Friday, January 9, 2009

Jentera BN tingkat kempen SMS, internet


KUALA TERENGGANU: Jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) diminta meningkatkan kempen terutama menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) menjelang hari mengundi pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini.


Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berkata jentera pilihan raya BN sedang mengumpul semua nombor telefon pengundi muda di Parlimen Kuala Terengganu dan bahan kempen akan dihantar melalui SMS, selain internet.


Katanya, SMS digunakan kerana lebih mudah difahami dan diterima golongan muda bukan saja berada di kawasan Parlimen Kuala Terengganu, malah pengundi berdaftar di luar negeri ini.


"Kita sudah arahkan jentera pilihan raya BN yang berkampung di kawasan Parlimen Kuala Terengganu supaya menggandakan usaha berkempen sehingga ke hari pengundian, terutama mengedarkan bahan kempen melalui SMS," katanya selepas menghadiri Majlis Menjana Modal Insan Terbilang di Dewan Gemilang Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Kapas, di sini, semalam.


Selain calon BN Parlimen, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, hadir sama Guru Besar SK Gong Kapas, Hafsah Mohamad dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG), Raja Ghazali Abdul Rahman.



Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau, berkata jika dilihat pada trend pengundi muda, sokongan dan kecenderungan mereka kepada calon BN dan Pas sama, tetapi BN memiliki kelebihan kerana Wan Ahmad Farid masih muda jika dibandingkan calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut.



Katanya, Wan Ahmad Farid adalah bekas Exco Pergerakan Pemuda dan pernah memegang jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, selain memahami kehendak golongan muda.