Monday, January 17, 2011

Isu arak: Pas tumpas sekali lagi kepada DAP

KUALA LUMPUR 16 Jan. – Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin mendakwa Pas yang kononnya memperjuangkan Islam dan bercita-cita untuk menubuhkan negara Islam di Malaysia tumpas sekali lagi kepada DAP dalam isu arak di Selangor.

Ia berikutan tindakan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor melalui exconya, Ronnie Liu membatalkan arahan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melarang orang Islam berkerja di premis menjual minuman keras dengan alasan tidak adil.

Menurut Zulkifli, larangan tersebut meskipun disokong Pesuruhjaya Pas Selangor yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali tetapi, ternyata DAP lebih berkuasa mempengaruhi kerajaan negeri.

Malah, lebih malang katanya, terdapat segelintir pemimpin Pas Selangor yang sanggup bersekongkol dengan menyokong langkah Ronnie semata-mata mahu membodek DAP apabila turut mendakwa, prosedur tindakan yang diambil MPSJ salah serta tidak Islamik.

“Nampaknya Pas tumpas lagi, pendirian Hassan dan Pas Selangor dalam isu arak langsung tidak dihormati oleh kerajaan negeri walaupun tindakan yang diambil itu bertujuan untuk mengekang kegiatan maksiat dalam kalangan umat Islam, sebaliknya mereka membatalkan larangan MPSJ.

“Bagaimanapun teman (saya) tidak hairan kerana yang menentang larangan itu ialah Ronnie dan DAP. DAP memang terbukti sejak dahulu dan sentiasa konsisten dengan pendirian menentang Islam, menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud,” katanya.

“Tapi yang teman (saya) pelik, dalam isu ini ada juga ‘pak jangoat’ yang menyokong DAP walaupun sudah terang lagi bersuluh bahawa umat Islam diharamkan bekerja, menjual, membuat, menyediakan, membawa dan menghidang kerana hukumnya sama seperti peminum arak,” katanya.



Bookmark and Share