Wednesday, August 26, 2009

Keluar PKR: Syabas YB Radzhi Salleh


BAGAIKAN kebetulan, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Kedah, Mohd. Radzhi Salleh mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi wakil rakyat bebas hanya berselang beberapa hari sebelum hari pengundian pilihan raya kecil Permatang Pasir.

Pengumuman itu sekali gus memberi dua konotasi yang berbeza kepada pemerhati politik. Di pihak kerajaan, ia dilihat sebagai bukti kepada betapa goyahnya parti PKR sehingga hilang kepercayaan di kalangan ahlinya sendiri.

Ia secara tidak langsung memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk meyakinkan penduduk Permatang Pasir bahawa pakatan pembangkang sebenarnya tidak boleh ke mana. Sebaliknya hanya gah dengan pelbagai isu dan konflik dalaman yang berlaku dalam pakatan pembangkang iaitu PKR, Pas dan DAP.

Bagi pakatan pembangkang pula, tindakan Mohd. Radzhi itu tidak ubah seperti sebuah perancangan penuh strategik BN untuk mencemar kredibiliti mereka. Ia dilihat taktik kotor BN meraih simpati pengundi di Permatang Pasir hari ini.

Jika benar Mohd. Radzhi sudah hilang kepercayaan kepada parti, mengapa baru kali ini iaitu ketika menjelangnya pilihan raya kecil di Permatang Pasir beliau tampil membuat pendedahan? Dalam senario politik negara yang semakin kalut ketika ini, keputusan Mohd. Radzhi untuk bergerak secara bebas bukanlah tindakan yang luar biasa.

Ia boleh disifatkan sebagai reaksi atau tindak balas yang sangat sinonim setiap kali menjelangnya pilihan raya atau sebarang peristiwa yang menyentuh mengenai agenda politik diumumkan.

Namun, dalam kes Mohd. Radzhi, ada sesuatu yang agak menarik untuk diperhatikan seterusnya merungkai tindakan beliau. Antaranya ialah tindakan pemimpin utama PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang membelasah personaliti beliau di dalam sebuah laman sesawang berbentuk berita.

Anwar antara lain mengaitkan Mohd. Radzhi dengan masalah disiplin, kewangan dan hal-hal peribadi. Tidak dapat dipastikan kenapa Anwar bertindak sedemikian rupa. Kerana sebagai seorang pemimpin atau ketua, beliau seharusnya melindungi hak peribadi pengikut beliau apatah lagi yang bertaraf wakil rakyat.

Adakah kerana Mohd. Radzhi memilih untuk keluar parti maka segala isu yang membabitkan beliau berhak dicanang kepada umum?

Bagaimana sekiranya Mohd. Radzhi masih kekal sebagai ADUN PKR, apakah isu-isu peribadi beliau sanggup dibuka ke pengetahuan rakyat?

Ini secara tidak langsung menjelaskan sikap Anwar yang tidak menghormati Mohd. Radzhi sebagai salah seorang ADUN yang kini bekas pemimpin PKR.

Seandainya beliau ikhlas, PKR seharusnya memberi sokongan kepada Mohd Radzhi untuk terus berjuang demi kebenaran tanpa mengambil kira parti apa yang disokong.

Tidak dapat dipastikan sejauh mana isu keluar parti Mohd. Radzhi ini mempengaruhi corak pengundian di kalangan penduduk Permatang Pasir hari ini.

Namun sesuatu yang perlu ditekankan, masyarakat Malaysia perlu menetapkan pendirian dengan memilih pemimpin dan parti politik yang memperjuangkan nasib mereka dan membawa kepada kerukunan dan kesejahteraan kepada negara.

Kita tidak mahu menjadi seperti negara-negara jiran yang tidak pernah lekang dengan aksi politik melampau kerana rakyat terlalu vokal dalam menentukan jatuh bangun sesebuah pemerintahan negara.

Memang rakyat berhak merencana semua perjalanan politik negara. Tetapi sekiranya bermandikan darah, caci-maki, kekejaman dan pelbagai anasir buruk lain yang akan menggugat proses demokrasi sedia ada, adakah ia sesuatu yang berbaloi untuk dipertahankan?

Apa pun tindakan Mohd. Radzhi dan Anwar pastinya memberikan implikasi negatif kepada kekuatan PKR.

Ia tidak memerlukan penjelasan mendalam kerana Anwar sendiri sebelum ini memperkenalkan polisi tindakan melompat parti yang kemudiannya menjadi trend dalam budaya politik demokrasi Malaysia.

Cuma apa yang boleh diperhatikan daripada tindakan Mohd. Radzhi itu sebenarnya banyak mencerminkan kredibiliti PKR dalam perjuangan membela rakyat yang semakin dibimbangi dan diragui.

Ketandusan idea PKR dalam perjuangan parti itu membuatkan ramai yang berfikir mengenai rasional untuk memberikan sokongan. Lihat sahaja apa yang berlaku sebelum setahun pakatan pembangkang memerintah.

Pelbagai spekulasi timbul dan masalah yang dicetuskan baik isu perkauman, rasuah politik, integriti dan banyak lagi.

Perkara ini seperti yang dijelaskan oleh pensyarah di Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya (UM), Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad, sangat logik untuk dianalisis dari sudut pemikiran masyarakat Malaysia yang sentiasa mahukan kebenaran dan pembelaan terhadap nasib mereka.

Pakatan pembangkang diuji dengan pelbagai isu yang secara tidak langsung menggambarkan kekuatan mereka sebagai pemerintah. Polemik itu sedikit sebanyak menimbulkan pertanyaan adakah pakatan pembangkang merupakan harapan baru bagi rakyat Malaysia?

Persoalan ini jelas Noor Sulastry, perlu dijawab dengan melihat beberapa konteks penting. Antaranya pakatan pembangkang perlu melaksanakan janji-janji yang telah dibuat semasa Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu seperti memperjuangkan ketelusan, keadilan, responsif, berjiwa rakyat, mempunyai sikap yang sederhana dan banyak lagi.

Malangnya tambah Nor Sulastry, senario yang berlaku tidak menggambarkan seperti apa yang diharapkan. Perbalahan demi perbalahan tercetus dalam pakatan pembangkang termasuk dalam isu kerajaan campuran, raja Melayu, kerajaan perpaduan, isu kuil di Selangor, isu babi dan bermacam lagi.

''Tiada kesepakatan yang dicapai antara mereka. Sikap saling tuding-menuding sama sekali tidak menjamin demokrasi dan kejayaan dalam sesebuah negara sekiranya dibiarkan berterusan," ujar beliau.

Kerana itu juga perlu diingatkan, kedudukan hegemonik pakatan pembangkang kini bukanlah sesuatu yang berkekalan.

Ia boleh berubah sepanjang masa kerana kegagalan atau konflik dalaman pakatan pembangkang. Keadaan ini memberikan alternatif yang baik dan dengan desakan faktor eksternal seperti kekuasaan BN ke atas struktur politik, ia boleh membawa kepada kuasa hegemonik itu dirampas semula.




Bookmark and Share