Friday, January 9, 2009

Masyarakat dunia perlu bersatu ‘celikkan’ Yahudi


DUNIA sejagat terutama dunia Islam perlu untuk bertindak secara kolektif menentang kezaliman dan jenayah perang dilakukan Israel ke atas Palestin di Gaza. Setiap negara, khususnya negara Islam hendaklah menunjukkan bantahan di setiap dewan perundangan di negara berdaulat dengan menyatakan bahawa Israel adalah negara pengganas. Biar catatan hansard (rekod) Parlimen di setiap badan legislatif di seluruh dunia mempunyai penyataan bersama yang mengesahkan status dan mendefinisikan serta mengklasifikasikan rejim Zionis sebagai pengganas.



Tindakan rejim Zionis menyerang dan memusnahkan bangunan Parlimen di Gaza memperlihatkan bukan saja keruntuhan bangunan terbabit, malah secara simboliknya, menerusi tindakan menyerang dan memusnahkan bangunan Parlimen Palestin itu, menunjukkan satu keangkuhan Tel Aviv serta pencabulan ke atas hak kedaulatan sesebuah negara.


Dalam dunia moden masa kini, setiap negara semestinya mempunyai dewan perundangan tersendiri dan dalam konteks ini ia perlu dihormati dan dalam masa peperangan juga, bangunan yang menempatkan badan legislatif perlulah tidak diganggu gugat. Parlimen adalah simbolik kepada kedaulatan sesebuah negara. Jika Israel mampu bertindak memusnahkan bangunan Parlimen, bermakna bagi Israel, institusi perundangan Palestin tiada maknanya bagi rejim Zionis itu. Bagi saya, adalah amat mendukacitakan serta memalukan seluruh ahli badan legislatif di negara berperundangan dan berdaulat jika tindakan tegas untuk mengecam pencerobohan dan kemusnahan simbol legislatif di bumi Palestin tidak diendahkan dunia.





Maruah badan legislatif dunia seolah-olah tercabar dan tercalar jika nasib badan perundangan dan ahlinya yang juga sepatutnya menjadi rakan kepada ‘kelab ahli legislatif dunia’ tidak dipedulikan masyarakat ahli legislatif sejagat. Jika badan legislatif yang dipilih keahliannya secara demokrasi oleh masyarakat Palestin tidak dihormati Israel, apatah lagi untuk bertindak ganas dan kejam terhadap bukan saja kepemimpinan Palestin dengan Hamas menjadi mangsa, begitu juga rakyat Palestin diperlakukan dengan tidak berperikemanusiaan.



Untuk itulah, maka Israel tidak teragak-agak melakukan pencabulan ke atas hak asasi Palestin sejak sekian lama kerana bagi mereka Palestin tidak berdaulat dan bukan sebuah negara bebas yang perlu dihormati, melainkan ia dianggap sebagai jajahan Israel dan penghalang kepada kewujudan ‘Greater Israel’ itu sendiri. Dunia perlu tegas mensinonimkan secara sah bahawa Zionis adalah ideologi, tindakan, rejim mahupun sokongan kepadanya adalah pengganas dan tindakan menyokong Zionis ini adalah menyamai sokongan ke atas pengganas.



Tindakan ganas dan kejam Israel yang tanpa segan melancarkan serangan ke atas Gaza yang membunuh ribuan nyawa serta mengancam survival lebih 1.5 juta penduduk di wilayah berkenaan adalah bukti betapa rejim Zionis tidak berperikemanusiaan dan bertindak secara komprehensif melakukan jenayah perang yang tersusun. Segala tindak tanduk rejim Zionis dilihat sebagai satu penghinaan ke atas perundangan dunia. Jika lain negara menyerang wilayah lain, seperti yang dapat dilihat kecaman dunia ke atas Iraq apabila menawan Kuwait pada 1990-an dulu dan dunia bertindak menggesa pembebasan segera Kuwait dari penjajahan dan reaksi cepat Washington dan sekutunya untuk bertindak melakukan serangan balas bagi tujuan membebaskan Kuwait, dilihat sebagai satu keperluan antarabangsa.



Namun, dalam soal Palestin, Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya tidak pula memperlihatkan bahawa wujud keperluan dan komitmen bagi memerdekakan Palestin daripada belenggu taklukan Zionis. Yang penting diperlihatkan ialah apa saja yang dilakukan Tel Aviv dikatakan sebagai tindakan bersifat kepentingan nasional dan demi mempertahankan diri bagi memastikan kewujudan berterusan negara Yahudi Israel. Dana besar-besaran serta dilengkapkan dengan bantuan ketenteraan termoden segera disalurkan bukan kepada mangsa kezaliman, sebaliknya kepada pemangsa yang bertindak melakukan kezaliman. Inilah tindakan hak asasi manusia dilakukan Barat.



Yang lemah dibiar tertindas, manakala yang sedia kuat diberi lebih kekuatan bagi terus memusnahkan yang lemah. Undang-undang antarabangsa tidak dihormati dan akhirnya Israel dimanjakan dunia serta dibiarkan untuk memperlakukan apa saja yang dikehendaki terhadap bukan saja penduduk Palestin, malah mampu menyerang wilayah dan negara lain, termasuk juga Lubnan. Untuk itu, perspektif dibina pada peringkat sejagat bahawa tidak wujud sebuah negara Palestin dan yang hanya wujud ialah Israel sebagai sebuah negara.



Pada masa sama, masyarakat Arab Palestin hanya dianggap sebagai setinggan di negara tadbiran rejim Zionis itu. Inilah dogma persepsi yang dibina pelobi Yahudi di dunia Barat dan tanpa sedar, seolah-olah Israel dalam apa keadaan sekalipun dianggap lemah dan bila-bila masa mampu dimusnahkan gerombolan negara Arab sekitarnya hinggakan segala bantuan ke atas memastikan kewujudan Israel dianggap penting dan wajib bagi kepemimpinan Rumah Putih dan dunia Barat. Isu kemusnahan bangsa Arab di Palestin dipinggirkan begitu saja.



Lihat saja tindakan Barat menyenaraikan Hamas sebagai pengganas dan pada masa sama digunakan Israel untuk membelasah Hamas di Gaza. Dunia diperlihatkan bahawa dengan tindakan ketenteraan Israel ini, maka masyarakat awam menjadi korban sama seperti yang dilakukan Israel ke atas Lubnan kononnya bagi memerangi pengganas, iaitu Hizbullah sedangkan secara langsung Lubnan menjadi mangsa keruntuhan dan terkorbannya begitu ramai orang awam tidak berdosa.



Dunia hari ini tidak harus membiarkan istilah pengganas digunakan sewenang-wenangnya oleh Barat, termasuk AS dan juga sekutunya bagi menghalalkan sebarang tindakan kejam yang mampu meragut ribuan dan jutaan mangsa jika dikira sejak sekian lama. Kini nasib 1.5 juta penduduk Gaza bergantung kepada ketegasan dunia, termasuk masyarakat Arab, Islam dan masyarakat yang cintakan keamanan seluruh dunia untuk bertindak secara kolektif dan universal bagi membentuk satu jaringan mesej kepada Washington dan juga Tel Aviv bahawa kedua-dua negara ini sedang menghalalkan jenayah dan pembunuhan. Dunia harus memberikan mesej bahawa kepemimpinan Israel adalah bermoralkan jenayah.



Menjenayahkan Zionis dan rejimnya di Israel adalah perlu, sama seperti usaha menjenayahkan perang. Serangan ke atas bangunan kerajaan Palestin di Gaza termasuk Parlimen, bangunan Presiden serta juga hospital dan universiti serta sekolah termasuk kediaman penduduk adalah jelas satu tindakan jahil yang dilakukan pengganas menggunakan kapasiti negara yang tidak langsung beralaskan kepada peraturan serta perundangan antarabangsa. Akibatnya, pencabulan hak awam serta juga hak asasi manusia tidak dipedulikan kerana aspek terbesar perundangan dunia antarabangsa juga dicabuli tanpa sekatan dan tindakan sekatan oleh masyarakat dunia mampu dilakukan terhadap rejim Zionis terbabit.



Dalam perspektif Zionis, perundangan antarabangsa adalah hanya terakru kepada lain-lain negara dunia dan Tel Aviv terkecuali, kerana kononnya yang diperangi adalah pengganas. Maka, atas alasan itu, tindakan ganas rejim Zionis diperundangkan secara sah dan benar. Ini memperlihatkan strategi bijak Zionis untuk mengaburi mata dunia antarabangsa, terutama bagi negara di Barat dengan meletakkan label terlebih dulu sebelum serangan dilakukan secara besar-besaran dan tersusun.



Masyarakat Israel juga perlu keluar daripada doktrin Zionis yang dipegang sejak agenda menubuhkan Israel dilakukan. Jika doktrin Zionis berjaya dibuang masyarakat Yahudi seluruh dunia dan oleh warga Israel itu sendiri, maka dunia akan kembali aman selamanya tanpa konflik dan Israel serta Palestin mampu hidup bersama tanpa pertentangan berdarah. Kini dunia perlu melihat bahawa usaha mematahkan ‘ego Zionis-Tel Aviv’ adalah satu usaha sejagat yang perlu merangkumi masyarakat yang cintakan keamanan di dalam negara Israel itu sendiri dan juga di dunia Barat serta disokong oleh masyarakat sejagat seluruhnya.



Umat Islam yang mendiami seluruh negara di dunia ini perlu bertindak sebagai ejen pelobi kepada kerajaan di negara masing-masing untuk ‘menjenayahkan Zionis’ bagi menyekat tindakan kejam Tel Aviv. Masyarakat di Malaysia tanpa mengira ideologi perlu bersama mengutuk tindakan Israel yang sedang memerangi komuniti lemah di Palestin.



Jika setiap negara di dunia ini tanpa mengira kerajaan mahupun pembangkang dapat bersama-sama memberikan mesej kepada Tel Aviv dan Washington bahawa dunia seluruhnya mengecam tindakan ganas dan menaja keganasan juga perlu dihentikan, maka mudah-mudahan kepemimpinan baru Washington yang bakal dipimpin Barack Obama mungkin dapat sekurang-kurangnya mendisiplinkan anak manjanya, Israel

Jentera BN tingkat kempen SMS, internet


KUALA TERENGGANU: Jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) diminta meningkatkan kempen terutama menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) menjelang hari mengundi pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini.


Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berkata jentera pilihan raya BN sedang mengumpul semua nombor telefon pengundi muda di Parlimen Kuala Terengganu dan bahan kempen akan dihantar melalui SMS, selain internet.


Katanya, SMS digunakan kerana lebih mudah difahami dan diterima golongan muda bukan saja berada di kawasan Parlimen Kuala Terengganu, malah pengundi berdaftar di luar negeri ini.


"Kita sudah arahkan jentera pilihan raya BN yang berkampung di kawasan Parlimen Kuala Terengganu supaya menggandakan usaha berkempen sehingga ke hari pengundian, terutama mengedarkan bahan kempen melalui SMS," katanya selepas menghadiri Majlis Menjana Modal Insan Terbilang di Dewan Gemilang Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Kapas, di sini, semalam.


Selain calon BN Parlimen, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, hadir sama Guru Besar SK Gong Kapas, Hafsah Mohamad dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG), Raja Ghazali Abdul Rahman.



Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau, berkata jika dilihat pada trend pengundi muda, sokongan dan kecenderungan mereka kepada calon BN dan Pas sama, tetapi BN memiliki kelebihan kerana Wan Ahmad Farid masih muda jika dibandingkan calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut.



Katanya, Wan Ahmad Farid adalah bekas Exco Pergerakan Pemuda dan pernah memegang jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, selain memahami kehendak golongan muda.

Thursday, January 8, 2009

Natijah polisi tanah Perak


Akhirnya teka-teki sama ada Kerajaan Negeri Perak akan melaksanakan polisi yang diumumkan sebaik-baik berjaya menerajui kerajaan negeri itu dulu, terjawab juga. Menteri Besar menyerahkan milik kekal kepada 11 orang kumpulan pertama penduduk kampung baru Cina di Kampung Baru Kuala Rui, Grik.



"Banyak lagi akan diluluskan," katanya. Sudah tentu kerana terdapat 134 buah kampung baru Cina di seluruh negeri Perak, yang terdiri daripada kira-kira 10,000 buah keluarga. Dan sudah tentu keputusan serta pelaksanaan polisi tersebut akan memberikan impak yang besar ke atas landskap pemilikan tanah di negeri tersebut.



Kalau pengumumannya dulu menimbulkan kejutan kepada penduduk Perak serta peneliti undang-undang tanah, kini ternyata Menteri Besar Perak benar-benar menyimpang daripada konvensi. Seolah-olah pemberian pajakan (lease hold) kepada penduduk-penduduk kampung baru Cina tidak mencukupi, Menteri Besar merasakan mereka perlu diberikan hak milik pegangan bebas (free hold) pula.



Ada dua natijah yang terkesan daripada pelaksanaan polisi tanah Perak. Pertama, apakah rasionalnya polisi tersebut dilaksanakan?



Untuk menjawab soalan ini kita harus bertanya asal-usul penduduk kampung-kampung baru Cina?



Kita hanya perlu menoleh sedikit ke dalam lipatan sejarah, yakni kira-kira enam puluh tahun dulu, iaitu ketika bermulanya zaman darurat. Fakta menunjukkan bahawa penduduk asal kampung-kampung baru Cina terdiri daripada penyokong-penyokong tegar pengganas komunis.



Atas fakta itulah pihak Inggeris berpendapat cara yang terbaik untuk menangani masalah tersebut ialah dengan mengasingkan mereka. Tindakan itu bertujuan memutuskan hubungan langsung antara pengganas komunis yang berada di dalam hutan, dengan penyokong-penyokong, dan tali barut mereka yang berada di luar.



Dengan cara ini pergerakan mereka dapat dikawal dan keluar masuk ke penempatan baru tersebut dikawal selia oleh tentera. Dengan pengasingan ini, iaitu melalui penubuhan kampung-kampung baru Cina, didapati bekalan makanan (food dumps) yang diletakkan di pinggir-pinggir hutan semakin berkurangan.



Akhirnya penentangan bersenjata komunis yang dipimpin oleh Chin Peng menjadi lemah dan akhirnya mati meragan di tengah hutan.



Kedua, ia menjadi suatu ironi sejarah yang malang. Akhirnya orang yang menentang kerajaan secara terang-terangan (walaupun pernah menyokong pengganas komunis) dianggap layak diberikan hak milik pegangan bebas.



Apakah hebatnya golongan ini daripada kaca mata Kanun Tanah Negara, maka keistimewaan harus dianugerahkan kepada mereka? Ya, apakah istimewanya penduduk-penduduk kampung baru Cina di mata Menteri Besar Perak?



Takrif dan persepsi perubahan ada bermacam-macam. Namun janganlah "mengubah, kerana semata-mata ingin mengubah", walaupun yang baru itu lebih teruk daripada yang lama.



Kalau dilakukan tinjauan kecenderungan politik secara rambang, kita dapati sebahagian besar, kalau pun tidak semua, kampung-kampung baru Cina memilih parti-parti pembangkang secara berterusan pada setiap pilihan raya umum. Inikah keistimewaan yang dikaitkan dengan kampung-kampung baru Cina?



Dan apabila pakatan parti pembangkang meraih kemenangan, maka mereka terdesak untuk 'membalas budi' yang telah sekian lama ditabur oleh penduduk-penduduk kampung baru Cina. Ketika kedengaran suara yang berteriak: "Now we have a place to call home", dirasakan ia bernada sindiran, sumbang dan naif.



Di manakah mereka tinggal selama ini? Adakah wujud sebarang percubaan kerajaan negeri untuk menghapuskan kampung-kampung baru Cina di Perak?



Apa sebenarnya muslihat Kerajaan Perak yang tergesa-gesa mengeluarkan hak milik pegangan bebas kepada penduduk-penduduk kampung baru Cina? Bidalan orang tua memang tepat - "Si lemah makanan si kuat, si bodoh makanan si cerdik." Dengan enam kerusi Pas berbanding dengan 18 kerusi DAP, umum sudah tahu siapa sebenarnya yang memegang tampuk pemerintahan negeri Perak Darul Ridzwan.



Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perak, Nga Kor Ming menambah, "Kami menjamin memberikan mereka hak milik pegangan bebas, dan hak milik baru ini ialah 999 tahun, dan nilai hartanah akan naik berlipat ganda."



Mengikut Seksyen 76 (a) Sub-seksyen (iii) Kanun Tanah Negara, hak milik pegangan bebas hanya diberi dalam tiga keadaan sahaja:
a) Kerajaan Persekutuan, atau penguasa awam,
b) Untuk kegunaan awam, dan
c) "Sekiranya Pihak Berkuasa Negeri berpuas hati wujud keadaan-keadaan istimewa yang menyebabkan ia perlu berbuat demikian."



Keputusan kerajaan negeri secara "tidak menyempat-nyempat" mengeluarkan hak milik pegangan bebas kepada penghuni kampung-kampung baru Cina di Perak tidak lain tidak bukan bertujuan mengekalkan sokongan politik pengundi-pengundi di kampung-kampung baru Cina seperti di Gunung Rapat, Pasir Pinji dan Pasir Puteh terhadap mereka.



Alasan untuk mengutip premium adalah remeh, dan tidak pernah menjadi isu bagi kerajaan Perak. Sekarang, dengar khabar kerajaan negeri ingin menumpukan perhatian kepada tanah pertanian pula. Kononnya untuk menyelesaikan backlog permohonan. Baguslah begitu, tapi harap-harap janganlah tanah-tanah kerajaan yang sudah diteroka secara haram di pinggir-pinggir hutan, juga dihadiahkan hak milik.



Kebanyakan tanah-tanah ini ditanam dengan kelapa sawit dan getah dan diteroka oleh mereka yang punya modal besar. Sekiranya dibuat bancian, luas kawasannya boleh mencapai ribuan ekar.



Lazimnya portfolio tanah tidak pernah diserahkan kepada ahli Exco lain dan ia dipegang sendiri oleh Menteri Besar. Apakala ketahuan bahawa Menteri Besar menyerahkan hampir setiap urusan tanah kepada wakil DAP, apatah lagi yang menyangkut isu-isu kontroversi, sudah pasti hal ini akan menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan orang Melayu.



Almaklumlah apa juga tanah yang hendak dianugerahkan kepada sesiapa sekalipun, ia merupakan cebisan-cebisan daripada apa yang disebut sebagai Tanah Melayu, dan bukan tanah Inggeris, atau pun tanah orang lain.



Kerajaan negeri yang memerintah hanya diberikan amanah untuk mentadbirkan tanah tersebut, dan pendapat penasihat undang-undang negeri hendaklah diminta, bagi sebarang keputusan yang melibatkan perundangan.



Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri mengingatkan bahawa tindakan yang dilakukan oleh kerajaan negeri Perak bertentangan dengan keputusan Majlis Tanah Negara. Namun nasihat tersebut ternyata masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.



Kerajaan Pakatan Rakyat masih bertegang urat dan menegaskan kerajaan negeri mempunyai kuasa. Apakah kerajaan Pusat tidak punya kuasa? Dan bukankah negeri Perak masih berada dalam Malaysia?



Dalam hal ini penulis teringatkan seorang teman politik lama yang tidak kurang hebatnya. Beliau bukan saja seorang jurutera yang handal, bahkan juga tidak buta sejarah dan budaya. Kata beliau, kalau hendak berbudi pun ada tertibnya. Beliau lalu mengingatkan saya kalau hendak berbudi pun janganlah sampai "Kera di hutan disusukan, anak di ribaan mati kelaparan."



Kepada Datuk Seri Mohamed Nizar, kalau boleh, tengok-tengoklah pepatah- petitih nenek moyang kita. Ada serangkap yang cukup menarik untuk dihayati di dalam kemelut politik semasa:
Ikut cakap musang
Makan buah belolok
Ikut cakap orang
Terjun masuk lubuk!

Wednesday, January 7, 2009

Perak lingkup Yop....

Makin banyak kekalutan melanda beberapa negeri pimpinan pakatan pembangkang antaranya di Perak. Kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Mohamad Nizar Jamaluddin terus dikecam banyak pihak kerana satu demi satu keputusan yang mencetuskan kemarahahan.


Yang paling panas ialah isu pemberian tanah hak milik kekal kepada penduduk kampung baru yang telah dimulakan minggu ini.Tindakan tersebut bercanggah dengan arahan kerajaan pusat yang mahu proses pemberian itu ditangguhkan kerana ia adalah di bawah kuasa Majlis Tanah Negara (MTN) .



Yang menjadi persoalan mengapa keistimewaan diberikan kepada penduduk kampung baru yang didiami oleh rata-rata kaum Cina? Malah sekolah swasta Cina turut diberikan tanah yang luas kononnya untuk membantu mengumpul dana.



Kenapa status yang sama tidak diberikan kepada penduduk kampung-kampung tradisional dan rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) seperti yang dibangkitkan oleh ADUN Pangkor, Dr. Zambry Abdul Kadir?



Sekolah agama termasuk milik persendirian yang daif, tidak pula diberi perhatian istimewa.



Persoalannya di mana keadilan dan apa kebijaksanaannya?



Ternyata Nizar menggunakan politik tanah untuk meraih sokongan bukan Melayu. Tidak sampai setahun memerintah, beliau telah menyerahkan terlalu banyak tanah kerajaan, yang belum pernah berlaku dalam sejarah negara.



Desas-desus politik di Perak mengisahkan Nizar mudah mengikut telunjuk parti sekutu pembangkang terutama DAP. Dengan kata lain, beliau tidak mempunyai keberanian politik. Sama ada ia benar atau tidak, Awang tidak pasti tetapi berdasarkan perkembangan semasa, ada asas untuk mempercayainya.



Berdasarkan maklum balas, ramai orang Perak yang kecewa dan marah terhadap beliau. Malah Awang kerap menerima SMS daripada beberapa kenalan di Perak yang merintih atas apa yang berlaku. Salah satu SMS dari seorang bekas tentera berbunyi ‘‘Perak lingkup Yop, banyak tanah sudah tergadai.”



Golongan yang sepatutnya mendapat tanah terutama bekas tentera dan polis sebagaimana tradisi ketika era kepimpinan BN di Perak, sudah tidak lagi mendapat keistimewaan itu. Apakah jasa dan pengorbanan bekas tentera dan polis tidak dekat di hati Nizar atau beliau tidak memberi perhatian sedemikian kerana tiada telunjuk DAP?

Tuesday, January 6, 2009

PAS Perak ikut telunjuk DAP


Kerajaan Negeri Perak makin celaru.Belum habis kemarahan orang Melayu dengan sikap MB Perak yang berat sebelah kepada kaum pemakan babi, kini satu lagi tindakannya membuatkan orang Perak terutamanya Melayu mengeluarkan perkataan "celaka MB" kepada beliau.




Menurut Utusan Malaysia, 5hb Januari 2009, 700 buah premis tadika KEMAS di Perak diarah tutup oleh kerajaan negeri dan kira-kira 13000 murid tadika akan terjejas dan ramai guru KEMAS yang mungkin kehilangan perkerjaan.

Tindakan ini jelas sangat kejam yang menjadi kronologi kepada pemerintahan zalim Pak Nizar si anjing DAP ini ke atas Melayu Perak.Ini jelas menunjukan bahawa kerajaan Perak dan Pakatan Rakyat amat tidak prihatin kepada kesejahteraan rakyat malahan hanya memikirkan kebusukan hati mereka kepada Barisan Nasional.











Seteruk-teruk BN sekalipun, semasa pemerintahannya di Perak dan kini di negeri-negeri lain, tidak pernah mereka meminta supaya tadika PASTI milik PAS ditutup.Jesteru, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah TS Muhammad Muhd Taib telah mengeluarkan kenyataan bahawa Pak Nizar dan kerajaan negeri sangat KEJAM!.


Semoga Allah akan memberi balasan setimpal kepada Nizar dan kawan2 lanunnya itu. Kekejaman mereka ini pasti akan mendapat balasan satu hari nanti.Melayu Perak, sedarlah.. tahun 2009 kini kita sudah hilang tanah dan tadika KEMAS, nanti sehingga 2013, apa lagi yang tinggal buat kita semua?

Persoalannya: Siapa yg sebenarnya berkuasa di Perak?

Monday, January 5, 2009

Melayu jangan cepat melenting

Isu ketuanan Melayu yang dijaja oleh pemimpin-pemimpin politik Melayu atau dijolok oleh pemimpin bukan Melayu tidak kira di kalangan pemimpin UMNO, kerabat pimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) mahupun oleh pemimpin-pemimpin parti pembangkang telah mencetuskan perasaan muak dan menyampah yang amat sangat terhadap politik dan orang politik.

Rakyat yang rasional dan tidak pernah teruja mahupun tergugat oleh soal ketuanan Melayu semakin bertambah jelik dengan retorik politik perkauman yang cuba menjebak mereka dengan prejudis dan persengketaan di antara satu sama lain.

Fitrah dan tabii kemanusiaan selalunya cenderung untuk memberikan penghormatan kepada sesiapa sahaja yang cemerlang. Bangsa yang berilmu, maju, kuat dan menguasai ekonomi akan dihormati dan ditakuti.

Bangsa yang inovatif dan gigih mencipta, melahir dan membina tamadun akan menjadi bangsa rujukan dan dipandang tinggi manakala bangsa yang beradab, berdisiplin, bersih, rajin dan amanah akan sentiasa dimuliakan berbanding dengan bangsa yang dikaitkan dengan kemiskinan, kemunduran, kedaifan dan sifat-sifat pemalas.

Kerana itu, pemimpin Melayu yang hanya berbangga dan taksub dengan ketuanan Melayu tetapi enggan berusaha untuk menjadikan Melayu sebagai tuan dalam erti kata yang sebenar yakni yang menguasai, berjaya dan berada di hadapan dalam setiap aspek kehidupan berbanding dengan bangsa yang bukan tuan sesungguhnya adalah musuh terbesar kepada ketuanan Melayu yang hendak dipertahankan itu.

Dalam konteks perbincangan ini, adalah malang untuk pemimpin Melayu yang berbangga menjadi tuan dengan hanya bersandarkan sejarah dan Perlembagaan Persekutuan itu akhirnya terpaksa berhempas-pulas dan terpekik-terlolong meminta supaya mereka tetap dipanggil tuan tanpa mampu berbuat apa-apa untuk menterjemahkan makna ketuanan selain daripada membuat bantahan ataupun membuat kenyataan berapi-api di dalam akhbar.

Diasak oleh pelbagai cabaran dan tuntutan zaman yang berubah, bangsa Melayu sesungguhnya tidak boleh mengharapkan Datuk Seri Hishamuddin Hussein untuk menghunuskan keris bagi mempertahankan ketuanan Melayu.

Orang Melayu juga tidak boleh terus mengharapkan pemimpin dan intelektual Melayu sekali lagi bersidang atau berkongres dan seterusnya menghasilkan puluhan resolusi untuk menegakkan ketuanan Melayu.

Sebaliknya orang Melayu harus berusaha sepenuh tenaga untuk menjadi tuan yang menguasai ekonomi dengan menerajui bank dan institusi-institusi kewangan; memimpin dan menguasai industri besar, kecil dan sederhana; mendominasi kegiatan peruncitan, perdagangan dan pemborongan; ke hadapan di bidang ilmu, sains dan teknologi di samping menjadi amat produktif di bidang pertanian, ternakan serta lain-lain bidang perekonomian.

Akhirnya tanpa perlu berperang atau terpaksa membuka kitab sejarah mahupun merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu akan dihormati sebagai tuan yang tidak lagi bergantung kepada belas ihsan dan subsidi daripada bangsa yang lain.

Orang Melayu sebenarnya tidak lagi boleh kekal seperti tebuan yang hanya garang apabila diganggu tetapi kembali leka mengulit sarangnya yang rapuh di zon selesa apabila keadaan kembali tenang.

Untuk berlaku adil, UMNO sebagai parti teras Perikatan dan BN yang tidak pernah luntur dengan iltizam ketuanan Melayu telah mendapat peluang sejak awal kemerdekaan sehingga sekarang untuk membela dan membina Melayu sebagai tuan yang berjaya dan dihormati di tanah air ini.

Berapa banyak peruntukan kewangan, tenaga dan usaha dicurahkan melalui pelbagai dasar dan projek yang dipertanggungjawabkan pelaksanaannya kepada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang diterajui oleh mereka yang berbangsa tuan tetapi masih gagal menjadikan orang Melayu sebagai kaum yang terunggul dan termaju di negara ini.

Hakikat inilah yang sepatutnya diterima dengan penuh insaf untuk mengolah perjuangan kita pada masa hadapan.

Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebenarnya telah banyak menyumbang kepada pembelaan nasib orang Melayu dan bumiputera. Melalui DEB kita telah melahirkan begitu ramai Melayu dan bumiputera yang terpelajar dan kemudiannya muncul sebagai pentadbir, pengurus, teknokrat dan profesional yang cukup berjaya.

Pada masa yang sama DEB juga telah menyingkap pemikiran dan pandangan hidup orang Melayu serta bumiputera untuk mempertingkatkan keupayaan mereka di bidang ekonomi. Muncullah golongan Melayu Baru yang berjaya di sektor korporat dan lain-lain bidang keusahawanan biarpun peratusannya masih kecil berbanding dengan bukan bumiputera.

Dinilai daripada kejayaan pelaksanaan DEB, tentulah tidak ada sebab untuk bangsa Melayu menjadi terlalu pasrah dan emosional dengan provokasi orang lain terhadap ketuanan Melayu.

Retorik
Daripada kita membuang masa dengan retorik politik, adalah lebih wajar untuk kita mengutip segala kekuatan dan menyusun semula agenda pemerkasaan ekonomi Melayu dan bumiputera.

Tumpuan seharusnya diberikan untuk memperbaiki terlalu banyak kelemahan serta pembaziran wang dan tenaga yang dicurahkan untuk memajukan sektor pertanian yang merupakan sektor di mana majoriti bangsa tuan yakni bangsa Melayu dan bumiputera terlibat.

Harus diakui kita mungkin telah berjaya membangunkan infrastruktur pertanian tetapi masih gagal menjadikan sektor ini sebagai sektor yang produktif dan menguntungkan. Padi yang dihasilkan oleh pesawah 'bangsa tuan' masih rendah berbanding dengan hasil yang diperoleh oleh pesawah bukan bangsa tuan walaupun begitu banyak input pertanian seperti baja, benih dan lain-lain bantuan disediakan oleh kerajaan.

Biarpun negara terpaksa berbelanja besar mengimport hasil-hasil pertanian dan barangan makanan, kita juga masih gagal menyusun semula industri asas tani di negara ini bagi membolehkan bil import yang amat besar ini diolah menjadi peluang besar kepada petani-petani untuk mengeluarkan hasil pertanian sekali gus meningkatkan pendapatan mereka berkali ganda.

Kenapa kita masih gagal melakukannya adalah suatu persoalan yang sebenarnya lebih mendesak untuk difikirkan oleh cendekiawan Melayu daripada mereka membuang masa menghasilkan puluhan resolusi tentang ketuanan Melayu yang sebahagiannya tidak lebih daripada pengulangan hujah-hujah yang tidak membawa kita ke mana-mana.

Di bidang keusahawanan, kita juga telah memiliki sebuah kementerian yang diberikan tanggungjawab khusus untuk melahir dan membina usahawan yakni Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Begitu banyak program, latihan, kursus, skim dan dana pembangunan usahawan disediakan melalui Tekun selain daripada dana francais melalui Perbadanan Nasional atau PNS.

Di bidang peruncitan kita juga mempunyai Tabung Prosper untuk membantu usahawan peruncitan di bawah kelolaan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd.

Di bidang latihan kemahiran, kita juga mempunyai Giat Mara, Institut Kemahiran Mara di samping Institut Latihan Perindustrian dan ADTEC di bawah Kementerian Sumber Manusia serta Institut Kemahiran Belia Negara di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Selain itu, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melalui pelbagai jabatan dan agensi juga telah mengetengah dan menawarkan pelbagai program, projek, skim dan insentif untuk meningkatkan taraf hidup rakyat luar bandar yang juga rata-ratanya adalah daripada kalangan bangsa tuan.

Namun begitu kita masih terus dihadapkan dengan persoalan-persoalan lama. Kenapakah anak-anak bangsa tuan masih tercungap-tercungap di bidang keusahawanan? Kenapakah bangsa tuan masih tidak mampu memecahkan tembok dunia peruncitan dan pemborongan yang masih dimonopoli oleh bangsa bukan tuan?

Mengapakah anak-anak bangsa tuan yang dilatih di pelbagai institusi latihan kemahiran akhirnya hanya berminat bekerja di bengkel milik bangsa bukan tuan dan bukannya membuka sendiri bengkel memperbaiki kereta motor, hawa dingin, ekzos, tayar dan sebagainya?

Kenapakah juga dalam keadaan begitu banyak Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Milik Kerajaan (GOC) yang kuat dan berpengaruh dan diterajui oleh anak-anak bangsa tuan, tidak ramai usahawan bangsa tuan yang dapat berteduh di bawah kumpulan Petronas, PNB, TNB, Telekom dan Khazanah Holdings berbanding dengan usahawan-usahawan bukan bangsa tuan?

Percayalah, isu ketuanan Melayu yang cuba dijuarai oleh sebilangan pemimpin Melayu adalah isu bermusim yang akan berakhir tanpa menghasilkan apa-apa.

Provokasi oleh pemimpin bukan Melayu juga sebenarnya tidak menjejaskan apa-apa kerana matlamatnya juga jelas iaitu untuk meningkatkan harga pasaran politik individu berkenaan pada kaca mata kaumnya.Sesungguhnya di hadapan kita masih berdiri cabaran tentang bagaimana perlu kita memperbaiki kelemahan kita sendiri untuk membela nasib Melayu dan bumiputera.

Kita mempunyai segala kekuatan dan peluang yang gagal dimanfaatkan selama ini kerana kita lebih cenderung untuk melenting, mengamuk dan memberikan reaksi berlebih-lebihan apabila munculnya apa yang dianggap ancaman daripada orang lain.

Dalam keadaan doktrin politik yang mempercayai bahawa orang Melayu akan terus menyokong UMNO dan BN selagi mereka bergantung kepada kerajaan telah pun dirobohkan dalam PRU ke-12, pemimpin dan bangsa Melayu perlu menghadapi cabaran bukan dengan emosi dan retorik.

Sebaliknya, kita perlu merevolusikan pemikiran dan tindakan kita supaya dalam tempoh 11 tahun menjelang 2020, bangsa Melayu benar-benar dapat menjadi bangsa yang berjaya menyelesaikan dilema dan penyakit yang selama ini memundurkan kita.

Sama ada kita akan dapat terus menjadi tuan ataupun tidak, jawapannya akan berbalik kepada pemimpin dan orang Melayu sendiri.

Polemik ketuanan Melayu dan kelantangan suara untuk mempertahankan ketuanan Melayu tidak akan bererti apa-apa sekiranya kita masih dengan sikap, pendekatan dan cara tindakan yang lama.

Sebaliknya, jika Melayu itu bangsa yang benar-benar jantan dan berani, ayuh mari kita letakkan cabaran untuk keluar dari bayang-bayang perlindungan sejarah dan hak-hak keistimewaan Melayu supaya selepas tahun 2020 ketuanan Melayu nanti adalah ketuanan yang bertunjangkan kecemerlangan, kehebatan dan kekuatan bangsa kita yang hakiki.

Sunday, January 4, 2009

Pentingnya menghayati sejarah

ORANG cerdik pandai selalu berkata, sejarah adalah guru terbaik untuk mendidik manusia menjadikan sesuatu yang lalu sebagai teladan atau sempadan. Sejarah adalah kebijaksanaan silam yang boleh dimanfaatkan untuk menongkah masa depan.
Andaian yang mengatakan sejarah tidak relevan dengan masa kini dan akan datang adalah disebabkan persepsi sempit terhadap sejarah. Andaian ini tercetus apabila sejarah difahami sebagai himpunan tarikh-tarikh dan peristiwa-peristiwa luput yang terpisah dengan realiti sosio-budaya dan politik semasa.

Kerana tidak memahami sejarah juga misalnya, ada sesetengah pihak menafikan banyak perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Kewujudan Perlembagaan Persekutuan itu satu sejarah besar negara ini. Malah kerana tidak menghayati sejarah juga membuatkan sesetengah pihak menanggapi sesuatu isu yang melibatkan kaum terkeluar daripada kerangka sejarahnya. Mereka tidak melihat sejarah sebagai asas untuk memberi dan menerima dalam sesuatu perkara. Maka asas perpaduan di negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah memahami, menghayati dan memanfaatkan sejarah.

Dalam konteks ini langkah Kementerian Pelajaran menimbang untuk menjadikan sejarah sebagai satu subjek khusus adalah suatu yang proaktif. Pengumuman menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk memberikan penekanan subjek sejarah di peringkat sekolah rendah dilihat satu anjakan besar untuk melahirkan generasi yang tahu menghormati dan menghayati sejarah negara.

Ketika ini subjek sejarah agak terpinggir disebabkan tidak menjadi subjek khusus. Malah di peringkat sekolah rendah, sejarah hanya diperkenalkan pada tahun empat. Sementara di peringkat menengah pula pendekatan pembelajaran sejarah kelihatan tidak dinamik, masih dengan pendekatan menghafal tarikh-tarikh dan peristiwa tertentu kecuali di peringkat tingkatan enam.

Banyak tanggapan sebelum ini bahawa subjek sejarah gagal menarik minat pelajar berbanding subjek lain. Tanggapan ini barangkali ada benarnya kalau pendekatan tidak diubah supaya lebih interaktif dan mengesan wujudnya elemen-elemen dinamik daripada sejarah. Sekarang ini seorang pelajar boleh memilih sama ada belajar bersungguh-sungguh atau sambil lewa terhadap subjek sejarah. Ini kerana subjek ini tidak memberikan apa-apa kesan terhadap keputusan dalam peperiksaan khususnya di peringkat menengah.

Perpaduan
Kita kena mengakui bahawa sejarah sesebuah negara adalah akar tunjang sesuatu bangsa. Kerana itu subjek sejarah sememangnya kunci perpaduan dan persafahaman antara kaum di negara ini. Tetapi agak malang apabila tidak ada pihak yang bangkit dan membetulkan pendekatan pengajaran sejarah supaya tidak dianggap sebagai "melihat kembali benda-benda mati."

Dengan anjakan besar yang dibayangkan oleh Hishammuddin, banyak sejarah kegemilangan silam serta peninggalan khazanah intelektual orang-orang Melayu akan ditampilkan kepada generasi muda masa kini. Pengajaran subjek sejarah mesti bermula di peringkat awal yakni di sekolah rendah. Semua ini bertujuan mengubah persepsi bahawa sejarah bukan belajar tentang "benda-benda mati" atau menghafal tarikh-tarikh yang tidak relevan dengan keperluan semasa.

Mempelajari subjek sejarah adalah menyelongkar atau menyusuri lapis demi lapis kebijaksanaan silam. Kegagalan mengenal sejarah yang berkaitan dengan negara sendiri akan melunturkan kecintaan kepada tanah air. Definisi subjek sejarah bukan saja mengingati beberapa tarikh penting, peristiwa tertentu malah tokoh- tokoh yang bertanggungjawab melakukan anjakan pemikiran kepada bangsanya pada zaman lampau.

Sejarah mengenai orang Melayu dan dunia Melayu bukanlah sekadar kebangkitan dan kejatuhan empayar Sri Vijaya, Majapahit, Sumatera-Pasai, Melaka atau Johor-Riau. Sejarah Melayu mengenai sumbangan para intelektual silam yang terus relevan hingga kini.

Maka persepsi tentang pembelajaran dan pengajaran subjek sejarah boleh di atasi sekiranya kita kembali menoleh sumbangan intelektual tokoh-tokoh seperti Munshi Abdullah yang menulis Hikayat Abdullah dan Hikayat Pelayaran Abdullah pada zaman Stamford Raffles. Jangan lupa, Munshi Abdullah pernah dianggap oleh sesetengah orang Melayu sebagai "Budak Raffles" kerana mengkritik sikap sesetengah orang Melayu. Munshi Abdullah dianggap pengkhianat Melayu kerana kritikannya yang tajam itu.

Tetapi sejarah juga membuktikan Munshi Abdullah bukan pengkhianat apabila intelektual Melayu selepasnya daripada kalangan nasionalis menulis perkara yang sama mengenai masalah orang Melayu.

Dalam konteks yang lebih luas, subjek sejarah perlu bebas daripada kepungan fahaman politik yang sempit. Ini merugikan kerana disebabkan berbeza fahaman politik, sesetengah tokoh dalam sejarah bangsa dipadamkan dari senarai khususnya setiap kali ulang tahun kemerdekaan negara.

Mempertahankan
Kementerian Pelajaran mesti mempertahankan langkah menjadikan sejarah sebagai subjek khusus di peringkat rendah dan juga menengah. Kita tidak mahu ada kalangan generasi muda yang lebih kenal sejarah negara lain daripada tanah air bertuah tempat mereka berteduh ini. Kalangan bukan Melayu khususnya mesti diperjelaskan bahawa mengkaji sejarah negara ini tidak boleh dipisahkan daripada melihat sejarah orang Melayu.
Sejarah negara adalah sejarah Melayu yang bersifat kebangsaan yakni meliputi semua kaum. Ini sama dengan perjuangan kemerdekaan yang digerakkan oleh nasionalis Melayu, tetapi ini perjuangan kebangsaan untuk semua kaum. Sejarah negara ini tidak boleh dipisahkan daripada tiga perkara; orang Melayu, institusi Raja-Raja Melayu dan agama Islam.

Kalau kembali kepada sejarah, sudah tentu tidak wujud prasangka antara kaum di negara ini kerana sejarah telah menggariskan hak masing-masing tanpa berkorban apa-apa atau mengambil apa-apa daripada orang lain. Apabila mereka tahu sejarah asal usul masing-masing, tidak timbul lagi sekian banyak tuntutan yang tidak masuk akal.

Saturday, January 3, 2009

Jangan lihat dari sudut sempit

Pada bulan Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membentangkan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (http://www.parlimen.gov.my/billindex/pdf/DR212008.pdf)
dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) (http://www.parlimen.gov.my/billindex/pdf/DR272008.pdf) di Dewan Rakyat. Asas serta matlamat kedua-dua rang undang-undang itu amat jelas - menjadikan proses memerangi rasuah di negara ini cekap dan berkesan manakala prosedur pelantikan hakim pula dapat dilaksanakan dengan ketelusan serta akauntabiliti menjadi asas utamanya.

Sememangnya dunia penguatkuasaan undang-undang pencegahan rasuah amat rencam dan sarat dengan cabaran apatah lagi bacaan Indeks Persepsi Rasuah negara ini merosot dari tahun ke tahun sehingga menuntut pembaharuan segera dilaksanakan sebelum keadaan menjadi lebih parah.



Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak henti-henti menjadi sasaran pelbagai pihak terutama pembangkang yang melabelkan badan itu sebagai tidak cekap menghidu penyelewengan. Kata mereka, jika pun BPR cekap mengesan kes-kes rasuah, akan ada pula campur tangan di pihak Pejabat Peguam Negara menyebabkan ia tidak boleh dibawa ke mahkamah.



Perihal pelantikan hakim begitu juga. Keterbatasan pihak yang memilih nama hakim untuk dicalonkan bagi jawatan mahkamah atasan membuka ruang kepada masyarakat dan pihak yang berkenaan untuk 'berteka- teki' dan menjawab sendiri persoalan yang timbul menggunakan andaian masing-masing. Apatah lagi apabila hanya satu nama sahaja yang dicalonkan tentunya ada ruang untuk berlaku sifat pilih kasih serta hakim yang terpilih berkemungkinan besar tidak menepati kriteria untuk diletak di tempat yang penting, lantas setiap penghakiman yang diputuskan diragui serta tidak dihormati.



Keadaan ini boleh mencemar institusi kehakiman dan merosakkan imej hakim yang sepatutnya mesti terdiri daripada mereka yang berintegriti, berwibawa, bijak, cemerlang akal serta tinggi moralnya.



Menyedari kelemahan dalam bidang penguatkuasaan undang-undang anti rasuah dan betapa perlunya imej badan kehakiman dipulihkan, maka kedua-dua rang undang- undang itu dibentangkan untuk dibahas oleh ahli-ahli Parlimen.

Maklum balas awal mendapati biar pun ada pihak yang mengalu-alukan kedua-dua rang undang-undang itu, namun suara yang menuntut supaya kegiatan pencegahan rasuah dilaksanakan secara berkesan serta pelantikan hakim dilakukan dengan telus bertindak memukul canang kononnya inisiatif terbaru kerajaan itu hanya bersifat kosmetik.

Perkataan Peguam Negara dalam rang undang-undang SPRM dan istilah Perdana Menteri yang muncul bersama rang undang-undang Suruhanjaya Pelantikan kehakiman dijadikan isu utama tanpa merujuk secara terperinci apa sebenarnya kaitan kedua-duanya dengan matlamat kerajaan.

Perdana Menteri juga dikatakan masih mempunyai 'suara' untuk menentukan rentak serta fungsi SPRM menerusi individu yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong tetapi namanya dicadangkan oleh Perdana Menteri.

Pihak yang melemparkan tuduhan seumpama itu tidak sedar bahawa untuk pertama kali dalam sejarah Malaysia, individu, pertubuhan bukan kerajaan dan ahli-ahli Parlimen diberi peranan di dalam SPRM iaitu masing-masing menerusi Lembaga Penasihat dan Jawatankuasa Khas.

Buat pertama kalinya juga laporan tahunan badan pencegahan anti rasuah dibentangkan di Parlimen bersama dengan laporan Lembaga Penasihat dan Jawatankuasa Khas untuk ditatap dan diteliti oleh semua pihak. Bukan itu sahaja, ahli-ahli Parlimen boleh mengemukakan sebarang pertanyaan jika timbul persoalan berhubung ketiga-tiga laporan itu.

Digembar-gemburkan
Amat menghairankan kerana perubahan itu digembar-gemburkan sebagai kosmetik sedangkan di pihak kerajaan ia merupakan langkah konkrit untuk memastikan badan pencegahan anti-rasuah mempunyai lebih kuasa, telus dan boleh dipertanggungjawabkan. Malah Panel Kajian Semula Operasi yang dianggotai oleh golongan profesional lanjutan daripada SPRM juga berupaya mengkaji perjalanan SPRM dan mencadangkan penambahbaikan.

Lebih penting lagi perjalanan SPRM akan menjadi lebih telus dan terbuka untuk diawasi oleh pihak yang berkenaan untuk membendung sebarang penyalahgunaan kuasa atau pengaruh keterlaluan oleh pihak Eksekutif.

Golongan yang tidak puas hati terhadap rang undang-undang SPRM bukan calang- calang orang. Mereka kebanyakannya adalah cerdik pandai undang-undang yang mewakili badan ternama di negara ini. Di sebalik kecerdikan itu timbul persoalan yang jawapannya terbentang luas di dalam rang undang-undang itu antaranya dakwaan bahawa Peguam Negara masih mempunyai kuasa untuk mendakwa kes dan SPRM tidak mempunyai kuasa pendakwaan.

Seksyen 58 SPRM menyatakan dengan jelas bahawa pendakwaan kes di bawah Akta SPRM tidak boleh dijalankan kecuali dengan persetujuan pihak pendakwa raya. Ini sejajar dengan Perkara 145 Perlembagaan. Bagaimanapun awal tahun ini, kuasa Peguam Negara untuk mendakwa kes di mahkamah telah diturunkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) yang dipinjamkan ke BPR.

Seksyen 5(6) rang undang-undang SPRM turut memberi kuasa Timbalan Pendakwa Raya. Ini bermakna dari segi amalannya SPRM tidak perlu merujuk kepada Peguam Negara atau memohon kebenaran untuk mendakwa. Keputusan untuk mendakwa dibuat di peringkat SPRM oleh DPP atau Ketua Suruhanjaya SPRM.

Begitu juga dengan persoalan jika SPRM boleh mendakwa kes tanpa perlu merujuk kepada Peguam Negara mengapa perlu diwujudkan Seksyen 58 rang undang-undang berkenaan. Dari sudut undang-undang adalah amat penting untuk menyediakan pelindungan terhadap penyalahgunaan dan mengekalkan pengasingan kuasa. Jika kuasa untuk menyiasat dan mendakwa hanya ditumpukan kepada satu entiti iaitu SPRM, tidak mustahil ia boleh membawa kepada keadaan penyalahgunaan kuasa.

Malah Suruhanjaya Bebas Membanteras Rasuah/Independent Commission Against Corruption (ICAC) di Hong Kong dengan bangganya mengisytiharkan salah satu daripada proses 'semak dan imbangnya' ialah kuasa untuk membuat pendakwaan yang terpisah daripada entiti tersebut.

Ketiadaan langsung peranan Peguam Negara dalam proses 'semak dan imbang' ini akan mendedahkan kemungkinan kes tidak sempurna juga dibawa ke mahkamah sehingga mengakibatkan pembaziran wang rakyat.

Suara-suara yang tidak berpuas hati juga menyentuh tentang kewujudan lima badan bebas iaitu Lembaga Penasihat Anti-Rasuah, Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Kajian Semula dan Panel Konsultatif dan Pencegahan Rasuah yang akan menambah birokrasi. Selain itu mereka mendakwa terlalu banyak jawatankuasa akan merumitkan keadaan dan terpaksa menanggung bebas yang besar.

Sedangkan jika diteliti peruntukan rang undang-undang SPRM, setiap badan hakikatnya mempunyai matlamat masing-masing dan melaksanakan fungsi-fungsi spesifik seperti yang diperjelaskan di dalam Seksyen 13, 14 dan 15 SPRM. Pembentukan badan- badan ini tidak seharusnya dilihat sebagai menambah kerenah birokrasi sebaliknya ia adalah mekanisme bertujuan meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti SPRM.

Mekanisme 'semak dan imbang' adalah berasaskan model ICAC Hong Kong yang diiktiraf sebagai salah satu agensi pencegahan rasuah yang cekap dan berkesan di dunia. Jumlah keanggotaan tidak sepatutnya menjadi tumpuan sebaliknya fungsi pelbagai jawatankuasa adalah untuk mengukuhkan keupayaan SPRM bagi memenuhi matlamat memerangi rasuah.

Terdapat juga dakwaan kononnya masa yang diperuntukkan untuk membahaskan rang undang-undang SPRM tidak mencukupi. Ini adalah masalah yang paling kerap dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen terutamanya pembangkang. Hakikatnya jika setiap anggota Parlimen mengehadkan perbahasan kepada isu-isu penting dan berkaitan dengan rang undang-undang tidak akan timbul masalah tersebut.
Ini tidak, ada kalangan ahli Parlimen yang meleret-leret dan menggunakan peluang berbahas untuk kepentingan agenda politik masing-masing sambil tidak kurang juga hanya beretorik kosong.

Tidak kurang juga yang mendakwa penggubalan rang undang-undang SPRM dilakukan secara tergesa-gesa tanpa merujuk pandangan orang awam dan pertubuhan bukan kerajaan. Perlu ditegaskan bahawa cadangan menstruktur semula BPR menjadi sebuah suruhanjaya telah dikemukakan kepada Perdana Menteri oleh BPR sendiri awal tahun ini. Proses untuk melengkapkan rang undang-undang itu telah bermula sejak daripada tarikh tersebut. Secara asasnya adalah penting untuk merujuk kepada pihak yang berkepentingan, pakar dan pengamal dalam bidang yang berkaitan serta tidak semestinya orang awam untuk menggubal undang-undang tersebut.

Bagi menggubal struktur SPRM yang berkesan, BPR telah merujuk dan beruding dengan ICAC Hong Kong dan New South Wales (diiktiraf sebagai agensi pencegah rasuah yang terbaik di dunia) dan juga Transparency International Malaysia.

Cadangan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) turut mengundang rasa tidak puas hati yang mengheret pelbagai persoalan ditimbulkan antara lain seperti apa akan jadi kepada pertemuan tujuh orang pesuruhjaya Suruhanjaya terutamanya dalam soal menentukan jawatan tertinggi iaitu Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan jika ada antara pesuruhjaya turut dinamakan sebagai calon. Semestinya mereka tidak boleh terlibat dalam proses pemilihan.

Pengenalan
Senario itu telah pun diberi perhatian semasa proses penggubalan rang undang-undang SPK yang membawa kepada pengenalan Seksyen 13(5) yang memperuntukkan bahawa jika tujuh anggota tidak dapat hadir kerana ada kalangan mereka yang tidak layak (misalnya kerana dicalonkan), maka korum hendaklah tidak kurang daripada lima orang.

Mesyuarat pemilihan nama-nama bagi jawatan Ketua Hakim Negara akan terdiri daripada Ketua Hakim Negara, Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Persekutuan dan empat individu terkemuka.

Individu yang dinamakan mesti mempunyai kriteria antara lain berinteringeriti, berpengalaman, mempunyai karakter moral yang mulia, mampu membuat penghakiman tepat pada masanya, berupaya menguruskan sesuatu kes dengan baik dan juga sihat mental dan fizikal. Matlamat sebenar rang undang- undang ini ialah untuk membolehkan anggota suruhanjaya yang semestinya terkemuka dan mempunyai tahap kecerdikan yang tinggi membuat keputusan berasaskan kepada kriteria-kriteria yang telah ditetapkan.

Tokoh-tokoh yang bakal menganggotai Suruhanjaya mesti dilantik oleh Perdana Menteri bagi mengelak percanggahan dengan Perlembagaan yang memperuntukkan kuasa prerogatif kepada Perdana Menteri bagi cadangan-cadangan kehakiman kepada Majlis Raja-Raja. Bagaimanapun dalam hal pelantikan tokoh-tokoh terkemuka, Majlis Peguam serta pelbagai pihak yang berkaitan mesti dirujuk seperti peruntukan Seksyen 5(1). Tidak timbul soal kuasa Perdana Menteri yang keterlaluan di dalam Suruhanjaya malah rujukan kepada pihak yang berkenaan bertujuan memastikan hanya tokoh-tokoh yang layak dan dihormati dipilih supaya kredibiliti SPK tidak dipersoalkan.

Rang Undang-Undang SPK ini secara tersurat menyebut tentang perlunya Perdana Menteri menjaga kebebasan kehakiman selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Soal ketelusan dan kebertanggungjawaban Suruhanjaya tidak boleh diperkecilkan begitu sahaja oleh pihak-pihak tertentu kerana pemilihan calon bagi jawatan hakim kanan mesti mematuhi syarat yang telah ditetapkan. Lebih daripada itu Suruhanjaya mesti menghantar laporan tahunan kepada Parlimen menolak tepi kegersangan aspek ketelusan di dalam Suruhanjaya.

Apa pun setiap usaha serta cadangan kerajaan akan dilihat bertujuan menghalalkan dan memasukkan kuasa Eksekutif di dalam proses pelantikan kehakiman. Sedangkan hakikatnya SPK digubal untuk membolehkan lebih banyak unsur ketelusan dan memastikan struktur pelantikan kehakiman melibatkan lebih banyak pihak.

Begitu juga dengan dakwaan Ahli Parlimen DAP Puchong Gobind Singh Deo bahawa Perdana Menteri tidak boleh diberi kuasa untuk memilih hanya hakim-hakim yang disenanginya.

Hakikatnya Perdana Menteri tidak mempunyai hak untuk memilih hakim-hakim yang disenanginya. Tugas Perdana Menteri adalah mencadangkan pelantikan kehakiman kepada Majlis Raja-Raja selaras dengan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Kedua-dua rang undang-undang itu tidak harus dilihat dari sudut yang sempit, malah adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli Parlimen membahaskannya secara bersungguh-sungguh. Jika ada cadangan yang bernas maka bentangkanlah dengan niat suci kerana apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah pembuka laluan yang lebih luas untuk kita membersihkan negara daripada amalan rasuah serta memulihkan imej badan kehakiman negara.

Thursday, January 1, 2009

Kekalutan pembangkang


DALAM pilihan raya umum ke-12 yang lalu, gabungan parti pembangkang berjaya menguasai negeri Kelantan, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor.


Bagaimanapun, fokus utama polemik pembangkang tahun ini ialah apabila impian Penasihat Parti Keadilan (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri gagal selepas mendakwa barisan pembangkang akan membentuk kerajaan baru pada 16 September.


9 Mac – Pesuruhjaya Pas Kedah, Azizan Abdul Razak mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang kesembilan di hadapan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Wisma Darul Aman.


11 Mac – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas di Seri Mutiara.


12 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas kawasan Pasir Panjang, Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin mendapat perkenan istana sebagai Menteri Besar yang baru dalam kerajaan campuran Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Semua 18 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP di Perak diarahkan memulaukan majlis angkat sumpah pelantikan Menteri Besar baru di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar sebagai membantah pelantikan wakil rakyat Pas sebagai Menteri Besar negeri itu.



Angkat sumpah
13 Mac – Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim angkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor ke-14 di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
– Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menitahkan semua 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pakatan pembangkang menandatangani surat persetujuan pembentukan kerajaan campuran di negeri itu.
Semua ADUN Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) diarahkan menandatangani surat yang sama bagi persetujuan pelantikan Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin daripada Pas sebagai Menteri Besar Perak.


19 Mac – Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dicadangkan menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen.


1 April – Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas bersetuju guna perkataan ‘Pakatan Rakyat’ bagi menggambarkan kerjasama tiga parti itu.


18 Mei – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat nafi desas-desus menyatakan beliau akan meletak jawatan.


6 Julai – ‘Perhimpunan Protes Sejuta Rakyat-Protes Sampai Turun’ anjuran pakatan pembangkang mencetuskan insiden memalukan apabila penyanyi kumpulan Caburetor Dungber, Alak melondehkan seluar.


27 Julai – DAP meminta Pakatan Rakyat mengkaji semula keanggotaan Pas kerana berunding dengan UMNO yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional (BN).


28 Julai – Pas memberi amaran kepada DAP supaya tidak mencampuri urusan parti itu dan menegaskan ia berhak untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang diingini termasuk UMNO.


31 Julai – Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail letak jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh berkuatkuasa serta-merta.


20 Ogos – Dua Exco kerajaan negeri Perak, Kapten (B) Mohd . Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd . Radzi bersama empat orang lagi ditahan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana disyaki terlibat dalam sogokan wang lebih RM100,000 dan seks bagi mempercepatkan kelulusan satu projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar.


26 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan penguasaan PKR di kerusi Parlimen Permatang Pauh apabila memenangi pilihan raya kecil kawasan itu.


23 April – Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pakatan pembangkang akan menubuhkan Kerajaan Persekutuan yang baru sebelum sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2008.


10 Sept. – Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali meramalkan penubuhan kerajaan baru oleh pakatan pembangkang tidak mungkin berlaku.
Anwar dan isu liwat.


28 Jun – Pembantu Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan buat laporan polis di Balai Polis Traves, Kuala Lumpur mendakwa diliwat oleh Anwar.


16 Julai – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan polis untuk disiasat atas dakwaan meliwat bekas pembantunya.


7 Ogos - Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada Jun lalu.


15 Ogos – Mohd. Saiful Bukhari Azlan bersumpah laknat (mubahalah) di Masjid Wilayah Persekutuan bagi membuktikan kebenaran dakwaan diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Politik mewarnai negara


Pilihan raya umum

13 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi umum pembubaran Parlimen bagi Pilihan Raya Umum ke-12.


13 Feb. - Semua Dewan Undangan Negeri (DUN) kecuali Sarawak dibubarkan.


21 Feb. - Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Chan Kong Choy umum tidak bertanding Pilihan Raya Umum ke-12.


24 Feb. - Barisan Nasional (BN) menang tanpa bertanding di sembilan kerusi pada hari penamaan calon iaitu tujuh Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Parlimen terbabit Tanjung Manis, Kanowit, Selangau dan Kapit di Sarawak, Kalabakan dan Pensiangan di Sabah dan Pengerang di Johor.
Kerusi Dun pula di Sementa, Selangor dan Bugaya di Sabah.


24 Feb. - Nenek, Maimun Yusuf, 89, catat sejarah calon tertua bertanding kerusi Parlimen Kuala Terengganu.


25 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi lancar manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-12.


8 Mac - Barisan Nasional (BN) kehilangan empat negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak selain gagal menawan Kelantan.


8 Mac - Barisan Nasional (BN) bentuk semula kerajaan tetapi gagal pertahankan majoriti dua per tiga.


Rombakan Kabinet
10 Mac - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi angkat sumpah sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Balairung Seri, Istana Negara, Kuala Lumpur.


17 Mac - Datuk Dr. Md. Isa Sabu angkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis Ke-6 di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail di Bilik Hijau, Istana Arau.


18 Mac - Seramai 16 menteri baru dilantik dan lapan menteri penggal lalu digugurkan dalam pengumuman Kabinet baru oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.


19 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak mendahului barisan menteri Kabinet dan timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan, taat setia dan menyimpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, Kuala Lumpur.


30 Mac - Datuk Ahmad Said mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru di Istana Maziah, Kuala Terengganu.


3 April - Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein umum tidak pertahankan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.


14 April - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan beliau akan tetap mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti akan datang.


28 April - Seramai 222 ahli Parlimen yang didahului Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak mengangkat sumpah jawatan di Dewan Rakyat.


28 April - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.


19 Mei - Bekas Presiden UMNO selama 22 tahun antara 1981 hingga 2003, Tun Dr. Mahathir Mohamad bertindak keluar parti.


14 Jun - Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang baru.


10 Julai - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi umum serah jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertengahan 2010.


17 Sept. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan jawatan Menteri Kewangan kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak berkuat kuasa serta-merta dan Menteri Pertahanan dijawat oleh beliau.


26 Sept. - MT UMNO memutuskan peralihan kuasa yang dipersetujui antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak akan berlaku setahun lebih awal daripada pelan asal pada 2010.


26 Sept. - MT UMNO memutuskan Perhimpunan Agung UMNO yang dijadual berlangsung pada Disember ini ditangguhkan kepada Mac depan.


8 Okt. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi umum tidak pertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti Mac tahun depan.


10 Okt. - Datuk Zaid Ibrahim serah surat letak jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.


2 Nov. - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menang tanpa bertanding jawatan Presiden UMNO selepas mendapat 141 pencalonan daripada UMNO Bahagian yang telah bersidang.


9 Nov. - Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Seremban bertukar menjadi medan tempur apabila perwakilan bertumbuk sehingga menyebabkan dua orang tercedera.


10 Nov. - Exco Pergerakan Wanita UMNO memutuskan pelan peralihan kuasa antara Ketua Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz dan Naib Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dikekalkan pada Jun 2009.


20 Nov. - Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil umum bertanding menentang Tan Sri Rafidah Aziz bagi jawatan Ketua Pergerakan itu.


21 Nov. - Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz umum akan pertahan jawatannya.


2 Dis. - Majlis tertinggi (MT) UMNO memecat bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkuat kuasa serta merta ekoran beberapa tindakannya yang bertentangan dengan etika parti.


Pelantikan
22 Jan. - Tan Sri Ambrin Buang dilantik semula memegang jawatan Ketua Audit Negara bagi tempoh dua tahun mulai 22 Februari 2008 hingga 22 Februari 2010.


18 Mac - Dalam pengumuman Kabinet baru, Ketua Penerangan UMNO, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dilantik menjadi menteri selepas 11 tahun meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.


- Bekas Menteri Wilayah Persekutuan pada 1987, Datuk Shahrir Samad juga kembali menganggotai Jemaah Menteri sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.



Isu Raja-Raja Melayu
20 Mac - Sebanyak 25 pertubuhan dan badan amal menubuhkan Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) bertujuan menyatukan orang Melayu tanpa mengira fahaman politik.


2 Mei - Lebih 1,000 aktivis dan cendekiawan Melayu menyertai Kongres Permuafakatan Melayu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru.


5 Mei - Pengerusi DAP, Karpal Singh mempertikai tindakan Sultan Perak menitahkan Menteri Besar menarik arahan pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury.


12 Mei - Pengerusi DAP, Karpal Singh menegaskan beliau tetap berpendirian Sultan Perak tidak mempunyai bidang kuasa terhadap pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury walaupun 2,000 laporan polis dibuat terhadapnya,


16 Okt. - Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 yang berlangsung di Istana Maziah, Kuala Terengganu mengeluarkan satu kenyataan akhbar khas berhubung beberapa perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.


5 Nov. - Kira-kira 2,000 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli persatuan silat dan persatuan menyertai perarakan aman ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk serah memorandum hasrat dan perasaan orang Melayu kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.


19 Nov. Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, komuniti imigran di sesebuah negara perlu menghormati dan menerima adat, sejarah serta sistem pemerintahan yang diamalkan di negara mereka berhijrah dan menetap sepanjang masa.



Kontroversi Forum Peluk Islam Majlis Peguam
5 Ogos - Kementerian Dalam Negeri memberi amaran kepada Majlis Peguam supaya tidak 'bermain api' dengan menganjurkan forum bertajuk 'Memeluk Islam' yang disifatkan amat sensitif kepada umat Islam negara ini.


9 Ogos - Forum kontroversi 'Memeluk Islam' anjuran Majlis Peguam ditamatkan tiga jam lebih awal daripada jadual bagi mengelakkan kejadian tidak diingini ketika bantahan keras daripada pelbagai pihak semakin memuncak.
Pembayaran Ex-Gratia


5 Mei - Tiga daripada enam bekas hakim yang dipecat sewaktu krisis kehakiman 20 tahun lalu menerima bayaran ex-gratia. Mereka ialah ialah Datuk George Seah, Tan Sri Wan Hamzah Mohd. Salleh dan keluarga Allahyarham Tan Sri Suleiman Pawanteh.


20 Jun - Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas menerima bayaran ex-gratia daripada kerajaan selepas 20 tahun dipecat.


6 Nov. - Kerajaan mendedahkan jumlah pembayaran ex-gratia sebanyak RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan lima lagi bekas hakim kanan yang terlibat dalam krisis kehakiman 20 tahun lalu.



Harga Minyak
4 Jun - Kerajaan umum harga petrol dinaikkan sebanyak 78 sen seliter menjadi RM2.70 seliter dan harga diesel sebanyak RM1 menjadi RM2.58 seliter berbanding harga lama RM1.58.


Fatwa
3 Feb. - Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan pelaburan dalam Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta penerimaan dividen dengan bonus pelaburan itu diharuskan dari segi hukum syarak.


23 Okt. - Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan mengharamkan perbuatan perempuan yang membuat penampilan seperti lelaki atau dikenali sebagai 'pengkid'.


22 Nov. - Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan amalan senaman Yoga yang sistematik iaitu melibatkan gerakan fizikal, bacaan mentera dan matlamat penyatuan diri dengan Tuhan kerana ia bertentangan dengan syariat Islam.



Isu Lain
30 Mac - Sufiah Yusof, seorang kanak-kanak pintar matematik dari Malaysia yang pernah menggemparkan dunia apabila layak memasuki Universiti Oxford pada usia 13 tahun, didedahkan menjalankan aktiviti tidak bermoral dengan mengiklankan 'khidmatnya' melalui Internet, di Salford, Manchester.


7 Nov. - Jemaah Menteri bersetuju menggubal Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM) 2008 bagi memperkukuhkan lagi agenda integriti negara.

2008 tahun penuh drama politik

Tidak syak, 2008 banyak dipenuhi drama politik yang mempertontonkan babak demi babak mencemaskan.

Di peringkat awal, rakyat, selaku penonton, sering tergamam melihat pelbagai perkembangan berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac. Empat hari sebelum pengundian berlangsung Suruhanjaya Pilihan Raya membuat kejutan dengan membatalkan penggunaan dakwat ke atas pengundi yang sudah dirancang sekian lama dan dengan belanja yang begitu besar untuk menyekat apa yang dipanggil pengundi hantu.

Penganalisis, pemerhati dan ahli-ahli politik meramalkan Barisan Nasional (BN) akan meraih kemenangan dengan mudah dalam pilihan raya itu, namun pengundi buat pertama kalinya menyerahkan empat lagi negeri, selain Kelantan yang sudah dikuasai lama oleh Pas kepada pembangkang yang kemudian dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR).

Tidak cukup dengan itu, mereka menafikan BN majoriti dua pertiga di Parlimen, pertama kali sejak negara merdeka 51 tahun lalu.

Dari sejumlah 222 kerusi Parlimen, BN meraih 140, sementara selebihnya dirampas oleh pembangkang termasuk satu kerusi oleh calon Bebas.

Ini merupakan kemenangan terbesar pernah diraih oleh pembangkang, gabungan tiga parti - Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas. Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang berjaya mempertahankan kerusi Permatang Pauh muncul wanita pertama dilantik Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat. Sambil mengukuhkan cengkaman ke atas Kelantan, Pembangkang turut merampas Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Kedah dari tangan BN.

Dipanggil oleh pemerhati politik sebagai 'tsunami politik', pilihan raya umum 8 Mac mencetuskan rantaian reaksi sepanjang tahun, dan pada satu ketika meletakkan Malaysia dalam kumpulan negara 'tidak stabil dari segi politik'.

Sekalipun mendapat mandat memerintah negara untuk lima tahun akan datang, BN mengalami kekalahan moral yang paling teruk sementara pembangkang pastinya puas hati malah 'bergembira' dengan kemenangan mereka.


Pilihan raya itu juga menyaksikan beberapa tokoh utama BN 'ditumbangkan' oleh muka-muka baru dari pembangkang termasuk Nurul Izzah, anak perempuan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Antara mereka ialah Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu, Pemangku Presiden Gerakan ketika itu, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Timbalan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Ketika tokoh-tokoh dari kedua-dua pihak BN dan PR menilai perubahan nasib mereka, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendesak penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi segera meletak jawatan.


Desakan Mahathir itu bergema ke serata pelosok negara dan sejurus itu ia diekori oleh beberapa pihak termasuk dari UMNO.


Bagaimanapun, Abdullah lantas bangkit dan menggesa semua pemimpin komponen BN memperkukuh perpaduan dan belajar dari pengajaran yang ditunjukkan oleh rakyat, khususnya pengundi.


"Saya bukan seorang yang degil yang tidak mengambil pelajaran dari kehidupan sekalipun ia bersangkutan dengan karier dan kerja saya. Sebagai ketua BN, saya melihat apa yang berlaku dan kita mesti belajar dari ini,"


Beliau pernah berkata dua hari selepas pilihan raya umum berkenaan.


Ini bagaimanapun tidak melenyapkan desakan (meletak jawatan) malah ia terus kedengaran dalam beberapa bulan berikutnya.


Dan drama jauh dari berakhir kerana beberapa minggu kemudian Anwar memulakan percaturannya dan memberitahu penyokongnya bahawa pembangkang, atau kini lebih dikenali sebagai Pakatan Rakyat - akan menumbangkan kerajaan BN pada 16 September.


Tokoh yang petah berbicara itu bebas untuk bertanding dalam pilihan raya pada 14 April selepas diharamkan daripada menyertai politik aktif selama lima tahun berikutan sabitan rasuah, membayangkan sebilangan Ahli Parlimen BN telah pun bersetuju melompat ke PR kerana mereka kurang senang dengan kepimpinan Abdullah.


Oleh kerana suara tidak puas hati lebih lantang kedengaran daripada rakan-rakan di Sabah dan Sarawak, Ahli Parlimen BN dari Semenanjung lantas menuding jari terhadap mereka sebagai pihak yang akan meninggalkan BN.


Tuduhan itu dibuat berikutan beberapa kenyataan daripada beberapa Ahli Parlimen di Sabah dan Sarawak yang melahirkan rasa tidak puas hati mereka atas beberapa isu yang terbit daripada hakikat bahawa mereka menyumbangkan 40 peratus dari kerusi Parlimen BN.
Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman malah membayangkan mereka tidak kisah untuk berpindah dari banglo (BN) dan tinggal di rumah teres (PR), oleh kerana mereka hanya dibenarkan tidur dekat bilik air, sekalipun terdapat banyak bilik di banglo itu.


Beliau bagaimanapun menafikan mahu melompat parti dan menyatakan beliau setakat melahirkan rasa tidak puas hati rakyat Sabah kerana mereka bagai tidak dihiraukan oleh tokoh-tokoh utama BN sejak beberapa tahun.


Anwar pula menarik perhatian penonton dengan dakwaannya, satu lagi drama dipertontonkan pada Jun bila sebuah dari parti komponen BN di Sabah, mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Abdullah dan mahu menyokong usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri. Pemimpin-pemimpin Parti Maju Sabah (SAPP) yang menentang semangat BN dengan mendedahkan pekung di dada, kemudian keluar dari gabungan dan dengan itu BN kehilangan dua Ahli Parlimen — Tawau and Sepanggar dan empat kerusi negeri — Luyang, Likas, Tanjung Papat dan Elopura.


Pada Julai, Dr. Wan Azizah mengosongkan kerusi Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada suaminya, Anwar bertanding, dengan itu menjadikan cakap-cakap politik bahawa Anwar akan menjadi Perdana Menteri Malaysia pada 16 September lebih kelihatan berwibawa. Sambil terus menegaskan bahawa beliau mempunyai bilangan Ahli Parlimen yang cukup untuk melompat parti, namun Anwar yang menghadapi satu lagi tuduhan seks luar tabii, enggan mendedahkan atau menjelaskan hal itu.

Pada 26 Ogos, Anwar meraih kemenangan dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh. Berikutan itu, beliau dilantik Ketua Pembangkang baru di Dewan Rakyat, sementara hitungan tarikh 16 September diikuti dengan penuh minat oleh banyak pihak, hingga menyebabkan tercetusnya keadaan tidak menentu di kalangan rakyat.


Pada 8 September, BN menghantar sekumpulan Ahli Parlimennya ke Taiwan untuk lawatan sambil belajar, tindakan yang dianggap oleh beberapa pihak sebagai percubaan terdesak oleh BN bagi menghalang tindakan melompat parti oleh kerana lebih daripada 40 Ahli Parlimen itu akan hanya pulang selepas 16 September.


Drama semakin panas bila PR melakukan tindakan susulan, menghantar beberapa wakilnya ke Taiwan sehari selepas itu dan membayangkan mereka akan meneruskan rundingan mengenai tindakan melompat itu.


Bagaimanapun, selepas begitu hebat diuar-uarkan, 16 September berlalu tanpa berlaku sebarang peristiwa yang menggegar suasana.


Di sebalik kegagalan itu, Anwar mendakwa rancangan itu terpaksa ditangguhkan beberapa hari lagi sementara menunggu respons daripada Abdullah terhadap permintaannya untuk menemui Perdana Menteri bagi 'menjamin peralihan kuasa yang lancar'.


Itu tiga bulan lalu, dan hari ini Malaysia masih di bawah kepimpinan Abdullah sementara Anwar terus membawa impian untuk menumbangkan kerajaan BN menerusi jalan belakang.

Wednesday, December 31, 2008

Cikgu Yusoff, veteran UMNO Taman Sejahtera meninggal dunia

Allahyarham Cikgu Yusoff (kiri memegang bunga) ketika menyertai program Jogathon di Mengkuang Dam


Alfatihah,

Cikgu Yusoff, salah seoarang penggerak utama penubuhan UMNO Cawangan Taman Sejahtera telah kembali menemui Ilahi pada hari Selasa 11:45 mlm. Allahyarham meninggal dunia di Hospital Besar Kulim.


Allahyarham merupakan pelopor kewujudan UMNO Cawangan Taman Sejahtera pernah memegang jawatan Ketua Cawangan UMNO Taman Sejahtera. Ketika perlantikan terbaru pada bulan Mei lalu, Allahyarham memegang jawatan sebagai AJK Cawangan.


Semoga Allah merahmati Allahyarham dan sama-samalah kita menyedekahkan bacaan Al-Fatihah kepada roh beliau, semoga beliau ditempatkan dikalangan roh orang-orang yg beriman. Amin

Monday, December 29, 2008

Kembalikan Matematik dan Sains Kepada Bahasa Melayu


Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan pada Januari 2003 bertujuan melahirkan kumpulan pelajar yang berkebolehan menulis, memahami dan berfikir dalam bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek ini. Ini kerana di peringkat universiti atau pengajian tinggi banyak buku dan makalah dalam kedua-dua subjek ini diterbitkan dalam bahasa Inggeris.


2. Dengan kata lain matlamat utama PPSMI ialah untuk melahirkan kumpulan pelajar yang menguasai ilmu terkini dalam kedua-dua bidang. Ia juga bertujuan melahirkan tenaga akademik yang berupaya menulis di dalam jurnal antarabangsa dan tenaga kerja yang memenuhi tuntutan pasaran kerja.


3. Di samping itu, PPSMI diharap dapat melahirkan generasi muda yang berkebolehan menggunakan bahasa Inggeris dengan baik.



4. Saban tahun polemik ini tidak pernah padam. Rencam pendapat dan alasannya pelbagai. Yang menyokong melihat dari sudut kepentingan generasi muda menguasai bahasa Inggeris dengan baik dalam menghadapi arus globalisasi.



5. Yang menentang pula melihat dari sudut penghakisan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa utama Malaysia dan juga sebagai bahasa pengantar di Institut Pengajian Tinggi Awam.



6. Yang berbelah bagi ialah ibu bapa dan anak-anak yang terpaksa menghadapi secara langsung kesan kepada sistem ini. Bagi golongan Melayu kelas elit dan pertengahan mereka kurang menghadapi masalah kerana anak-anak mereka telah pun didedahkan dengan pengajaran dalam bahasa Inggeris sejak di tadika lagi.



7. Bagi kebanyakan orang Melayu, anak-anak mereka masih berfikir, bercakap, menulis dan membaca dalam bahasa Melayu. Jika dulu ramai anak-anak Melayu merasa terasing dan sering tidak berminat dengan kelas bahasa Inggeris, hari ini sudah menular pula ke kelas matematik dan sains. Selain tidak faham, mereka juga merasa rendah diri dengan kekurangan dalam penguasaan bahasa Inggeris.



8. Saya memahami hasrat kerajaan untuk melakukan kejutan budaya terhadap anak-anak di sekolah dan juga ibu bapa. Memang benar, jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.



9. Ibu bapa juga mahu anak-anak mereka mahir dalam bahasa Inggeris. Tapi apakah bahasa Inggeris lebih penting dari kemahiran hidup seperti ilmu hisab (matematik) dan sains? Tentu ramai ibu bapa yang tidak mahu yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.



10. Namun setelah lima tahun pelaksanaannya, kita perlu bertanya kembali, ruyung yang mahu dipecahkan sudah mengeluarkan sagu atau yang dikendong berciciran yang dikejar entah ke mana?



11. Apa guna kita melahirkan seribu ahli akademik yang melahirkan pendapat akademik dalam bahasa Inggeris dan terbentang dalam jurnal antarabangsa tetapi beratus ribu anak Melayu akan datang tidak menguasai kemahiran asas mengira dan juga ilmu kemahiran hidup (sains)?



12. Oleh kerana matematik dan sains juga merupakan matapelajaran teras dalam peperiksaan (dan juga ketika memohon kebanyakan pekerjaaan yang baik) , saya khuatir jurang di kalangan generasi muda bandar dan luar bandar akan bertambah jauh.



13. Saya akui kepentingan kemahiran bahasa Inggeris. Namun telah jelas setelah enam tahun ia dilaksanakan tentangan terhadap PPSMI bukan kian mengecil malah kian membesar. Ini menunjukkan bahawa kepercayaan terhadap kemampuan PSSMI membina generasi muda yang lebih baik kian terhakis.



14. Setelah mendengar banyak pendapat di bawah, juga pandangan di atas, yang dari “kiri”, juga “kanan” dan “atas pagar”, saya fikir:

a. Sudah tiba masanya kerajaan kembali kepada sistem pengajaran yang lama menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa Pengantar untuk Matematik dan Sains di sekolah terutamanya dari tahun satu sehingga ke Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah.



b. Di samping itu, memandangkan telah beratus juta dibelanjakan untuk sistem PPSMI ini maka ia harus terus dieksploistasi sebaik mungkin. Justeru, saya ingin mencadangkan agar kementerian pelajaran meneruskan PSSMI ini sebagai satu kelas tambahan selama dua atau tiga jam seminggu untuk setiap tahap pengajian bermula tahun satu.



c. Elaun tambahan yang sebelum ini diberikan kepada guru PPSMI boleh dikekalkan dengan syarat mereka memperuntukkan beberapa jam tertentu dalam seminggu mengajar kelas tambahan sebelah petang kepada para pelajar.



d. Dengan cara ini pelajar akan mendapat keuntungan maksima dari segi penguasaan Matemati dan Sains dan juga penguasaan bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek ini.



e. Jika penguasaan bahasa Inggeris yang menjadi isu, maka sukatan pelajaran bahasa Inggeris sendiri perlu dirombak dan dicari kaedah yang lebih baik termasuk memperkenalkan mata pelajaran kesusasteraan inggeris di peringkat lebih awal.




15. Saya sedar betapa Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin menghadapi keadaan yang amat sukar untuk membuat keputusan. Ini kerana walau apa pun keputusan yang dibuat ia akan tetap membangkitkan polemik baru. Tidak mungkin sesuatu keputusan yang dibuat akan memuaskan hati semua pihak.



16. Namun keputusan ini harus di buat atas kepentingan anak bangsa bukannya ego politik parti pemerintah mahu pun berdasarkan siapa yang paling kuat melobi.



17. Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Demikian juga kerajaan yang mengubah sesuatu keputusan demi kebaikan yang lebih besar tidak akan jatuh maruahnya.