Monday, May 11, 2009

Hari penentuan…siapa MB Perak ' yang sah '


Berita paling besar yang ditunggu oleh semua orang hari ini Isnin 11 Mei ialah keputusan Mahkamah Tinggi siapa Menteri Besar Perak yang sah. Datuk Seri Dr. Zambry Kadir atau Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin?
Keputusan yang menentukan dari segi perundangan keatas pertikaian di Perak itu dijangka diumumkan oleh Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim di komplek mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur sekitar jam 2.30 petang.
Nizar bertegas mendakwa beliau masih Menteri Besar setelah Dr Zambry dilantik sebagai Menteri Besar baru ekoran tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri pakatan pembangkang,dua PKR dan seorang DAP keluar parti masing-masing dan menjadi calon bebas serta menyokong Barisan Nasional.
Peguamnya Sulaiman Abdullah mendakwa Sultan Perak tidak ada kuasa pecat Nizar sedangkan Peguam Negara Tan Sri Gani Patail menjelaskan itu tidak berlaku sebaliknya beliau disingkirkan daripada jawatan itu mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.
Ini kerana kini BN menguasai Dewan Undangan Negeri dengan 28 wakil rakyatnya dan tiga Bebas yang menyokongnya berbanding 28 di pihak pembangkang


Sultan bukan pecat Nizar tapi disingkir ikut Undang-Undang Tubuh Perak

Selama ini semua orang beranggapan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dipecat daripada jawatan Menteri Besar.
Namun, hari Khamis, Mahkamah Tinggi Rayuan Kuasa-Kuasa Khas Kuala Lumpur diberitahu Sultan Perak tidak memecat Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, sebaliknya beliau disingkirkan daripada jawatan itu mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.
Perkara itu dihujahkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dalam semakan kehakiman yang dikemukakan oleh Nizar untuk mendapatkan perisytiharan bahawa beliau masih Menteri Besar Perak yang sah.
Menurut Gani, penyingkiran Nizar dilakukan oleh Sultan Perak mengikut peruntukan Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak ekoran Nizar telah kehilangan kepercayaan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak. Nizar hilang kepercayaan atau sokongan DUN tersebut ekoran tiga orang ADUN iaitu ADUN Behrang, Jamaluddin Radzi, ADUN Bukit Gantang Kapten (B) Osman Jailu, kedua-duanya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan ADUN Jelapang, Yee Hit Foong (DAP) keluar daripada parti masing-masing dan menjadi ADUN Bebas dan menyatakan sokongan kepada Barisan naisonal (BN) untuk mebentuk kerajaan yang baru.
Dengan perkembangan itu, BN yang mempunyai 28 kerusi mendapat sokongan daripada tiga ADUN Bebas menjadikan BN mendapat sokongan dan kepercayaan daripada 31 ADUN untuk membentuk kerajaan manakala pakatan pembangkang yang semasa membentuk kerajaan mempunyai 31 kerusi daripada pakatan DAP, PKR dan PAS tinggal 28 sahaja