Wednesday, May 6, 2009

Dasar liberalisasi biar terkawal

KITA pada masa ini berdepan dengan keributan kemelesetan ekonomi dunia yang dapat ditandakan dengan tumbangnya kapitalisme ala-Amerika.

Sehubungan itu, Malaysia wajar sekali mengambil pendekatan yang diharapkan mampu mengurangkan impak daripada kemelut tersebut terhadap kira-kira 27 juta rakyatnya.
Hakikat ini telah disuarakan dengan jelas oleh Perdana Menteri kita dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kesepuluh (MAPPA X) pada 28 April lalu.


Liberalisasi dilihat sebagai strategi yang dapat menyelamatkan negara ini. Bermula daripada liberalisasi dalam sektor perkhidmatan awam seperti dasar pintu terbuka jawatan-jawatan utama dan penting kepada sektor swasta seterusnya liberalisasi dalam 27 subsektor perkhidmatan.

Namun, adakah tindakan liberalisasi ini benar-benar akan, sedang dan telah diperhalusi, dirancang dengan teliti serta sentiasa dalam kawalan agar tidak wujud situasi "lari dari mulut harimau, masuk ke mulut buaya" pula?

Usaha memberi fokus kepada sektor pertumbuhan ekonomi dengan mengutamakan kemasukan pelabur asing secara bebas wajar sentiasa dipantau agar tidak melampaui had.

Aspek jangka panjang terhadap sesuatu tindakan atau dasar yang hendak dilaksanakan perlu diambil kira.

Rakyat juga tidak mahu berlaku lagi senario menang sorak tetapi kampung tergadai akibat sikap enggan belajar daripada sejarah atau pengalaman sendiri atau dari negara lain.

Sebagai contoh perlu ditetapkan had atau tahap campur tangan pihak swasta dalam perkhidmatan awam. Tidak semua, apatah lagi peringkat tinggi jawatan kerajaan boleh diserah begitu sahaja kepada mereka yang tidak tahu falsafah dasar dalam budaya kerja perkhidmatan awam.

Begitu juga jangka masa untuk pemodal asing melabur. Adakah ada jaminan bahawa jawatan kosong yang ada akan diisi oleh anak-anak tempatan seperti yang sering diuar-uarkan jika mahu membawa masuk pelabur asing ke negara ini?

Sememangnya kita mesti berani menerima perubahan tetapi usahlah manfaat perubahan itu tidak dikecapi oleh rakyat apalagi mendatangkan kerugian pula.