Tuesday, August 4, 2009

Giliran pembangkang 'ditelanjangi' penulis blog


HAKIKAT bahawa media baru khususnya internet memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran sebahagian rakyat negara ini, terutama generasi muda sudah terbukti pada Pilihan Raya Umum Mac 2008.


Selain internet menjadi media utama parti pembangkang menyebarkan maklumat mengenai perjuangan, kegiatan, pendirian dan pandangan mereka, beberapa individu yang mencipta nama sebagai penulis blog atau bloggers, turut memenangi kerusi atas tiket pembangkang.

Malah, seorang pemuda yang hanya mula dikenali umum selepas merakam perbualan seorang peguam dengan hakim dan menyiarkannya dalam YouTube, berjaya menjadi Ahli Parlimen atas tiket pembangkang.



Ramai mengakui antara faktor pencapaian buruk Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lalu ialah kepercayaan sebahagian pengundi terhadap laman web tertentu yang menjadi ikutan ramai kerana menyiarkan pelbagai maklumat, walaupun kesahihannya diragui.


Disebabkan maklumat yang berupa separuh benar atau bersifat fitnah seperti itu tidak mungkin disiarkan oleh media arus perdana, apa lagi kebanyakannya mengenai keburukan kerajaan atau pemimpin kanan kerajaan, parti pembangkang kerap menjadikannya sebagai bahan kempen politik mereka.


Walaupun pemimpin kerajaan yang difitnah melalui laman web itu membuat penafian, tidak semua mempercayainya kerana 'maklumat' yang didedahkan itu terlalu terperinci. Yang kurang atau berbeza dengan media arus perdana hanyalah sumber maklumat dalam laman web berkenaan yang jarang dinyatakan dengan jelas.



Kini, kebanyakan pemimpin BN sudah lali dengan tuduhan atau dakwaan oleh penulis blog sedemikian. Mereka sedar jika pelbagai tuduhan yang berupa separuh benar atau fitnah seumpama itu dilayan, ia tidak akan ada kesudahannya.



Sebaliknya penulis blog berkenaan semakin popular dan seolah-olah mendapat pengiktirafan. Hanya dalam kes tertentu seperti serangan peribadi yang keterlaluan sehingga boleh 'membunuh' karier politik, mencetuskan ketegangan kaum atau menggugat keselamatan negara, ada yang membuat laporan polis atau desakan supaya pihak berkuasa mengambil tindakan sama ada menyiasat ke atas penulis blog itu atau terhadap dakwaan berkenaan, sama ada benar atau tidak.



Oleh itu, tidak ramai terkejut apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kelmarin meminta penulis blog bertindak secara 'gentleman' dengan mendedahkan identiti mereka dan bukan 'baling batu sembunyi tangan'.


Cuma yang pelik sedikit ialah baru sekarang seorang tokoh politik bukan BN mengeluarkan kenyataan hampir senada dengan apa yang pernah dinyatakan oleh pemimpin BN beberapa tahun lalu. Abdul Khalid dilaporkan menyatakan demikian apabila diminta mengulas dakwaan sebuah laman blog yang mendedahkan dakwaan penyelewengan seorang Exco Selangor yang mempunyai kaitan dengan kematian Teoh Beng Hock.



Laman blog http://www.t4tbh.blogspot.com dalam pendedahannya mendakwa berlaku penyelewengan lebih 300 projek kecil bernilai ratusan ribu ringgit di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah jagaan Exco terbabit. Sekumpulan penulis yang hanya mahu dikenali sebagai 'T4TBH' atau 'Truth for Teoh Beng Hock' turut mendakwa Teoh meninggalkan salinan bukti berupa senarai lebih 300 projek kecil itu.



Jumaat lalu, Exco Kerajaan Selangor, Ronnie Liu terus memanggil sidang akhbar menjelaskan butiran perbelanjaan awam bagi kawasan DUN Sungai Pelek, sekali gus menafikan wujudnya elemen penyalahgunaan dana kerajaan. Beliau juga mendakwa dokumen yang dimuatkan dalam blog itu sebagai maklumat palsu.


Bagaimanapun, semalam Ronnie Liu dan Ean Yong Hian Wah membuat laporan polis terhadap laman blog terbabit yang mendakwa mereka menyalahguna peruntukan kerajaan negeri. Semalam juga, Pemuda Umno Selangor membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam, berhubung dakwaan salah guna peruntukan kerajaan negeri seperti disiarkan sebuah laman blog.


Malah, pergerakan itu turut meminta supaya SPRM meneruskan siasatan terhadap tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Exco Selangor daripada Pakatan Rakyat yang didakwa ada kaitan dengan kes berkenaan. Abdul Khalid, pada sidang medianya kelmarin, berkata, ada laman blog yang diwujudkan bertujuan memberi pandangan buruk kepada pihak tertentu dan berharap setiap penulis blog mempunyai etika tertentu supaya maklumat dikemukakan sahih.



Beliau meminta pihak yang mempunyai dakwaan berhubung sesuatu penyelewengan perlu bertanggungjawab melaporkannya kepada pihak berkuasa dan bukan setakat mendedahkan dakwaan itu di dalam blog.


"Jika berlaku penyelewengan, tanggungjawab masyarakat bukan menulis dalam blog saja, tetapi bawa ke pihak yang perlu ambil tindakan. Saya memang galakkan usaha itu, tetapi pada saya ada kalanya cerita dalam blog tidak semestinya seratus peratus benar," katanya.


Pandangan Abdul Khalid terhadap penulis blog seumpama itu tidak banyak berbeza dengan pemimpin BN sebelum ini. Sebabnya ialah kedudukan Abdul Khalid dengan pemimpin BN sekarang adalah sama, cuma parti yang berbeza. Sebagai ketua atau anggota kerajaan, walaupun pada peringkat negeri, tindakan 'baling batu sembunyi tangan' daripada kalangan tertentu seperti itu tidak dapat dielakkan.



Sementara ada penulis blog yang tidak mendedahkan identiti sebenar mereka kerana sengaja mahu menyebar fitnah, ada juga berbuat demikian kerana mereka di kalangan 'orang dalam' dan tahu secara terperinci mengenai maklumat yang didedahkannya. Bagaimanapun seperti kata Abdul Khalid, penulis blog juga dianggap kumpulan yang menghormati kebebasan akhbar dan keadilan masyarakat.



Banyak laman web yang berwibawa sehingga pandangan atau maklumat mereka membantu kerajaan atau pihak berkuasa membaiki kelemahan. Justeru, kita percaya jika pembangkang khususnya DAP sebelum ini sering mendesak kerajaan menyiasat kebenaran sesuatu dakwaan yang disiarkan dalam laman web, bukannya bertindak terhadap penulis, mereka tentunya tidak keberatan tuduhan penulis blog itu disiasat. Lagipun, seperti kata Abdul Khalid:


"Kita mesti terima hakikat bila kita adakan an open and transparent society kita akan hadapi keadaan ini, tetapi rakyat sendiri punya fikiran matang dan mereka boleh nilai yang mana betul dan yang mana tidak betul."




Bookmark and Share