Monday, May 4, 2009

PKR perlu BN untuk “menang bergaya"

Politik adalah strategi dan psikologi. Maka untuk bertarung di gelanggang politik, perlulah ada kebijaksanaan memasang strategi dan menyerang lawan dengan psikologi. Inilah yang sedang berlaku dalam menunggu gerbang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang 31 Mei ini.


Pilihan raya kecil Penanti adalah satu daripada tiga pilihan raya kecil selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac tahun lalu yang diciptakan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR). Bagi PKR, Penanti suatu yang penting kerana kerusi itu dikosongkan oleh PKR.


Sekiranya calon PKR memenangi pilihan raya kecil ini, beliau akan dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang menggantikan Mohamad Fairus Khairuddin.


Melihat Barisan Nasional (BN) yang tidak begitu ghairah dengan Pilihan Raya Kecil Penanti, PKR menjadi resah sekiranya BN tidak ikut bertanding. Sekalipun sekiranya ini berlalu PKR akan menang tanpa bertanding tetapi kemenangan itu tidak bernilai kerana tidak berjaya menewaskan BN seperti dua pilihan raya kecilnya yang lain.


Memberi perhatian yang besar dan khusus kepada Pilihan Raya Kecil Penanti adalah menari mengikut rentak yang dicipta oleh PKR. Ini kerana pilihan raya kecil ini sudah menjadi gelanggang permainan politik PKR, mereka sengaja mengosongkan dan mengajak BN ikut menari kemudian kecundang. Sebabnya kawasan yang diciptakan pilihan raya kecil oleh PKR ini dikenalpasti sebagai penguasaan PKR.


Sudah dua pilihan raya kecil BN ikut menari dan hasilnya seperti yang dijangka, BN tewas dalam pilihan raya kecil yang sengaja diciptakan ini. Maka kali ini di Penanti BN perlu membuat keputusan tepat sama ada ikut menari atau membiarkan PKR saja yang menari sendirian.


BN sangat perlu mengenalpasti strategi PKR dan memasang strategi sendiri supaya permainan politik yang tidak sihat ini tidak berpanjangan.


Tentu suatu yang kurang bijak kalau BN turut bertanding kerana tidak mahu dianggap pengecut oleh PKR. Ini kerana PKR juga mempunyai jawapan yang lain sekiranya BN kalah lagi dalam Pilihan Raya Kecil Penanti.


BN jangan mengharapkan PKR memuji “keberanian” kerana turut bertanding kerana PKR akan berkata pula, rakyat menolak BN sekiranya BN kalah dalam permainan ini.


Secara psikologi, BN perlu sedar bahawa nilai PKR di Penanti hanya ditentukan oleh BN. Kalau BN tidak ikut serta, nilai kemenangan PKR tidak bererti. Dalam politik, menang tanpa bertanding bukanlah kemenangan yang boleh dibanggakan. PKR tidak mahu dilabelkan menang tanpa bertanding, tujuannya untuk memberitahu kepada rakyat pengaruh dan kekuatan PKR.


Pucuk pimpinan PKR sangat strategis dan BN perlu menyedari hakikat ini supaya tidak berlaku hanya tidak mahu dikatakan pengecut, BN akan memberi nilai pula kepada PKR.