Friday, January 9, 2009

Masyarakat dunia perlu bersatu ‘celikkan’ Yahudi


DUNIA sejagat terutama dunia Islam perlu untuk bertindak secara kolektif menentang kezaliman dan jenayah perang dilakukan Israel ke atas Palestin di Gaza. Setiap negara, khususnya negara Islam hendaklah menunjukkan bantahan di setiap dewan perundangan di negara berdaulat dengan menyatakan bahawa Israel adalah negara pengganas. Biar catatan hansard (rekod) Parlimen di setiap badan legislatif di seluruh dunia mempunyai penyataan bersama yang mengesahkan status dan mendefinisikan serta mengklasifikasikan rejim Zionis sebagai pengganas.



Tindakan rejim Zionis menyerang dan memusnahkan bangunan Parlimen di Gaza memperlihatkan bukan saja keruntuhan bangunan terbabit, malah secara simboliknya, menerusi tindakan menyerang dan memusnahkan bangunan Parlimen Palestin itu, menunjukkan satu keangkuhan Tel Aviv serta pencabulan ke atas hak kedaulatan sesebuah negara.


Dalam dunia moden masa kini, setiap negara semestinya mempunyai dewan perundangan tersendiri dan dalam konteks ini ia perlu dihormati dan dalam masa peperangan juga, bangunan yang menempatkan badan legislatif perlulah tidak diganggu gugat. Parlimen adalah simbolik kepada kedaulatan sesebuah negara. Jika Israel mampu bertindak memusnahkan bangunan Parlimen, bermakna bagi Israel, institusi perundangan Palestin tiada maknanya bagi rejim Zionis itu. Bagi saya, adalah amat mendukacitakan serta memalukan seluruh ahli badan legislatif di negara berperundangan dan berdaulat jika tindakan tegas untuk mengecam pencerobohan dan kemusnahan simbol legislatif di bumi Palestin tidak diendahkan dunia.





Maruah badan legislatif dunia seolah-olah tercabar dan tercalar jika nasib badan perundangan dan ahlinya yang juga sepatutnya menjadi rakan kepada ‘kelab ahli legislatif dunia’ tidak dipedulikan masyarakat ahli legislatif sejagat. Jika badan legislatif yang dipilih keahliannya secara demokrasi oleh masyarakat Palestin tidak dihormati Israel, apatah lagi untuk bertindak ganas dan kejam terhadap bukan saja kepemimpinan Palestin dengan Hamas menjadi mangsa, begitu juga rakyat Palestin diperlakukan dengan tidak berperikemanusiaan.



Untuk itulah, maka Israel tidak teragak-agak melakukan pencabulan ke atas hak asasi Palestin sejak sekian lama kerana bagi mereka Palestin tidak berdaulat dan bukan sebuah negara bebas yang perlu dihormati, melainkan ia dianggap sebagai jajahan Israel dan penghalang kepada kewujudan ‘Greater Israel’ itu sendiri. Dunia perlu tegas mensinonimkan secara sah bahawa Zionis adalah ideologi, tindakan, rejim mahupun sokongan kepadanya adalah pengganas dan tindakan menyokong Zionis ini adalah menyamai sokongan ke atas pengganas.



Tindakan ganas dan kejam Israel yang tanpa segan melancarkan serangan ke atas Gaza yang membunuh ribuan nyawa serta mengancam survival lebih 1.5 juta penduduk di wilayah berkenaan adalah bukti betapa rejim Zionis tidak berperikemanusiaan dan bertindak secara komprehensif melakukan jenayah perang yang tersusun. Segala tindak tanduk rejim Zionis dilihat sebagai satu penghinaan ke atas perundangan dunia. Jika lain negara menyerang wilayah lain, seperti yang dapat dilihat kecaman dunia ke atas Iraq apabila menawan Kuwait pada 1990-an dulu dan dunia bertindak menggesa pembebasan segera Kuwait dari penjajahan dan reaksi cepat Washington dan sekutunya untuk bertindak melakukan serangan balas bagi tujuan membebaskan Kuwait, dilihat sebagai satu keperluan antarabangsa.



Namun, dalam soal Palestin, Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya tidak pula memperlihatkan bahawa wujud keperluan dan komitmen bagi memerdekakan Palestin daripada belenggu taklukan Zionis. Yang penting diperlihatkan ialah apa saja yang dilakukan Tel Aviv dikatakan sebagai tindakan bersifat kepentingan nasional dan demi mempertahankan diri bagi memastikan kewujudan berterusan negara Yahudi Israel. Dana besar-besaran serta dilengkapkan dengan bantuan ketenteraan termoden segera disalurkan bukan kepada mangsa kezaliman, sebaliknya kepada pemangsa yang bertindak melakukan kezaliman. Inilah tindakan hak asasi manusia dilakukan Barat.



Yang lemah dibiar tertindas, manakala yang sedia kuat diberi lebih kekuatan bagi terus memusnahkan yang lemah. Undang-undang antarabangsa tidak dihormati dan akhirnya Israel dimanjakan dunia serta dibiarkan untuk memperlakukan apa saja yang dikehendaki terhadap bukan saja penduduk Palestin, malah mampu menyerang wilayah dan negara lain, termasuk juga Lubnan. Untuk itu, perspektif dibina pada peringkat sejagat bahawa tidak wujud sebuah negara Palestin dan yang hanya wujud ialah Israel sebagai sebuah negara.



Pada masa sama, masyarakat Arab Palestin hanya dianggap sebagai setinggan di negara tadbiran rejim Zionis itu. Inilah dogma persepsi yang dibina pelobi Yahudi di dunia Barat dan tanpa sedar, seolah-olah Israel dalam apa keadaan sekalipun dianggap lemah dan bila-bila masa mampu dimusnahkan gerombolan negara Arab sekitarnya hinggakan segala bantuan ke atas memastikan kewujudan Israel dianggap penting dan wajib bagi kepemimpinan Rumah Putih dan dunia Barat. Isu kemusnahan bangsa Arab di Palestin dipinggirkan begitu saja.



Lihat saja tindakan Barat menyenaraikan Hamas sebagai pengganas dan pada masa sama digunakan Israel untuk membelasah Hamas di Gaza. Dunia diperlihatkan bahawa dengan tindakan ketenteraan Israel ini, maka masyarakat awam menjadi korban sama seperti yang dilakukan Israel ke atas Lubnan kononnya bagi memerangi pengganas, iaitu Hizbullah sedangkan secara langsung Lubnan menjadi mangsa keruntuhan dan terkorbannya begitu ramai orang awam tidak berdosa.



Dunia hari ini tidak harus membiarkan istilah pengganas digunakan sewenang-wenangnya oleh Barat, termasuk AS dan juga sekutunya bagi menghalalkan sebarang tindakan kejam yang mampu meragut ribuan dan jutaan mangsa jika dikira sejak sekian lama. Kini nasib 1.5 juta penduduk Gaza bergantung kepada ketegasan dunia, termasuk masyarakat Arab, Islam dan masyarakat yang cintakan keamanan seluruh dunia untuk bertindak secara kolektif dan universal bagi membentuk satu jaringan mesej kepada Washington dan juga Tel Aviv bahawa kedua-dua negara ini sedang menghalalkan jenayah dan pembunuhan. Dunia harus memberikan mesej bahawa kepemimpinan Israel adalah bermoralkan jenayah.



Menjenayahkan Zionis dan rejimnya di Israel adalah perlu, sama seperti usaha menjenayahkan perang. Serangan ke atas bangunan kerajaan Palestin di Gaza termasuk Parlimen, bangunan Presiden serta juga hospital dan universiti serta sekolah termasuk kediaman penduduk adalah jelas satu tindakan jahil yang dilakukan pengganas menggunakan kapasiti negara yang tidak langsung beralaskan kepada peraturan serta perundangan antarabangsa. Akibatnya, pencabulan hak awam serta juga hak asasi manusia tidak dipedulikan kerana aspek terbesar perundangan dunia antarabangsa juga dicabuli tanpa sekatan dan tindakan sekatan oleh masyarakat dunia mampu dilakukan terhadap rejim Zionis terbabit.



Dalam perspektif Zionis, perundangan antarabangsa adalah hanya terakru kepada lain-lain negara dunia dan Tel Aviv terkecuali, kerana kononnya yang diperangi adalah pengganas. Maka, atas alasan itu, tindakan ganas rejim Zionis diperundangkan secara sah dan benar. Ini memperlihatkan strategi bijak Zionis untuk mengaburi mata dunia antarabangsa, terutama bagi negara di Barat dengan meletakkan label terlebih dulu sebelum serangan dilakukan secara besar-besaran dan tersusun.



Masyarakat Israel juga perlu keluar daripada doktrin Zionis yang dipegang sejak agenda menubuhkan Israel dilakukan. Jika doktrin Zionis berjaya dibuang masyarakat Yahudi seluruh dunia dan oleh warga Israel itu sendiri, maka dunia akan kembali aman selamanya tanpa konflik dan Israel serta Palestin mampu hidup bersama tanpa pertentangan berdarah. Kini dunia perlu melihat bahawa usaha mematahkan ‘ego Zionis-Tel Aviv’ adalah satu usaha sejagat yang perlu merangkumi masyarakat yang cintakan keamanan di dalam negara Israel itu sendiri dan juga di dunia Barat serta disokong oleh masyarakat sejagat seluruhnya.



Umat Islam yang mendiami seluruh negara di dunia ini perlu bertindak sebagai ejen pelobi kepada kerajaan di negara masing-masing untuk ‘menjenayahkan Zionis’ bagi menyekat tindakan kejam Tel Aviv. Masyarakat di Malaysia tanpa mengira ideologi perlu bersama mengutuk tindakan Israel yang sedang memerangi komuniti lemah di Palestin.



Jika setiap negara di dunia ini tanpa mengira kerajaan mahupun pembangkang dapat bersama-sama memberikan mesej kepada Tel Aviv dan Washington bahawa dunia seluruhnya mengecam tindakan ganas dan menaja keganasan juga perlu dihentikan, maka mudah-mudahan kepemimpinan baru Washington yang bakal dipimpin Barack Obama mungkin dapat sekurang-kurangnya mendisiplinkan anak manjanya, Israel