Friday, October 10, 2008

Tempat Duduk Bagi Majlis Babitkan Ceramah Tun Dr Mahathir Di Melbourne Sabtu Ini Habis Ditempah


Oleh Neville D'CruzMELBOURNE, 9 Okt (Bernama) --
Satu seminar pembangunan belia anjuran Malaysian Youths in Melbourne (MyM) di sini pada hari Sabtu ini yang turut menjemput mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai salah seorang penceramah, mendapat sambutan cukup hangat apabila semua tempat duduk bagi majlis itu sudah habis ditempah.

Presiden MyM Mohd Izhar Moslim berkata Dr Mahathir dijangka akan menampilkan pandangan-pandangannya semasa menyampaikan ceramah yang bertajuk "Cabaran-cabaran yang dihadapi belia hari ini bagi membentuk dunia akan datang".

"Semua tempat duduk bagi Dewan Sydney Myer Asia Centre di University of Melbourne di sini yang boleh memuatkan 480 orang sudah habis ditempah, dan kami ada 200 nama lagi yang masih dalam senarai menunggu," katanya.

Beliau berkata lain-lain penceramah ialah pengasas dan pengarah urusan Limitless, Jack Delosa, serta pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Mapan University of Melbourne Professor Danny Samson.

Katanya seminar itu bertujuan memberikan peluang kepada golongan muda untuk mendengar dan berbincang mengenai pandangan pemimpin-pemimpin nasional, di samping menyemai inspirasi daripada pandangan-pandangan mereka.

Tahun lepas seminar itu menjemput ahli-ahli politik terkenal Malaysia seperti Dato' Seri Annuar Musa dan Khairy Jamaluddin sebagai penceramah.MyM yang merupakan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, menjunjung usaha memupuk jati diri dan harmoni di kalangan pelajar-pelajar Malaysia menerusi aktiviti-aktiviti sosial dan kebudayaan.