Wednesday, September 9, 2009

BN mesti pertahan kerusi DUN Bagan Pinang


Pengalaman tewas enam pilihan raya kecil lalu harus jadi pedoman pastikan kebangkitan parti

999. Pilihan raya kecil yang kesembilan. Kekosongan kerusi berlaku pada September atau bulan kesembilan dan letaknya di Negeri Sembilan. Tahunnya - 2009.

Umum mengetahui angka 999 adalah nombor telefon kecemasan, namun apakah signifikannya kepada Barisan Nasional (BN). Apakah tarikan angka itu dan mengapa ia begitu penting kepada BN ketika ini.

Jika melihat dalam konteks politik, angka 999 adalah panggilan kecemasan kepada BN yang perlu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang (N31) dalam Parlimen Teluk Kemang pada pilihan raya kecil ke-9 yang bakal diadakan selewat-lewat Oktober ini.

Imej BN sebagai sebuah parti yang memerintah negara selama 52 tahun sedikit tercalar selepas menempuh lapan pilihan raya kecil `tanpa henti’ yang terpaksa diadakan selepas Pilihan Raya Umum 2008.

BN tewas dalam enam pilihan raya kecil iaitu di Parlimen Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau, Manek Urai serta terbaru Permatang Pasir. BN hanya menang di DUN Batang Air, Sarawak dan tidak bertanding di DUN Penanti, Pulau Pinang.
Oleh sebab itu, pada pilihan raya kecil ke-9 yang tarikhnya akan ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), BN sebenarnya lebih mengalami tekanan kerana akan berdepan dengan pertempuran yang lebih hebat.

Kali ini, BN bertanding bukan untuk merampas kerusi itu, sebaliknya ‘wajib’ mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang yang dimenanginya pada pilihan raya umum tahun lalu.

Maka dengan itu awal-awal lagi Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak mengingatkan pemimpin Umno dan BN supaya menjadikan pengalaman yang diperoleh pada pilihan raya kecil sebelum ini sebagai iktibar untuk mempertahankan DUN Bagan Pinang.

“Kita sudah ada banyak pengalaman dan kali ini, kerusi ini kerusi kita (BN) kerusi yang kita pertahankan, kita jadi juara bertahan dan kita akan buat segala-gala yang perlu untuk mencapai kejayaan.
“Saya berharap pengalaman pilihan raya kecil sebelum ini dijadikan sebagai iktibar kepada kita, kepada pemimpin Umno dan BN mengenai apa yang harus kita lakukan (untuk mencapai) yang terbaik,” kata Najib yang juga Presiden Umno.

Ingatan Najib itu sudah tentu ada asasnya kerana selepas Pilihan Raya Umum 2008, kedudukan BN sangat mudah diganggu gugat oleh parti pembangkang sehingga boleh mengenepikan BN begitu saja dalam enam daripada lapan pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini.

Hal ini disebabkan beberapa faktor seperti perubahan sokongan mendadak pengundi kepada pembangkang, faktor luaran dan lebih penting lagi soal kredibiliti calon. Justeru, pengalaman ketika pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir seharusnya menjadi pedoman dan ingatan kepada BN bagi memastikan ‘pisang tidak berbuah dua kali’ sehingga BN berputih mata.

Tidak hairanlah pemimpin Umno Negeri Sembilan mahu supaya pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, Umno menitikberatkan soal peribadi, latar belakang, sejarah dan pengalaman calon dalam parti dan kerajaan.

“Umno seharusnya meletakkan calon yang berpengalaman, disukai pengundi, mempunyai sejarah perkhidmatan yang cemerlang dalam parti dan kerajaan, malah yang utama lagi calon tempatan,” kata seorang bekas Exco Negeri Sembilan yang namanya digugurkan pada pilihan raya umum tahun lalu.

Namun, berdasarkan maklumat awal diterima penulis, Umno dan BN dijangka tidak akan berdepan cabaran getir sekiranya meletakkan calon yang betul-betul mempunyai kredibiliti dan yang penting sekali adalah anak tempatan.

“Ikatan ukhuwah Umno Bahagian Teluk Kemang memang tidak perlu dipertikaikan lagi, tetapi mereka berkehendakkan calon tempatan, mesra dan disenangi pengundi. Mungkin calon yang paling sesuai adalah Ketua Umno bahagian itu sendiri (Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad),” kata bekas Exco itu lagi dengan yakin.

Apa pun yang difikirkan pucuk pimpinan Umno ketika ini, pastinya soal kemenangan dan mempertahankan kerusi Bagan Pinang akan menjadi keutamaan.

Namun, seorang penganalisis politik berpendapat, Umno harus beringat kerana sebarang kesilapan silam dan rekod buruk yang dimiliki calon walaupun sudah dilupakan malah dimaafkan, akan pantas diputar belit oleh pembangkang dan ejennya yang berselindung di sebalik nama badan bukan kerajaan (NGO) seperti yang berlaku di Permatang Pasir.

Katanya, Umno perlu yakin dengan calon yang dipilih supaya mampu menangani dakyah pembangkang yang gemar melakukan kempen membunuh peribadi calon.

Pada masa sama katanya, Umno perlu sedar kurang 24 bulan sejak pilihan raya umum 2008, pengundi di tujuh kawasan menunjukkan perubahan ketara dengan menyokong pembangkang, maka tidak mustahil perkara sama boleh berulang di Bagan Pinang.

“Oleh itu, marilah sama-sama kita saksikan kuasa pengundi DUN Bagan Pinang nanti sama ada mereka masih menerima kehadiran BN dan Umno di negara ini khasnya di Negeri Sembilan atau sebaliknya,” katanya.

Rasionalnya, BN dan Umno perlu bersedia menghadapi keputusan pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang apabila pengundi mendail '999’ pada hari mengundi nanti
.



Bookmark and Share