka yang belajar PPSMI? Saya dah belajar dari awal guna dwi bahasa, bukan susah sangat, kalau tak jadi (PPSMI ditarik balik) nanti macam mana?''.

Itu pandangan daripada seorang pelajar yang sedang mengikuti PPSMI. Tetapi pandangan orang di luar lain, seolah-olah bahasa Melayu akan dihapuskan, dikapan, dimasukkan ke dalam keranda dan dikebumikan. Itulah gambaran di luar!


Apa pun, adakah ini antara tsunami kecil yang akan terus melanda negara selepas tsunami politik pada 8 Mac 2008? Mungkin.


Tetapi tsunami besar yang melanda dunia politik pada 2008 masih kekal dalam ingatan walaupun setahun berlalu. Sama seperti tsunami Disember 2004, kesannya masih ada. Dan gegaran atau gempa kecil terus menakutkan sekalipun ia tidak membawa bencana tsunami. Begitu juga dalam dunia politik hari ini.

Masih ada 'gegaran' atau 'gempa kecil' yang mencemaskan. Dalam tempoh setahun sejak 8 Mac 2008, pelbagai gegaran politik dirasai. Paling besar tentunya di Perak yang menyebabkan negeri yang diterajui pakatan pembangkang ranap.

Gegaran itu juga membawa kepada isu-isu mempertikaikan kuasa raja- raja Melayu sehingga ada yang memohon derhaka kepada Sultan, kemudian memohon pula untuk menghadap.

Tetapi tsunami kecil di Perak bukan sekadar membawa cerita duka sebaliknya banyak seloka - mengaku Menteri Besar, enggan serah rumah/kereta milik kerajaan, sidang bawah pokok, 'tanam pokok bawah pokok' dan macam-macam lagi.

Pemerintahan kerajaan pakatan pembangkang di Perak walaupun menang dengan majoriti tiga kerusi tetapi tidaklah setenang kerajaan Kelantan pimpinan Pas penggal lalu.

Kerajaan Pas Kelantan mampu bertahan sehingga tempohnya berakhir walaupun menang dengan majoriti tiga kerusi (2004)/dua kerusi (2005). Nampaknya kehebatan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat tidak mampu ditandingi seorang jurutera di Perak. Kenapa? Anda pikirlah sendiri.

Jika dilihat tempoh setahun selepas pilihan raya umum lalu, suasana politik tidaklah begitu stabil. Dalam UMNO, pelbagai cerita yang kurang enak didengar. Akhirnya Perhimpunan Agung UMNO Mac ini dijangka meleraikan segala kekusutan.

Tetapi itu pun belum pasti kerana apakah perhimpunan itu juga dijamin selamat daripada 'gegaran'? Politik wang dan perebutan jawatan diharap dapat ditangani bagaikan menarik rambut di dalam tepung.

Di negeri-negeri lain yang diperintah pembangkang juga berlaku tsunami kecil. Ada negeri yang terpaksa bertukar portfolio Exconya. Kenapa? Sama ada nak beri peluang merasai portfolio lain atau tidak menunjukkan prestasi memuaskan?

Tetapi yang pasti, memerintah kerajaan bukanlah semudah bercakap dan berceramah. Manusia mudah menabur janji tetapi untuk menunaikannya bukan kerja mudah. Menjadi kerajaan lebih sukar daripada menjadi pembangkang yang hanya bercakap untuk membantah. Lihat sahaja Pulau Pinang dan Selangor.

Perjalanan masih jauh. Setahun selepas pilihan raya umum, BN sudah hilang tiga kerusi Parlimen - dua di Sabah (sertai Bebas) dan satu di Terengganu jatuh ke tangan Pas melalui pilihan raya kecil. Satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diserahkan kepada Pas melalui proses undang-undang.

Di DUN juga, Parti Keadilan Rakyat (PKR) hilang dua kerusi di Perak (wakil rakyat sertai Bebas). Begitu juga DAP hilang satu kerusi di Perak kerana ADUNnya menyertai Bebas.

Kini tiga kerusi menjadi rebutan iaitu dua DUN (milik PKR dan BN) dan satu Parlimen, sebelum ini diwakili Pas. Apakah BN mampu merampas kembali Parlimen Bukit Gantang daripada Pas sekali gus menebus kekalahan di Kuala Terengganu?

Apakah BN mampu merampas DUN Bukit Selambau dan mempertahankan DUN Batang Air? Semuanya akan terjawab pada 7 April nanti.

Dan dalam meniti perjalanan empat tahun lagi sebelum berakhirnya tempoh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri (kecuali Sarawak) sekarang, entah berapa banyak lagi 'tsunami politik' yang akan melanda.

Terserahlah kepada manusia yang menjadi watak utama di pentas dunia ini untuk melakonkannya.