Tuesday, August 11, 2009

Orang Melayu tak sedar 'diperkuda' Pakatan Rakyat



PKR, Pas hanya diperalat DAP untuk jayakan agenda menuntut hak kesamarataan bangsa

SEJAK seminggu lalu, banyak reaksi yang didengar mengenai perhimpunan haram bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diadakan sekitar ibu kota, Sabtu lalu.

Malah, beberapa hari lalu, beberapa pihak mengemukakan tuntutan kepada penganjur perhimpunan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) kerana mendakwa mereka terjejas serta kerugian akibat demonstrasi jalanan berkenaan.

Jelas sekali perhimpunan haram yang dianjurkan atas nama membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu gagal mencapai maksud dihajatkan penganjur yang didalangi pembangkang itu.

Bagi penyandang Kursi Tun Ghafar Baba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Zainal Kling, berkata perhimpunan berkenaan lebih kepada usaha mengalihkan pandangan umum mengenai pertikaian yang berlaku dalam Pakatan Rakyat (PR) dan isu lain yang sedang hangat diperkatakan

Bantahan kepada ISA hanya alasan memperlihatkan bahawa PR sepakat, walaupun hakikatnya tiga 'sahabat' dalam pakatan itu iaitu Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mempunyai ideologi yang berbeza dan tidak mungkin dapat mencari satu titik pertemuan bagi bekerjasama dan bersatu.

"Ada banyak jurang perbezaan pandangan dan perjuangan di kalangan parti dalam PR. Perbezaan berkenaan sekali sekala muncul, tetapi banyak disorokkan untuk melindungi dan memesongkan perhatian awam terhadap pertikaian dan perbezaan dalaman yang dihadapi mereka (PR)," katanya.

Pakatan berkenaan menurut Prof Zainal, sengaja mengadakan demonstrasi kerana mahu 'menukar tajuk' dengan menjadikan GMI sebagai 'kuda tunggangan' menganjurkan gerakan memperjuangkan isu yang tidak perlu seperti ISA.

PR juga sering memesongkan rakyat dengan membawa isu lain yang tidak berapa penting dan kritikal atas alasan keadilan bagi menutup perpecahan yang sering kali meledak di dalam pakatan itu seperti berlaku di Selangor.

Terbaru isu campur tangan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu, yang menghalang Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merampas minuman keras daripada sebuah kedai serbaneka di Jalan Liku, Seksyen 8, Shah Alam juga jelas menunjukkan kepincangan yang berlaku dalam pakatan itu apabila wakil Pas tidak senang dengan perlakuan Exco daripada DAP, Ronnie Liu.

Lebih parah lagi kita lihat Menteri Besar Selangor daripada PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seakan-akan menyokong DAP yang membawa kemarahan kepada wakil Pas dan orang Islam di negeri berkenaan.

Prof Zainal berkata, banyak kepincangan dan perbalahan berlaku di negeri dikuasai PR seperti di Perak dan Pulau Pinang, tetapi ia disorokkan daripada umum, walaupun kini penyokong Pas mulai sedar dan mahukan perubahan seperti ditunjukkan pada pilihan raya kecil Manek Urai.

"DAP memang sejak dulu dari Singapura memperjuangkan dasar persamaan hak. Kini mereka sudah berjaya meyakinkan sesetengah orang Melayu bahawa Umno itu mengamalkan diskriminasi dan bersikap seperti aparteid. Lebih malang beberapa pemimpin Melayu di dalam parti itu mempercayai persamaan hak penting untuk semua.

"DAP dengan penuh strategi juga mengagungkan pemimpin dalam pakatan seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai pemimpin penuh keadilan supaya orang Melayu 'terbuai' dengan pujian dan menjadi rakan sekutu mereka.

"Mereka ini apabila seronok dipuji akan terlupa bahawa DAP mempunyai agenda tersembunyi untuk merombak Perlembagaan negara bagi memansuhkan hak keistimewaan orang Melayu, bahasa Melayu dan sebagainya. Sebab itu, saya nampak ada pemimpin Pas dan PKR daripada kalangan orang Melayu yang terbabit dalam perhimpunan itu.

"Mereka ini nampaknya termakan puji dan sanggup jadi 'kuda tunggangan' kawan sendiri," katanya

Presiden Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Bakar, berkata orang Melayu kini berpecah dan menyertai banyak kelompok menyebabkan mereka tidak sedar bahawa sudah dipergunakan sesetengah pihak untuk tujuan merealisasikan agenda pihak berkenaan.

"Saya melihat bantahan kepada ISA hanya alasan untuk pihak yang tidak bertanggungjawab ini menjalankan 'jarum' mereka menghakis hak yang ada pada orang Melayu dan orang Islam di negara ini. Kita bimbang dengan perkara ini dan kini berusaha menyatukan kelompok Melayu ini supaya bersatu," katanya.

Beliau yakin bahawa perhimpunan jalanan bukan sekadar memperjuangkan bantahan pelaksanaan ISA di negara ini, sebaliknya menjadi medan parti politik tertentu yang mempunyai matlamat tersendiri.

Seperti biasa dalam usaha mencapai matlamat tersendiri yang dalam kebanyakan kes berbeza-beza ini, masing-masing tidak akan teragak-agak menggunakan atau lebih tepat memperkudakan rakan sendiri.

"ISA itu sudah jelas dan ia selaras dengan Rukun Negara, iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang. Jadi tidak perlu bantahan dibuat secara berdemonstrasi kerana ia jelas melanggar Rukun Negara kelima, Kesopanan dan Kesusilaan.

"Orang Melayu patut sedar, bahawa inilah masa bersatu seperti dinyatakan Perdana Menteri, dalam konsep 1Malaysia. Menunjuk perasan atas isu ISA tidak dapat menyatukan, tetapi ia sekadar 'alat' mengalihkan pandangan kita terhadap isu perpaduan orang Melayu," katanya.

Beliau berpendapat perpaduan antara orang Melayu penting dan perkara itu sangat ditakuti parti politik tertentu kerana ia boleh menjejaskan usaha mereka memperjuangkan hak kesamarataan rakyat tanpa mengira bangsa.

Perkara itu diakui Timbalan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak yang melihat penganjur diperkudakan rakan sendiri dalam parti pembangkang yang sengaja mahu mewujudkan kekacauan di negara ini bagi membolehkan mereka menyalahkan kerajaan serta menutup kelemahan kerjasama mereka dalam PR.

Jelas, katanya perhimpunan haram berkenaan bukannya mahu membantah ISA, tetapi lebih memperjuangkan ideologi dan perjuangan parti yang ada dalam PR.

Beliau menegaskan jika benar peserta perhimpunan itu diupah pihak tertentu untuk mengambil bahagian serta dipergunakan tanpa kerelaannya untuk menyertai demonstrasi berkenaan juga membuktikan tanggapan ramai bahawa ISA hanya digunakan sebagai alasan.

"Golongan yang dibayar untuk menyertai perhimpunan jalanan itu jelas membenarkan diri diperkudakan dengan menggadai maruah untuk sekadar mendapatkan duit semata-mata. Lebih malang lagi, yang diperkudakan tidak sedar bahawa mereka dipermainkan dan digunakan rakan sendiri dalam pakatan untuk merealisasikan cita-cita masing-masing," katanya.

Prof Mohamed Mustafa turut mempersoalkan sejauh mana perhimpunan berkenaan benar memperjuangkan hak asasi manusia yang dikatakan terabai akibat pelaksanaan ISA.

"Adakah kita perlu menafikan hak asasi orang lain untuk bekerja, berniaga dan mencari rezeki atau kanak-kanak yang mahu bersekolah dan mendapatkan pendidikan hanya kerana kita mahu membela hak asasi kita? Adakah ia dinamakan adil kerana perhimpunan itu bukan hanya menyusahkan polis dan pihak keselamatan tetapi orang awam yang berada di kawasan demonstrasi jalanan itu berlangsung?

"Paling dikesali mereka yang tidak berdosa seperti orang awam dan kanak-kanak yang menjalankan kehidupan seperti biasa turut menerima kesan. Begitu juga peniaga di Jalan Tunku Abdul Rahman yang menjadi nadi utama perniagaan orang Melayu.

Lokasi perhimpunan itu juga adalah tempat orang Melayu membeli-belah, terutama persiapan menjelang Ramadan akhir bulan ini.

Berdasarkan tiga pandangan itu jelas bahawa mereka yang menyertai perhimpunan itu, terutama orang Melayu tidak sedar bahawa mereka diperkudakan kelompok lain yang jelas mempunyai cita-cita dan agenda lain yang jelas bukan atas nama membantah ISA.

ISA sengaja dijadikan alasan untuk mengajak orang berhimpun secara haram, sedangkan pada pihak kerajaan, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri menyatakan kajian semula terhadap ISA itu adalah sebahagian daripada keutamaan dijanjikannya ketika mengambil alih jawatan April lalu.

Malah, Malaysia ada saluran untuk rakyat menyuarakan pandangan mereka, iaitu menerusi wakil di Dewan Rakyat dan Dewan Negara berhubung sebarang akta yang ingin dipinda atau dimansuhkan.

Namun, dalam isu ISA, akta peninggalan penjajah itu bukannya tidak berguna atau menindas orang awam, sebaliknya banyak memberi manfaat kepada rakyat dan negara dalam mengekang golongan pelampau, komunis kumpulan subversif demi keamanan dan kesejahteraan rakyat.

Apa yang dipertikaikan sekarang ialah pelaksanaan akta berkenaan bukannya bantahan terhadap matlamat akta berkenaan digubal. Matlamat ISA digubal begitu jelas dan ia begitu baik serta relevan dari sejak digubal hingga sekarang.