Friday, December 12, 2008

PKR Padang Serai yang semakin bercelaru

PKR Bahagian Padang Serai yang bercelaru dan berkecamuk. Inilah yg dinamakan tidur bersama, mimpi berbeza-beza. Sekarang dah ramai yang muak dgn YB Bala. YB Radhi pula tak nampak batang hidung semenjak jadi ADUN Lunas, begitu juga dgn Ustazah Aisyah. Gerenti P/R ke13 akan datang, Pakatan Rakyat akan bungkus di Padang Serai.


Cabai Melaka: PKR Padang Serai ni, ramai sangat "geng-geng" kulit gelap....orang Melayu PKR pun dah menyampah. Gambar diatas mentafsirkan semuanya



PKR: Ahli keluar parti salah siapa ..?? (Dipetik dari Blog Kedahlaniee)
Oleh Mat Saleh
Semalam dan hari ini menjadi berita hangat apabila dikatakan 1,000 orang ahli PKR keluar parti dan memasuki parti dalam BN. Ini berita sensasi bagi BN yang telah 8 bulan ditunggu.


Tapi apa pun situasinya ianya patut menjadi pengajaran kepada PKR dan parti2 dalam PR supaya kudis yang berlaku dalam PR sekarang tidak merebak menjadi chokua yang boleh memudaratkan organisasi ini.Peristiwa ini berlaku di kawasan DUN Merbau Pulas (DUN PAS) dalam kawasan Parlimen Padang Serai.
Kawasan ini hampir didominan olah penduduk bukan melayu yang kebanyakannya orang Tamil. Perasan tidak puas hati adalah berikutan tiadanya ketua kampong yang dilantik di kalangan orang india untuk menguruskan masyarakat india. Penyokong2 PKR ini menyalahkan PKR kerana tidak mempertahankan hak mereka lalu bertindak keluar dari PKR.Mengapa perkara ini boleh berlaku?.
Saya melihat ada dua factor iaitu dalam PKR sendiri dan yang keduanya peranan parti dalam PR yang cuba saling membunuh antara satu sama lain.Pucuk pimpinan PKR negeri Kedah dibawah pimpinan YB Ir. Zamri sekarang memperlihatkan kelemahannya dalam berdepan dengan tuntutan penyokong akar umbinya. Kelemahan pimpinan negeri disatu sudut memang baik kerana ianya tidak akan menimbulkan sengketa dan hanya menjadi pak turut seperti yang berlaku kepada MCA atau MIC dalam BN.
Dan di kedah jika PKR menjadi pak turut kepada PAS maka semuanya akan baik tidak akan berlaku pertikaman lidah di peringkat pimpinan atasan. Tapi adakah itu baik untuk penyokong2 PKR terutamanya bangsa bukan Melayu yang tidak berugama Islam. Kawasan ini adalah kawasan orang india – apa salahnya jika dilantik KKnya dari kalangan orang india. Kita janganlah terlalu tamak sehinggakan semuanya kita nak bolot dan tak nak bagi sama kepada bangsa lain.
Adalah lebih menguntungkan kerajaan PAS jika KKnya dari kalangan orang india sendiri. Nanti senang kita berurusan dengan kaum tersebut. Ugama mereka berbeza, adapt resam mereka lagi berbeza dan semuanya berbeza. Bagaimana KK orang Melayu nak uruskan mereka ini. Bila ada kematian tak kan kita nak baca Yasin, nak baca talkin. Kadang2 pening kepala memikirkan kerenah PAS ni. PAS janganlah terlalu buruk sangka kepada PKR. Parti ini tidak pernah membelakangkan kawan dan tidak akan berpaling tadah. Sehingga sekarang tidak terdapat tindakan yang drastic yang dilakukan kecuali ura2 ADUN PKR nak keluar PR pada 18 Oktober lalu. Tapi itu pun dapat diselesaikan dengan baik oleh Dato Seri Anuar. Masalah KK ini telah berpanjangan dan akan terus menjadi duri dalam daging pemerintahan PR di Kedah.
Ada baiknya isu ini dikaji semula supaya ianya tidak mendatangkan mudarat kepada mana2 parti dalam PR. Mengapa PAS mesti takut dengan pengujudan KK dari PKR. Jika dengan jawatan KK ini boleh menjadi batu loncatan untuk PKR memperbanyakkan cawangan di akar umbinya ianya sememangnya akan membantu kerajaan PAS untuk terus mempertahankan Kedah dalam PRU13 kelak.
Kalau pakatan ini mendapat keadilan dari parti domino sudah tentu pertandingan 3 penjuru tidak akan berlaku dalam PRU13 nanti tapi jika perasaan tidak puas hati ini dibiar berterusan, tak tau la kita bagaimana pula pola pertandingan yang akan terjadi. Natijahnya, adalah baik sekiranya isu MKK ini mendapat perhatian segera dari pucuk pimpinan PR bagi meredakan ketegangan yang terjadi sekarang dan juga dari PAS akan ada tolak ansur dan mengkotakan janji yang telah dibuat.
Bagi pucuk pimpinan PKR pula kita perlu mempunyai ketegasan dalam mempertahankan hak yang telah dijanjikan. Jika perjanjian memperuntukkan bahawa setiap UPU (JDM) parti yang menang berhak 2/3 dan parti rakan 1/3 janji ini perlu dihormati. Persoalan parti rakan tidak mempunyai cawangan atau ahli tidak timbul kerana lambat laut akan ujud cawangan dikawasan tersebut.
Tak kan semua pengundi terdiri dari ahli parti yang menang tentu ada penyokong parti rakan. Apa salahnya penyokong parti rakan ini dilantik menjadi KK. Adalah satu etika yang salah jika kita mengambil hak kawan dengan alasan tiada berkemampuan. Hak tetap hak dan janji tetap janji. Berikan hak tersebut pada PKR dan biar PKR memutuskannya untuk menyelesaikan persoalan tiada calon yang sesuai. Perkara ini mestilah memdapat ketegasan dari pucuk pimpinan PKR.
Jangan bila kita telah diberi beberapa GLC kita membelakangkan dan mengenepikan perjuangan kita kepada ahli2 akar umbi yang memerlukan perlindungan kita. Kepada YB Ir Zamri masa depan PKR Kedah terletak dalam kebijaksanaan saudara mengaturkannya.
Jangan ada lagi kejadian keluar parti disebabkan masalah KK ini berlaku ditempat lain. Masih banyak DUN yang mengalami masalah yang sama seperti DUN Pantai Merdeka, DUN Guar Cempedak, DUN Bandar Baru yang memerlukan perhatian saudara. Kepada Ustazah Aishah, bertolak ansurlah sama dengan penduduk bukan islam kerena mereka juga memerlukan bantuan dari YB KITA JANGAN JADI PENYAMUN DALAM CERITA NUJUM PAK BELALANG

Wednesday, December 10, 2008

Kempen memporak perandakan politik Malaysia

BEBERAPA orang kawan Muslim Amerika bertanya apa yang terjadi dengan politik Malaysia. Mereka terkejut dengan politik Malaysia sejak akhir-akhir ini khususnya selepas pilihan raya umum Mac lalu.

Sebenarnya perkembangan politik Malaysia kini menjadi perhatian dunia khususnya negara-negara Islam. Mereka mempunyai pandangan yang tinggi terhadap Malaysia sebagai sebuah negara bermajoriti penduduk Islam moden dibandingkan dengan negara lain termasuk negara Timur Tengah yang kaya dengan hasil minyak.

Mereka menganggap Malaysia model kepada negara-negara Islam. Lantaran itu mereka harap Malaysia tidak terjerumus ke dalam konflik seperti mana yang sedang dialami oleh beberapa buah negara Islam seperti di benua kecil India, Afrika dan Timur Tengah. Begitu tingginya harapan mereka terhadap Malaysia.

Sebenarnya ramai rakyat luar yang mempunyai penghormatan tinggi terhadap Malaysia dan bukan sekadar orang Islam sahaja. Jangan terkejut kalau penduduk di sebuah perkampungan kecil di Afrika tahu mengenai Malaysia.

Namun rakyat Malaysia mempunyai pandangan yang berlainan terhadap negaranya sendiri. Kalau dibaca komen-komen dan tulisan di beberapa blog dan portal, Malaysia seolah-olah sebuah negara yang paling tidak selamat. Kerajaan mengamalkan pemerintahan diktator, pembersihan etnik dan dasar-dasar ekonomi hanya menguntungkan Melayu.

Melayu seolah-olah satu perkataan yang paling kotor. Meskipun Melayu salah satu komponen bumiputera tetapi nampaknya sengaja dipisahkan dengan kaum bumiputera lainnya. Seolah-olah wujud satu usaha untuk mengadu-dombakan kaum bumiputera melalui perbezaan agama. Apakah 'Perhimpunan Orang Asal' di Kuala Lumpur tidak lama dulu merupakan permulaan kepada satu pergeseran yang panjang.

Malahan ada pihak-pihak yang menghentam Melayu meskipun berselindung di sebalik perkataan UMNO. Ini untuk membuktikan bahawa mereka tidak menghentam Melayu keseluruhannya semata-mata untuk mengambil hati orang Melayu dalam Pas dan PKR atau orang Melayu yang dikira mempunyai pemikiran liberal dan anti-UMNO.

Ketegangan
Tidak syak lagi kempen-kempen seumpama ini boleh menimbulkan ketegangan antara kaum. Sekali gus membuktikan bahawa rakyat Malaysia masih belum bersedia untuk mempraktikkan dasar-dasar keterbukaan.

Oleh itu jangan marah kalau kerajaan dan ramai orang Melayu yang merasakan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih perlu. Provokasi-provokasi terhadap orang Melayu nampaknya melintasi sempadan agama dan lain-lain perkara yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan.

Perkara seumpama ini tidak berlaku pada masa lalu. Orang Islam menghormati adat resam dan agama bukan Islam dan begitulah sebaliknya. Pihak berkuasa agama Islam boleh mengeluarkan sebarang undang-undang atau fatwa sekiranya sesuatu perkara dikira bertentangan dengan Islam. Tidak terdengar bantahan daripada bukan Islam.

Begitu juga dengan isu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan tindakan menggunakan pelbagai bahasa di tapak-tapak warisan dunia kononnya untuk tujuan memudahkan pelancong.
Bekas-bekas diplomat dan para diplomat kita yang masih bertugas di negara yang mempunyai tapak-tapak warisan tidak menemui papan-papan tanda jalan ataupun papan kenyataan ditulis dalam pelbagai bahasa di dunia (kalau sekarang sudah berubah tidak tahulah). Kalau ada pun cuma bahasa Inggeris (di negara-negara bahasa rasmi bukan bahasa Inggeris) untuk memudahkan pelancong di samping bahasa tempatan.

Kempen-kempen bersifat memburuk-burukkan imej negara dan menghilangkan kepercayaan Malaysia di mata dunia melalui tulisan-tulisan dan kenyataan-kenyataan negatif di dalam internet dibaca oleh rakyat negara-negara asing. Apatah lagi kalau tulisan tersebut ditulis dalam bahasa Inggeris.

Baru-baru ini penulis terbaca satu surat pembaca yang mendakwa orang Cina telah menjadi miskin, sementara Melayu pula dikatakan menjadi kaya raya.

Lalu penulis terbayang bangunan-bangunan dan gedung-gedung perniagaan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh dan lain-lain bandar besar Malaysia dipunyai oleh orang Melayu. Nama-nama gedung terpampang nama-nama syarikat dan korporat Melayu. Daripada senarai 40 orang terkaya di Malaysia lebih dua pertiga orang Melayu. Ini adalah mimpi penulis yang mungkin tidak akan menjadi kenyataan.

Dibandingkan dengan Martin Luther King Jr. mimpi beliau untuk melihat kaum kulit hitam mempunyai hak sama rata dengan rakyat kulit putih akhirnya tercapai dan kemuncaknya kemenangan Barack Hussein Obama dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) 4 November lalu.

Kalau kaum kulit hitam berjaya menjadi presiden 160 tahun selepas hamba abdi diharamkan, penulis tidak berani meneka berapa ratus tahun dari sekarang Melayu akan menguasai ekonomi. Mungkin tidak tercapai langsung. Mungkin akan hilang kesemuanya termasuk politik. Mungkin juga kita memerlukan mimpi seorang Martin Luther King Malaysia.

Sekarang tibalah masanya pemimpin-pemimpin politik dari segenap kaum mengendurkan ketegangan yang dikira telah mula tiba ke tahap bahaya. Mungkin para pemimpin menganggap bahawa apa yang berlaku sekarang hanya lakonan politik, tetapi mereka mesti sedar bahawa pemahaman politik di kalangan rakyat biasa adalah berlainan dengan para pemimpin. Mereka jujur dan tidak pandai bersandiwara.

Tuesday, December 9, 2008

Apa makna 'Ketuanan'?


TANGGAPAN pemikiran Timbalan Presiden MCA, Dato Seri Dr. Chua Soi Lek bahawa ketuanan Melayu tidak relevan memang ada benarnya. Malah sokongan Ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun terhadap kenyataan ketuanya itu pun ada maknanya. Percaya atau tidak, marah atau tidak, nampaknya ketuanan Melayu memang tidak relevan lagi.



Tidak perlulah ditukar konsep ketuanan Melayu kepada konsep keabsahan Melayu atau kepimpinan Melayu, kekuasaan Melayu atau apa sahaja, pokoknya memang makna ketuanan Melayu sudah tidak relevan pun.



Cumanya tak relevan ketuanan Melayu pada pemikiran penulis tidaklah sama dengan pemikiran dua tokoh pimpinan MCA itu. Tidak relevannya ketuanan Melayu pada penulis ialah walaupun orang Melayu adalah 'tuan' di tanah airnya sendiri tetapi bak kata orang tua-tua 'menang sorak kampung tergadai'. Makna ketuanan Melayu sudah hilang relevan bila orang Melayu sendiri termasuk para pemimpinnya mula berperangai seperti Pak Kaduk.

Orang Melayu diakui dalam sejarah negara sebagai penduduk asal tanah air ini. Pada 2010 dijangka orang Melayu akan terus merupakan majoriti di negara ini dengan kadar 67 peratus, berbanding etnik Cina 24.3 peratus dan etnik India 7.4 peratus. Manakala lain-lain etnik akan berada pada tahap 1.3 peratus. Bagaimanapun data ini belum boleh memberikan makna tentang menjadikan ketuanan Melayu sebagai sesuatu yang relevan di kalangan masyarakat Melayu negara ini.

Ideologi
Dari segi politik, pemecahan orang Melayu memang sudah jelas. Atas nama ideologi yang berbeza orang Melayu berpecah kepada tiga kumpulan utama iaitu UMNO, Pas dan PKR. Berdasarkan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri-negeri, jelas taburan kuasa politik menunjukkan bahawa negara ini adalah sebuah negara yang mengamalkan perkongsian kuasa yang kadang kala mencabar ketuanan Melayu. Jelasnya, secara politik orang Melayu bukanlah lagi tuan punya secara mutlak di tanah airnya sendiri.

Dari segi sosial, orang Melayu merupakan penyumbang terbesar kepada masalah sosial negara. Tidak benar jika dikatakan oleh kerana orang Melayu adalah penduduk paling ramai maka tentulah pelaku masalah sosial ialah kebanyakannya orang Melayu. Statistik PDRM 2006, menunjukkan orang Melayu masih merupakan kumpulan etnik yang paling ramai menagih dadah di Pulau Pinang walaupun orang Melayu bukanlah kumpulan majoriti di negeri tersebut.

Selain dadah, kes penderaan dalam keluarga, sumbang mahram, keciciran pendidikan serta pelbagai perlakuan delikuensi masih dikuasai oleh generasi muda Melayu. Jika tidak dibanteras segera maka ketuanan Melayu tentunya tidak relevan lagi, bukan sahaja menyediakan pemimpin negara malah sebagai tenaga kerja profesional negara pada masa depan.


Tetapi apa yang paling menarik untuk membicarakan makna ketuanan Melayu adalah dengan melihat daripada perspektif ekonomi. Menjadi 'tuan' bermakna seseorang menguasai sepenuh hartanya. Misalnya, tidak mungkin seseorang menjadi tuan rumah jika rumahnya adalah milik orang lain.


Berdasarkan statistik tahun 2004 yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi menunjukkan pendapatan orang Melayu 37.5 peratus lebih rendah daripada orang Cina. Manakala pendapatan orang Melayu adalah 22.4 peratus lebih rendah berbanding orang India.

Ringkasnya, selepas 50 tahun merdeka orang Melayu masih merupakan kumpulan etnik yang berpendapatan paling rendah di kalangan etnik utama negara ini. Pelik bunyinya bila tuan di tanah air sendiri lebih miskin berbanding orang lain. Apakah maknanya ketuanan Melayu jika kuasa ekonomi orang Melayu jauh lebih rendah daripada kaum lain.

Berdasarkan data purata pendapatan bulanan mengikut kumpulan etnik utama pada tahun 2004 oleh Unit Perancang Ekonomi, purata pendapatan bulanan orang Melayu ialah RM2,711, orang Cina RM4,437 dan orang India RM3,456. Jelas sekali orang Melayu secara keseluruhannya masih merupakan kumpulan etnik yang berpendapatan paling rendah di kalangan etnik utama di negara ini. Malah lebih menarik, orang Melayu yang digambarkan sebagai tuan di negara ini merupakan satu-satu etnik yang berada di bawah paras purata pendapatan rakyat Malaysia iaitu RM3,246.

Malah bagi menunjukkan betapa tidak relevannya makna ketuanan Melayu itu, lihatlah data berkaitan pemilikan unit bangunan dan premis komersial berdasarkan kumpulan etnik Melayu dan Cina sebagai perbandingan asas.

Ketinggalan
Tentunya data-data ini menunjukkan kesimpulan bahawa orang Melayu sangat jauh ketinggalan di dalam semua bidang di negara sendiri. Bagaimana kaum lain berjaya menguasai kekayaan negara haruslah dihormati dan diakui. Mereka telah secara bersungguh-sungguh menguasai ilmu dan juga menunjukkan kekentalan mental dan disiplin kerja yang tinggi untuk mencapai kekayaan itu.

Malah terbaru, lihatlah bagaimana beberapa hari lalu Amanah Saham Wawasan (ASW) 2020 yang bernilai 490 juta unit habis dilanggan oleh bukan bumiputera dalam masa 6 jam 10 minit sahaja. Pada 18 Julai 2007 lalu, sejumlah 500 juta unit Amanah Saham Malaysia (ASM) telah dilanggan oleh bukan bumiputera dalam masa hanya 39 minit sahaja. Bayangkan nanti pada 1 Disember 2008 apabila satu bilion unit tambahan ASM akan ditawarkan oleh Permodalan Nasional Bhd. (PNB). Bagi orang Melayu, tidak perlulah menunggu sehingga minggu depan kerana unit ASM yang telah ditawarkan sejak sekian lama pun belum lagi habis dilanggan.

Nampaknya perancangan orang Melayu tidak begitu menjadi jika dibandingkan dengan jumlah tenaga manusia, kuasa politik serta segala macam kemudahan dan modal yang disediakan untuk memajukan mereka. Sebenarnya, sangat jarang berlaku di dalam mana-mana negara di dunia, sebuah negara yang dikuasai oleh etnik majoriti serta menguasai kuasa politik, kumpulan etnik tersebut berada jauh ketinggalan berbanding etnik minoriti seperti mana yang berlaku di Malaysia.

Sesuatu secara besar-besaran untuk membangunkan 'makna ketuanan Melayu' tanpa menyinggung kumpulan etnik lain mestilah dilakukan dengan kadar segera. DEB yang murni wadahnya dan disokong oleh segenap lapisan masyarakat pun masih tidak dapat mencapai sasaran untuk meningkatkan ekonomi Melayu pada paras 30 peratus.

Lebih menyedihkan bila data Unit Perancang Ekonomi pada tahun 2004 menunjukkan kemiskinan orang Melayu adalah 8.3 peratus jauh lebih tinggi daripada orang Cina (0.6 peratus) dan orang India (2.9 peratus). Pimpinan Melayu mesti berani untuk mengakui kelemahan DEB dan bersedia untuk belajar daripada pengalaman DEB dan perbetulkan kelemahan tersebut.

Oleh itu sesuatu yang jauh lebih besar perencanaan berbanding DEB mestilah dibangunkan oleh pimpinan Melayu di negara ini. Lebih daripada itu, orang Melayu khususnya pimpinannya harus meningkatkan integriti dan kredibiliti kemelayuannya. Pimpinan Melayu mestilah boleh menonjol dan menguasai ruang politik pelbagai etnik secara meritokrasi bukan kroni, terbukti cemerlang dan pada masa yang sama mempunyai sikap benci kepada rasuah, politik wang dan budaya mengambil kesempatan atas wang rakyat.

Mereka jua mestilah boleh membuktikan keberkesanan pengurusan yang cekap dan adil. Hasilnya mereka akan berupaya untuk mengubah secara langsung makna ketuanan Melayu untuk diterima oleh bukan sahaja orang Melayu tetapi yang lebih penting oleh kumpulan etnik yang lain. Jika pimpinan Melayu sekarang tidak bertindak meningkatkan integriti dan kredibiliti kemelayuan mereka, pastinya ketuanan Melayu akan tidak relevan lagi.

Monday, December 8, 2008

Syed Hamid: KT memang panas


Dari Malaysiakini.com
Seorang anggota Majlis Tertinggi Umno turut menjangkakan pilihanraya kecil Kuala Terengganu akan menyaksikan persaingan sengit antara calonnya dengan pembangkang.
"Panas sebab pembangkang nak rampas kerusi dari kita... sebab ini adalah kerusi BN dan kita akan pertahankannya. "Pada saya, pilihanraya kecil macam ini tidak boleh diambil mudah, kita perlu kerja keras untuk pastikan kemenangan kita (BN)," kata Datuk Seri Syed Hamid Albar, lapor Bernama.
Malah, katanya, BN juga tidak menganggap kerusi parlimen berkenaan sebagai kerusi mudah kerana pembangkang akan menggunakan pelbagai taktik untuk memenanginya.


Susulan jangkaan itu, Syed Hamid yang juga menteri dalam negeri berkata lebih ramai polis akan ditempatkan di bandar itu berbanding pilihanraya kecil Permatang Pauh, Ogos lepas.Tambahnya, berdasarkan beberapa kejadian tidak diingini di Terengganu pada pilihanraya umum lepas, polis akan mengawal lebih ketat pilihanraya kecil tersebut antara 6 hingga 17 Januari ini.
Syed Hamid berkata langkah itu bagi memastikan seramai 80,229 pemilih dapat menunaikan tanggungjawab mereka tanpa gangguan penyokong pembangkang yang mendakwa wujud pengundi hantu."...kerana ada pengalaman lalu, mereka (polis) akan lebih berjaga- jaga dan kita minta orang ramai supaya jangan mudah untuk memberi kad pengenalan kepada orang lain.
"Saya juga meminta mana-mana parti supaya tidak menggunakan tindakan agresif untuk menggagalkan dan menyekat orang ramai daripada mengundi mahupun semasa mengambil bahagian dalam kempen pilihan raya kecil itu nanti," katanya, lapor agensi berita itu lagi.
Beliau bercakap kepada media selepas sesi taklimat perkembangan terkini banjir dan persiapan pilihanraya kawasan parlimen itu di ibu pejabat polis kontinjen Terengganu hari ini.Syed Hamid berkata, orang ramai seharusnya sedar bahawa kad pengenalan adalah hak mereka dan tidak ada pihak yang boleh meminta dan merampas kad itu.
Kerusi Kuala Terengganu kosong susulan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail pada 28 November lepas.Razali, juga timbalan menteri pelajaran, mengekalkan kerusinya itu apabila menewaskan Naib Presiden PAS Mohamad Sabu dengan majoriti 628 undi.

Thursday, December 4, 2008

Bukan Melayu patut contohi pemimpin dulu

MENJELANG kemerdekaan negara, 80 peratus penduduk Persekutuan Tanah Melayu adalah Melayu - kaum miskin dan ketinggalan dalam pelajaran. Kedaifan yang melampau ini cukup memberikan tekanan psikologi kepada orang Melayu sehingga apabila berlakunya provokasi di kalangan bukan Melayu menyebabkan berlakunya konflik perkauman yang buruk.


Peristiwa hitam 13 Mei 1969 akhirnya membawa kepada pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Walaupun dasar ini memberikan keistimewaan kepada orang Melayu dengan penetapan 30 peratus ekuiti negara perlu dimiliki orang Melayu, sepanjang pelaksanaannya (1970 - 1990), ia memberikan manfaat cukup besar kepada semua kaum, terutama orang Cina yang menguasai ekonomi negara.


Penetapan 30 peratus ekuiti negara untuk orang Melayu bertujuan melahirkan masyarakat perindustrian dan perdagangan di kalangan Bumiputera menjelang 1990. Bagaimanapun matlamat ini tidak tercapai sepenuhnya.

Mengikut Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kelima (1990), pemilikan dan pengawalan sektor korporat 1990 adalah seperti berikut: Bumiputera 19.6 peratus, bukan Bumiputera 56.7 peratus dan pemilikan asing 23.7 peratus



Pada 2006, pemilikan ekuiti Bumiputera hanya 19.4 peratus sementara kaum Cina terus menguasai lebih 40 peratus ekonomi negara. Anehnya, sudah ada suara yang mahukan 30 peratus untuk Bumiputera dihapuskan.

Kita tidak hairan jika suara itu datang daripada pihak pembangkang yang kononnya memperjuangkan kesamarataan dan keadilan. Namun, persoalan timbul apabila ia datang daripada rakan politik Umno yang selama ini turut akur dan menerima pelaksanaan DEB. Kurang jelas apakah persepsi mereka sebenarnya sehingga sanggup menyuarakan sesuatu yang menggores perasaan orang Melayu.


Adakah ia satu bentuk tekanan ke atas Umno atau satu bentuk provokasi liar terhadap orang Melayu? Lebih daripada itu, konsep 'ketuanan Melayu' yang selama 50 tahun sunyi daripada dipersoalkan, tiba-tiba menjadi kritikan dikalangan pemimpin bukan Melayu, termasuk di kalangan rakan politik Umno sendiri.



Pemimpin bukan Melayu terdahulu mempunyai persepsi yang betul dalam memahami kedudukan orang Melayu. Tun V Sambathan dan Tun Tan Siew Sin mengkritik ahli politik bukan Melayu ketika itu seperti KL Devaser dan SM Yong yang mempertikaikan hak istimewa yang diberikan kepada orang Melayu dalam perlembagaan. Menurut pengkritik itu, orang Melayu dijadikan penduduk kelas pertama di negara ini. Benarkah dakwaan berkenaan? Kita cari jawapannya daripada kedua-dua pemimpin bukan Melayu itu.
Tun Sambathan ketika mengambil bahagian dalam perbahasan di Majlis Perundangan Persekutuan (Julai 1957) berhujah bahawa orang Melayu yang dikatakan rakyat kelas pertama pada hakikatnya hidup dalam keadaan yang daif. Beliau memberikan gambaran orang Melayu yang kebanyakannya tinggal di luar bandar tiada kemudahan jalan raya, bumbung rumah bocor dan tidak mampu mendapatkan khidmat doktor walaupun anak mereka sakit tenat. Beliau bertanya kepada pengkritik, adakah mereka (Melayu) sama ada yang tinggal di kampung atau di bandar memiliki rumah banglo di ibu kota mahupun di Cameron Highlands?


Siew Sin turut sama berhujah membela orang Melayu. Antara lain beliau melontarkan pandangan bahawa bukan Melayu jangan terlalu mengharap dan meminta orang Melayu melepaskan apa yang mereka miliki. Beliau berpendapat orang Melayu sangat ketinggalan dalam bidang ekonomi dan perlu dibantu. Beliau menyifatkan pengkritik bersifat keterlaluan apabila mereka meminta hak istimewa orang Melayu dihapuskan. Beliau berpendapat orang Melayu yang memiliki sifat kebijaksanaan akan dengan sendirinya menghapuskan hak keistimewaan itu apabila sampai masanya nanti.


Apa yang disuarakan oleh kedua-dua pemimpin bukan Melayu itu memang benar. Keadaan orang Melayu sebelum dan pada awal kemerdekaan berada dalam lingkaran kemiskinan. Keadaan mereka bagaikan 'geluk tinggal di air'. Mereka sangat mengharapkan bantuan. Sehingga 1968, majoriti keluarga Melayu, terutama yang tinggal di luar bandar adalah daripada golongan miskin dengan pendapatan di bawah $100 sebulan (dolar adalah nilai mata wang ketika itu).


Ramai yang miliki empat hingga 10 anak, malah ada yang lebih. Mereka tidak berupaya menyediakan makanan berzat kepada anak-anak menyebabkan peratusan anak Melayu kampung diserang 'deman kura' adalah tinggi. Hampir semua negeri mencatatkan penyakit 'deman kura' di kalangan orang Melayu.

Kedah dan Terengganu mencatatkan lebih 80 peratus, sementara Kelantan mencatat 91 peratus. Hanya Melaka mencatatkan 21 peratus. Kadar keciciran persekolahan anak Melayu juga tinggi. Pada keseluruhannya, keciciran murid Melayu pada peringkat sekolah rendah adalah 40 peratus daripada jumlah murid yang masuk sekolah.

Pada peringkat sekolah menengah pula, 10 peratus yang tercicir sebelum menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Walaupun tiada yuran dikenakan pada peringkat sekolah kebangsaan tetapi ibu bapa dibebani dengan beberapa bayaran seperti yuran peperiksaan, buku teks dan pakaian seragam.

Anggaran perbelanjaan murid di sekolah rendah ketika itu ialah $217.50 sementara sekolah menengah $337.50 (Education Statistic of Malaysia 1938-1967, DBP,1968). Bilangan siswazah Melayu dalam bidang penting ketika itu amat rendah. Di Universiti Malaya, pada 1969/70 siswazah Melayu dalam bidang sains (BSc) 22 orang, bidang perubatan (MBBS) empat orang dan hanya satu orang dalam bidang kejuruteraan (B Engin).

Dalam buku Peristiwa 13 Mei terbitan Mageran merekodkan statistik orang Melayu dalam pekerjaan profesional hanya 19.2 peratus, sementara orang bukan Melayu 80.8 peratus. Kesimpulan, persepsi yang betul di kalangan pemimpin bukan Melayu terdahulu terhadap keadaan orang Melayu serta kefahaman mereka terhadap konsep 'ketuanan Melayu' menyebabkan semangat toleransi dan kerjasama tercipta dengan begitu erat di kalangan pelbagai kaum di negara ini.

DEB dapat diterima serta dilihat cara berkesan memenuhi semangat kontrak sosial yang bertujuan mewujudkan keharmonian, solidariti dan keselamatan masyarakat. DEB dilahirkan untuk mewujudkan keseimbangan dalam pengagihan ekonomi negara. Justeru, tidak salah semangat DEB diteruskan dalam Dasar Pembangunan Negara (DPN).

Wednesday, December 3, 2008

Susur kekuatan politik Melayu


Sebagai anak muda Melayu pasca- merdeka, pandangan penulis mungkin salah tetapi enam bulan kebelakangan ini adalah period paling 'hidup' dalam membicarakan isu bangsa Melayu. Banyak pihak yang mewakili apa yang dikatakan sebagai 'suara Melayu' telah bangkit menyatakan pandangan dan juga asas keresahan.

Baik namanya Perkasa, Pewaris - dan banyak lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersuara bagi pihak orang Melayu, semuanya dirasakan ikhlas dengan niat untuk melihat perubahan dan nasib orang Melayu diberikan perhatian oleh pihak berkepentingan. Mereka punya asas untuk bersuara atas pelbagai platform; sayangnya, jika kita gagal mewujudkan kesepakatan pemikiran dan tindakan, suara ini akan menjadi detik 'politikal' yang tidak diterjemah dalam bentuk pelaksanaan dasar dan polisi.

Hakikatnya, suara ini mesti diambil maklum oleh pihak berwajib. Kesemua kertas kerja, resolusi, pandangan, kesimpulan forum dan seminar yang rencam dan pelbagai mesti diperhalusi secara bersungguh dan ikhlas. Jangan biarkan suara orang Melayu menjadi suatu 'gendang politik' yang tidak kesampaian. Perjuangan zaman ini memerlukan komitmen kepada pelaksanaan kata-kata dan bukan sahaja demonstrasi yang tidak berpenghujung.

Apa yang penulis khuatir, rentak kita untuk gemar berdemonstrasi seakan- akan sudah terikut-ikut dengan budaya politik jalanan yang tidak mempunyai hemah dan hala tuju. Perjuangan mestilah bersifat strategik - dan tidak menjurus kepada membuka segala macam tuntutan di atas bahu jalan. Ini masanya untuk kita menjadikan isu Melayu sebagai 'isu teras' di dalam pembicaraan pembuat dasar.

Walaupun mendapat bantuan daripada pihak polis, suka diingatkan bahawa kadangkala kita tidak mampu mengurus emosi dan perasaan. Apa yang berlaku tempoh hari di Jalan Tun Razak menggambarkan segalanya. Untung wanita yang mempunyai pandangan berbeza tersebut tidak diapa-apakan. Jika tidak, ia menggambarkan 'kekerasan' kita yang tidak mampu dikawal.

Penulis juga menginginkan usaha pemerkasaan bangsa dilakukan secara bersungguh. Untuk ia berlaku, kita mesti diberikan keyakinan bahawa 'suara' ini didengari dan diperhalusi. Kita mungkin boleh berbuih mulut bercakap tentang kepentingan bangsa; tetapi yang lebih penting dalam zaman yang serba canggih ini adalah - agenda bertindak dan polisi yang berani.

Hakikatnya, apa yang berlaku dalam pilihan raya umum yang lalu bukanlah 'tsunami', tetapi 'terapi politik' (political theraphy) kepada orang Melayu. Mahu tidak mahu, kita terpaksa mengakui bahawa kita baru sahaja disedarkan daripada lena yang panjang. Kita perlu mengakui bahawa kita terlalu selesa dengan ungkapan hak istimewa dan ketuanan Melayu. Kita berasa cukup terpelihara dalam belenggu pemikiran politik zaman lampau.

Bukannya kita tidak diingatkan dalam babak tertentu sejarah Malaysia moden. Kertas litmus kesabaran orang Melayu sudah acap kali berubah warna. Hari ini, ia memerlukan langkah strategik dan keazaman politik luar biasa. Kelompok kecil Melayu mungkin juga akan menentangnya atas dasar 'keterbukaan' dan 'kesamarataan'.

Kepimpinan Melayu mesti dikaitkan dengan budaya kerja efisien, bersih, cekap, amanah, punya harga diri dan merit yang tinggi. Siapa mampu menafikan bahawa Singapura menegakkan 'Ketuanan Cina'. Ini perkara yang sangat teras dan penting. Tetapi mereka melonggarkan sedikit takrif 'ketuanan' - dengan menyuntik budaya kerja efisien, meninggikan 'aras prestasi kepimpinan', meletakkan merit sebagai asas, mewujudkan suasana pemilihan pemimpin yang ketat dan peka dengan perubahan.

Perkhidmatan awam yang secara kebetulannya didominasi oleh orang Melayu juga mesti menampakkan gelombang perubahan. Sektor awam yang cekap, efisien, amanah, nyah-korupsi, tegas dan bersungguh juga akan memberi wibawa moral kepada prestasi orang Melayu keseluruhannya. Orang Melayu sendiri perlu mengangkat 'integriti' kemelayuannya.

Kompetitif
Apakah mungkin seorang Melayu menjadi Perdana Menteri Singapura? Secara merit, matematikal, sistemik dan ego-budaya; jawapannya adalah tidak. Kayu ukur nilaian kepimpinan akan sentiasa dinaikkan dari masa ke semasa. Sistem politik tidak akan membenarkan ia berlaku. Melayu Singapura kena terima hakikat ini. Ini juga tidak bermakna Melayu Singapura lemah. Secara perbandingan, mereka mungkin Melayu yang lebih kompetitif dan berani.

Kita tidak akan selamanya mampu berselindung di sebalik ungkapan hak istimewa dan istilah lain yang berkaitan. Ketuanan Melayu - mesti diubah pengertian dan amalannya.

Selagi kita mengaitkan kepimpinan kita dengan istilah yang merosakkan - seperti korupsi, politik wang, tidak jujur, tidak amanah; kita secara tidak sedar telah merosakkan peluang mempertahan Ketuanan Melayu.

Politik Melayu jangan cepat 'rentan' (cepat jatuh sakit, mudah jatuh sakit, mudah dihinggapi penyakit - muka surat 1,528, Kamus Besar Bahasa Melayu UTUSAN). Ini termasuklah budaya politik jerit-jeritan dan budaya 'cium keris' yang sudah terlalu teatrikal dan melodramatik. Politik wang juga mampu membawa rentan kepada politik Melayu. Kita sangat memerlukan gelombang pengukuhan politik Melayu yang jujur dan ikhlas.

Jalan politik sedia ada sudah betul. 'Suara' orang Melayu, baik di Perak, Selangor, Kedah sudah mula resah dan khuatir. Bagi pentadbir yang bijaksana dan responsif - bermain dengan suara dan perasaan orang Melayu adalah jalan yang mampu membawa luka politik yang dalam. Jangan terlalu bergantung dengan keputusan PRU-12 kerana gelombang rentas kaumnya adalah sementara.

Sampai saat ini, penulis percaya ramai orang Melayu masih menantikan pertemuan pimpinan UMNO-Pas. Sebahagian besarnya tidakpun mengharapkan wujudnya kerjasama strategik selepas daripada itu. Mesej pertemuan itulah yang lebih membawa makna, dan mampu mengubat resah umat Melayu. Suara Melayu mesti diberikan keyakinan bahawa wujud 'ruang muzakarah' yang terbuka untuk direalisasikan.

Ketidakselesaan UMNO didesak rakan muafakatnya mesti difahami oleh Pas. Kehilangan hormat rakan sealiran Pas kepada parti tersebut juga mesti mendapat 'empati' UMNO. Bayangkan sahaja murninya politik jika Mursyidul Am Pas menegur jujur kerisauan tentang politik wang; dan Pak Lah mengingatkan ketidakperluan meneruskan ladang babi di Bukit Selambau. Apakah prinsip politik kedua-duanya akan hancur menyembah bumi? Apakah mesej baik yang mampu disampaikan kepada umat Melayu?

Pertemuan UMNO-Pas bukanlah pendekatan politik yang rasis dan jumud. Ini bukan soal 'Erdogan' atau tidaknya fikrah dan pendekatan kita. Ini juga bukan soal UMNO memerlukan Pas. Fikrah dan pendekatan 'umatik' inilah yang perlu dilahirkan daripada keputusan PRU-12 yang 'terapeutikal' itu.

Sementara penulis juga sangat mendokong agenda kebangkitan Melayu pasca PRU-12 yang 'terapeutikal' - semangat jelajah dan membakar semangat Melayu mestilah juga disederhanakan. Memang benar, kita rentan hati dengan beberapa isu dan kedangkalan pemikiran individu tertentu; tetapi berjelajah dengan hati yang panas - boleh mendatangkan natijah yang berbeza.

Penulis hanya ingin menyampaikan pandangan kecil mengenai isu 'ketuanan Melayu'. Jika ia mendatangkan resah berterusan di kalangan orang bukan Melayu, khususnya dengan konotasi 'tuan-hamba'; apakah mungkin ia ditukar kepada 'Keabsahan Melayu' (Malay Legitimacy)?

Kalau kita benar-benar menerima hakikat hak keistimewaan dan kepentingan Melayu sudah terabsah molek dalam Perlembagaan - maka soal 'legitimasi' orang Melayu tidak wajar diungkit lagi. Soal kehadiran orang Melayu tidak seharusnya cuba ditulis dengan pemahaman sejarah yang semberono dan jumud.

Kalaulah agaknya pandangan Dr. Chua Soi Lek, Timbalan Presiden MCA dalam ucapan beliau di Anugerah Kancil 2008 boleh diangkat sebagai 'pandangan perdana' masyarakat Cina di Malaysia - 'Keabsahan Melayu' mampu tampil sebagai opsyen. Tegas Soi Lek, 'kami menerima Kepemimpinan Melayu, tetapi bukan Ketuanan Melayu'. Ujar beliau lagi, '...when we say we reject 'Ketuanan Melayu, we are not challenging the Malay special rights. It is enshrined in our constitution and nobody can take that away'. (rujuk: http://drchua9.blogspot. com)

Suhu politik Malaysia masih belum dingin. Ia tidak juga perlu dihangatkan dengan gendang keperwiraan yang ekstrem. Kita perlu pantas merenung kembali sejarah dan bergerak seiringan menuju masa depan yang menjanjikan buat semua. Kaedah membugar semangat tanpa kawalan emosi dan didikan iman - akan melahirkan generasi reaktif.

Untuk mengabsah kita sebagai 'bangsa wibawa' - ia memerlukan lebih daripada perenggan-perenggan penting dalam Perlembagaan Negara. Ia memerlukan polisi dan dasar berani, jiwa pesaing unggul, iktisad yang menjanjikan dan lasykar bangsa yang mampu menjadi modal insan gemilang.

Tidak ada sesiapa pun yang berani mengatakan perjalanan memperkasa bangsa akan menjadi mudah. Kefahaman tentang realiti baru dan keberanian untuk menyatukan amalan dan tindakan - akan menjanjikan hasil yang menyeluruh.

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

SAMPAI hari ini Awang merasakan kerajaan telah melakukan kesilapan pada awal era kemerdekaan apabila membenarkan sistem pendidikan yang berbeza berasaskan kaum.
Rasanya tiada negara lain termasuk negara jiran serantau yang melaksanakan sistem tersebut.
Akibatnya sehingga saat ini, Malaysia berdepan dengan masalah polarisasi kaum yang serius walaupun setelah 50 tahun merdeka.
Ternyata kewujudan sekolah jenis kebangsaan tidak membantu penyatuan kaum.
Sebab itu, Awang bersetuju dengan cadangan Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir agar kerajaan mewujudkan hanya satu sistem pendidikan berteraskan semangat kebangsaan bagi menggantikan sistem pendidikan sedia ada.
Menerusi sistem tersebut, pelajar kaum Cina dan India tetap diwajibkan mempelajari bahasa ibunda walaupun menggunakan perantaraan Bahasa Malaysia di sekolah.
Walaupun cadangan sedemikian pernah dikemukakan oleh beberapa tokoh tetapi keperluannya kini lebih mendesak.
Sebenarnya sistem pendidikan yang berbeza mengikut kaum tidak lagi relevan.
Dalam hal ini, semua kaum seharusnya lebih mengutamakan kepentingan negara. Apa maknanya menjadi warganegara jika kita masih berkiblatkan negara asing.
Awang – Di mana bumi dipijak...

Tuesday, December 2, 2008

Tumpu kukuhkan parti, bukan mencari populariti

WALAUPUN tidak sampai 60 hari dipilih sebagai Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sudah mula hendak menunjukkan taringnya. Terbaru, beliau membuat kenyataan bahawa konsep ketuanan Melayu tidak lagi relevan kerana menurutnya semua rakyat menyumbang kepada pembangunan negara.


Jika kenyataan Soi Lek diteliti adalah jelas berlaku salah tafsiran berhubung konsep ketuanan Melayu yang diperkatakan oleh beliau. Ini kerana maksud sebenar ketuanan Melayu bukanlah melibatkan soal seorang tuan dengan hambanya.



Sebaliknya ketuanan Melayu seperti mana ditegaskan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis ialah induk negara ini adalah orang Melayu. Tetapi malangnya Soi Lek cuba melihat konsep ini dari sudut yang sempit sehingga mencetuskan perasaan tidak puas hati di kalangan orang Melayu.



Sebagai pemimpin yang memegang jawatan kedua dalam sebuah parti yang merupakan salah sebuah parti besar dalam dalam komponen BN, Soi Lek seharusnya berhati-hati dalam membuat kenyataan. Beliau mungkin hendak mencari populariti atau menunjukkan beliau sudah mula bekerja tetapi membuat kenyataan sensitif seumpama itu bukanlah caranya.



Mengulas perkara ini, Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata, apa yang dilakukan oleh Soi Lek tidak akan mampu memperkukuhkan BN sebaliknya hanya akan mencetuskan kontroversi.



‘‘Sepatutnya Soi Lek berusaha bagaimana untuk menarik sokongan rakyat menyokong BN, bukannya dengan cara mengeluarkan kenyataan yang dilihat bertujuan untuk mencari populariti sahaja,’’ katanya ketika dihubungi. Malah Razali juga menyifatkan kenyataan Soi Lek itu tidak layak untuk dilafazkan oleh seorang bertaraf Timbalan Presiden.



Popular:
‘‘Soi Lek perlu tahu tanggungjawab besar sebagai orang nombor dua dalam parti tetapi malangnya kenyataan yang dibuat benar-benar tidak mencerminkan tugas beliau sebagai Timbalan Presiden,’’ kata beliau.



Dalam memperkatakan isu ini, penganalisis politik, Prof.Dr.Mohamed Mustafa Ishak mempunyai pandangan tersendiri. Beliau berkata, ada dua cara untuk menjadi popular dan mendapat perhatian dalam politik sekarang iaitu pertama ‘membelasah’ UMNO dan kedua memperlekehkan orang Melayu. Mungkin pandangan Dr. Mohamed ini akan menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan mereka yang terlibat tetapi hakikat jika dikaji apa yang berlaku sejak kebelakangan ini, ia ada kebenarannya.



Selepas pilihan raya umum lalu seolah-olah menjadi satu trend di kalangan ahli politik tanpa mengira sama ada komponen BN atau pembangkang cuba mencetuskan isu-isu berbaur perkauman untuk menunjukkan kehadiran mereka.



Jika ia dilakukan oleh pembangkang, mungkin tidak ada salahnya kerana memang sifat pembangkang begitu apa tah lagi apabila ada rakan seperjuangan mereka biarpun berasal daripada parti Melayu menyokong apa yang diperkatakan. Tetapi malangnya di kalangan komponen BN sendiri sudah ada suara-suara ala-ala pembangkang ini.



Seharusnya sebagai komponen BN, pemimpin-pemimpinnya perlu berhati-hati dalam membuat kenyataan. Tafsiran bahawa ketuanan Melayu tidak lagi relevan tidak akan menguatkan parti komponen itu sebaliknya hanya akan mencetuskan perbalahan baru. Kalau UMNO atau orang Melayu hendak bertindak sebagai tuan seperti mana Inggeris menjajah dahulu, sudah pasti kaum lain tidak akan mendapat tempat di negara ini.



Oleh itu Soi Lek atau mana-mana pemimpin yang cuba menimbulkan soal ketuanan Melayu ini harus belajar dahulu erti sebenar konsep berkenaan. Kalau benarkan UMNO sebagai parti induk Melayu mengamalkan sikap tuan sudah pasti MCA yang merasakan diri mereka adalah hamba tidak akan mendapat jawatan dalam Kabinet termasuk menjadi Menteri Kesihatan.



Bekerjasama:
Mungkin contohnya ini agak keterlaluan tetapi inilah salah satu hujah paling tepat untuk menggambarkan bahawa selama ini orang Melayu termasuklah juga UMNO tidak pernah mencuba untuk menjadi tuan kepada sesiapa. Sebaliknya sejak sebelum merdeka lagi orang Melayu sentiasa berusaha bekerjasama dengan kaum lain membangunkan negara ini.



Cumanya, kaum lain harus memahami bahawa ini adalah tanah Melayu dan orang Melayu adalah induk tetapi dalam masa yang sama nasib bukan Melayu tetap dibela. Berikutan sikap tolak ansur inilah Malaysia boleh mencapai kemajuan pada tahap sekarang. Justeru kepada pemimpin-pemimpin seperti Soi Lek berhati-hatilah membuat kenyataan.



Janganlah cuba menutup kelemahan sendiri dengan cara menuding jari menyalahkan orang lain dan ini termasuklah juga cuba meraih sokongan dengan membuat kenyataan yang secara nyata bertujuan untuk mencari populariti semata-mata.



Adalah lebih baik sebagai insan yang baru diberi semula ‘talian hayat’ untuk berpolitik, Soi Lek menumpukan perhatian bagi memperkukuhkan BN melalui MCA. Cabaran menanti BN dalam pilihan raya umum akan datang adalah sangat getir.




Jika Soi Lek atau mana-mana pihak komponen terus cuba memainkan isu sensitif ia tidak akan menguntungkan BN. Kita memahami MCA berada dalam keadaan terdesak bagi meraih semula sokongan masyarakat Cina tetapi janganlah sampai dalam usaha tersebut, pemimpin-pemimpin tenggelam punca.



Segala pandangan atau masalah harus dibincangkan dalam mesyuarat bersama-sama komponen BN yang lain bukan dilontar keluar sehingga ia menimbulkan suasana tegang. Semoga Soi Lek akan belajar daripada bekas pemimpin MCA bagaimana hendak berperanan sebagai Timbalan Presiden

Cabaran untuk PKR

Pada tahun ini Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan kongres tahunannya dalam suasana berbeza. Ini kerana selain mempunyai 31 anggota di Parlimen, parti tersebut juga memerintah Selangor dan mentadbir Perak serta Kedah bersama-sama Pas dan DAP.

Sudah pastilah kejayaan berkenaan yang dicapai melalui tsunami politik yang berlaku pada 8 Mac lalu dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 dianggap sesuatu yang memberangsangkan bagi sebuah parti baru seperti PKR.


Namun begitu persoalannya mampukah pencapaian berkenaan dikekalkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti? Ini kerana mandat yang diberikan oleh rakyat kepada wakil-wakil rakyat PKR boleh dianggap sebagai satu ujian untuk melihat sejauh manakah parti yang sentiasa melihat Barisan Nasional (BN) buruk dalam segala segi melaksanakan pentadbirannya.


Setakat ini selepas tujuh bulan mentadbir Selangor dan menghantar 31 wakilnya ke Parlimen, PKR dilihat masih belum mampu memenuhi impian rakyat yang menyokong mereka.

Malah ketaksuban pemimpin-pemimpin parti itu untuk menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang tetapi akhirnya hanya menjadi satu mimpi dikatakan turut menjejaskan imej PKR.


Pelbagai kemelut yang berlaku dalam pentadbiran negeri itu yang diketuai oleh PKR di Selangor juga turut menjadi perhatian rakyat.



Mereka melihat hakikatnya pemimpin-pemimpin PKR hanyalah bijak berpolitik tetapi tidak mampu memenuhi apa yang diharapkan oleh rakyat.

Langkah melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas kerajaan pusat diterajui oleh Barisan Nasional (BN) pula hakikatnya tidaklah menguntungkan parti berkenaan. Ini kerana rakyat sekarang sudah bijak menilai, apatah lagi PKR pernah meletakkan rakyat negara ini berada dalam kedudukan tidak selesa apabila mengembar-gemburkan kononnya sebuah kerajaan baru akan ditubuhkan pada 16 September lalu.


Tetapi kesudahannya, apa yang dilihat oleh rakyat hanyalah satu pembohongan dan satu impian yang sampai ke bilapun tidak akan menjadi kenyataan. Namun begitu pemimpin PKR masih belum mahu berputus asa dalam soal berkenaan. Sehingga ke hari ini masih lagi kedengaran usaha untuk menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang dan sasaran terbaru dikatakan akan bermula di Sarawak pula.


Dalam soal ini, PKR seharusnya tahu bermuhasabah dan tidak melihat ia adalah sebuah parti yang cukup sempurna dalam semua segi. Tindakan terlalu menyerang kerajaan BN seolah-olah parti komponen itu tidak pernah melakukan kebaikan kepada rakyat boleh memakan diri sendiri.

Sama ada hendak diakui atau tidak, kejayaan PKR dalam pilihan raya umum lalu bukanlah kerana parti itu atau pakatan pembangkang lebih baik daripada BN, sebaliknya kejayaan berkenaan adalah kerana nasib semata-mata.

Ini kerana rakyat membuat keputusan tidak mengundi BN bukan kerana mereka benci kepada parti tersebut tetapi sekadar ingin memberi peringatan apabila segala janji-janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum Ke-11 tidak ditunaikan.


Mendabik dada
Kini BN sedang memperkukuhkan semula kedudukan manakala PKR pula boleh dikatakan masih 'berbulan madu' dengan kejayaan yang dicapai dalam pilihan raya umum lepas. PKR tidak harus terlalu mendabik dada mengatakan bahawa mereka adalah sebuah parti yang kuat kerana setakat ini sudah wujud pelbagai masalah sama ada dalam parti itu atau di negeri yang mereka tadbir bersama pakatan pembangkang yang lain.


Keadaan menjadi lebih buruk lagi, apabila Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus berdolak-dalih soal penubuhan kerajaan baru sehinggakan ada di kalangan ahli PKR sendiri menganggap kepimpinan parti itu berbohong.


Atas sebab itulah, ketika berucap di kongres berkenaan, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka, Zamzirul Nordin mengingatkan PKR agar mengutamakan usaha untuk memantapkan pentadbiran di kelima-lima negeri di bawah pakatan pembangkang daripada terlalu menumpukan perhatian kepada usaha mengambil alih pemerintahan kerajaan pusat. Beliau mungkin memahami bahawa rakyat akan menilai prestasi pemimpin-pemimpin pembangkang berkenaan sebelum memutuskan akan membenarkan mereka terus memimpin atau menolak mereka dalam pilihan raya umum akan datang.

Selain itu sebagai parti yang terlalu melaung-laungkan soal membanteras rasuah dan melahirkan pemimpin yang bersih serta sering melihat pemimpin BN kesemuanya buruk, cadangan Wanita PKR supaya mana-mana wakil rakyat parti itu terlibat dalam rasuah disingkirkan perlu diberi perhatian.


Tetapi dalam soal ini, sudah ada cakap-cakap yang mengatakan bahawa kepimpinan PKR tidak akan berani berbuat demikian biarpun ia benar-benar berlaku terutamanya di peringkat negeri yang dikuasai oleh pembangkang. Ia kerana sebarang tindakan menggugur atau menyingkirkan mana-mana pemimpin PKR yang rasuah akan memungkinkan pentadbiran pembangkang berada dalam keadaan terumbang ambing terutamanya di Kedah dan Perak.


Dalam soal ini, sudah pasti cadangan Wanita PKR hanya akan menjadi catatan perhimpunan sahaja dan ia tidak akan sama sekali direalisasikan kecuali mahkamah menentukan seseorang wakil rakyat PKR itu bersalah.


Turut menjadi perhatian ialah sejauh manakah hubungan antara pakatan pembangkang mampu dikekalkan kerana pada masa ini PKR dilihat lebih selesa bekerja rapat dengan DAP berbanding dengan Pas. Walaupun parti itu sering mendakwa pakatan pembangkang mempunyai kerjasama yang kukuh tetapi ia hakikatnya ibarat ada api dalam serkam yang sedang membara.


Pelbagai isu yang tercetus di Selangor contohnya sudah memaparkan dengan jelas bahawa kehadiran Pas dalam pakatan berkenaan hanya sekadar untuk memastikan pembangkang tidak hilang kuasa di negeri-negeri yang dikuasai oleh mereka kecuali di Kedah.


Sebenarnya, sudah ada perasaan tidak puas hati di kalangan ahli-ahli Pas sendiri berhubung tindak tanduk PKR ini yang dilihat lebih suka memenuhi impian DAP berbanding parti itu. Isu penjualan arak secara terbuka di Selangor sudah menjadi bukti bahawa Pas seolah-olah tidak mempunyai apa-apa kuasa sebaliknya hanya mengikut sahaja.


Mungkin sekali lagi, kita akan dituduh cuba memecah belahkan kerjasama antara pakatan pembangkang tetapi dalam masa yang sama kebenaran tetap kebenaran. Ia akan terserlah juga apabila tiba masanya.



Justeru adalah lebih baik jika setiap pandangan dan kritikan yang dilemparkan kepada PKR atau pembangkang diterima sebagai input dan bukannya dilihat dari sudut negatif semata-mata. Janganlah menganggap seolah-olah pakatan pembangkang terlalu sempurna kerana Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pun menganggap pakatan itu ibarat bayi yang baru lahir.


Mengisytiharkan
Cabaran untuk membina sebuah gabungan seperti BN hakikatnya terlalu getir untuk PKR dan pakatan pembangkang yang lain. Tidak kisahlah apa pun tuduhan pembangkang ke atas parti komponen itu tetapi apa yang pasti rakyat masih tetap berkeyakinan bahawa BN masih parti pemerintah yang terbaik.


Malah UMNO masih dianggap parti yang menjadi pelindung kepada orang Melayu dan Islam. PKR seharusnya perlu mengakui ketaksuban mereka untuk mencari kuasa politik telah menyebabkan orang Melayu menuduh mereka sebagai pengkhianat bangsa itu.

Ini jelas apabila ada pemimpin-pemimpin PKR terus bersuara lunak biarpun ada pemimpin bukan Melayu melakukan tindakan yang bertujuan menggugat kepentingan bangsa itu dan Islam.


Justeru tidak hairanlah sehingga ke hari ini, sebahagian besar orang Melayu berasa kecewa dan marah dengan PKR yang dianggap sanggup mengorbankan kepentingan Melayu demi mencapai cita-cita politik mereka. Mungkin pemimpin PKR tidak mempedulikan semua itu kerana mereka akan melakukan apa sahaja untuk meraih sokongan kaum-kaum lain tetapi seandainya orang Melayu melihat kedudukan mereka tergugat sudah pasti ia akan menjadi bahaya yang cukup besar kepada parti berkenaan.


Hakikatnya, kejayaan dalam pilihan raya umum lalu bukanlah melambangkan kekuatan sebenar parti berkenaan sebaliknya ia berlaku kerana senario politik negara ketika itu. Justeru banyak perkara yang harus dilakukan oleh PKR jika ia mahu dilihat mempunyai kekuatan sendiri seperti DAP dan Pas. Kedua-dua parti berkenaan dianggap 'musuh tradisi' kepada BN berbanding dengan PKR yang boleh dianggap masih tercari-cari apakah 'harapan baru' yang hendak diberikan kepada rakyat.


Kini rakyat sudah sedar dan sedang menilai kesilapan yang mereka lakukan. Tidak mustahil PKR akan kehilangan kekuasaan di Selangor dan majoriti ahlinya di Parlimen dalam pilihan raya akan datang, jika kepimpinan parti itu merasakan ''merekalah parti paling sempurna''.

Monday, December 1, 2008

Mukhriz saran tutup sekolah vernakular

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir hari ini mengecam pemimpin MCA dan Gerakan kerana memberi "reaksi yang keterlaluan" berhubung isu Ketuanan Melayu.

Dan beliau juga mengecam sistem sekolah vernakular yang telah mempolarisasikan masyarakat dan menyebabkan kefahaman yang lemah mengenai konsep ketuanan Melayu di kalangan orang bukan Melayu.
Mukhriz berpendapat bahawa perpecahan dalam masyarakat timbul akibat perbezaan sistem pendidikan dan mencadangkan agar sistem pendidikan tunggal dilaksanakan untuk meningkatkan lagi perpaduan rakyat.


Anak mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu berkata, isu Ketuanan Melayu telah diperbesar-besarkan kerana kefahaman yang lemah pada diri mereka yang bercakap menyokong dan menentang konsep tersebut.

Katanya, beliau masih mendengar kenyataan mengenai konsep Ketuanan Melayu oleh pemimpin-pemimpin parti komponen BN yang telah mencalar hati orang Melayu, terutama Umno.

Bercakap dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini, calon ketua Pemuda Umno itu berkata, kenyataan yang dibuat oleh pemimpin berkenaan menunjukkan "mereka tidak tahu apa-apa tentang sejarah kita dan mungkin mereka cuba berlagak untuk menjadi hero kepada masyarakat mereka".


MCA dan Gerakan adalah rakan komponen dalam Gabungan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh Umno.Menurut Mukhriz, istilah Ketuanan Melayu bermaksud kedaulatan Raja-Raja Melayu "dan kita menyebut mereka Tuanku dan semua bangsa menerimanya dan mereka mengamalkannya".


Katanya, konsep tersebut tidak menunjukkan bahawa orang Melayu adalah Tuan dan bangsa lain sebagai hamba.Malah, katanya, orang Melayu, terutama dalam bidang ekonomi, tidak merasakan diri mereka sebagai tuan

Sunday, November 30, 2008

Henti pertikai ketuanan Melayu

Boleh jejas semangat perpaduan antara kaum

Pemimpin yang mengungkit konsep ketuanan Melayu sengaja mahu menjadi 'hero' atau menjadikan perkara itu sebagai isu untuk meletakkan kawan sendiri dalam partinya atau parti lain berada dalam situasi perlu menjawab kepada isu yang dibangkitkan itu.


Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata dalam suasana politik yang berubah pada masa kini, pemimpin berkenaan sebenarnya masih tercari-cari bagaimana meletakkan dan menempatkan diri serta perjuangan mereka dalam senario politik negara hari ini.

"Orang ramai sudah muak dengan isu-isu yang dibangkitkan berkisar kepada agama, kaum dan politik semata-mata. Malaysia melalui pilihan raya umum lebih tujuh bulan dan orang ramai hendak tengok kerja dilaksanakan.

"Jika masih dibelenggu dengan isu sebegini, bila nak buat kerja?" katanya selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Guru sempena Majlis Grand Reunion Alumni Maktab Kirkby di Institut Tadbiran Awam Negara Bukit Kiara di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Chua Soi Lek dan Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun yang menyatakan bahawa konsep ketuanan Melayu tidak lagi relevan di Malaysia dan ditolak oleh rakyat pelbagai kaum khususnya generasi muda.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata jangan ada pihak bercakap soal ketuanan Melayu secara tidak bertanggungjawab dan cuba mengelirukan makna dan maksudnya.
"Makna dan maksud asas ketuanan Melayu bukan menggambarkan soal hubungan tuan dengan hamba. Kalau begitu, tentunya tuan tidak akan berkongsi kuasa dengan hambanya tapi kita nampak orang Melayu berkongsi kuasa dengan kaum lain.

"Ketuanan Melayu yang dimaksudkan sebenarnya berasaskan kepada sejarah asal usul negara ini, yang mana majoritinya orang Melayu. Maka ketuanan Melayu itu adalah keindukan Melayu dan kalau pun banyak dasar-dasar kerajaan yang berpihak kepada orang Melayu, kesan dan nikmatnya dinikmati orang Melayu kerana orang Melayu adalah kaum majoriti," katanya.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Shafie Apdal, berkata semua pihak termasuk pemimpin bukan Melayu perlu berhenti mempersoalkan isu berkaitan ketuanan Melayu kerana perkara berkaitan hak orang Melayu sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, jika terus dibangkitkan ia boleh mencetuskan suasana tidak baik dan menjejaskan semangat perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Sambil melahirkan rasa kesal, beliau berkata sebagai pemimpin parti dalam komponen Barisan Nasional (BN), Dr Chua sepatutnya mengelak daripada menimbulkan isu yang mencabar perasaan orang Melayu.

Sinopsis Perjumpaan UMNO dan Blogger UMNO


Mesyuarat yang di adakan di Hotel Seri Pacific kelmarin berjalan dengan lancar. Penulis ingin memaklumkan bahawa mesyuarat kelmarin merupakan preliminary round yang dilakukan oleh pihak tertinggi UMNO.


Pihak tertinggi UMNO ingin mendapatkan overview mengenai senario siber hari ini.Isu yang dibincangkan lebih berbentuk universal iaitu berwadahkan Malaysia dan agama Islam. Penekanan juga di berikan kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan bangsa Melayu.


Penulis bersetuju bahawa mesyuarat itu tidak melibatkan jumlah bloggers yang ramai. Penulis bersama anda mengenai perkara ini.


Di dalam mesyuarat itu, penulis telah mencadangkan kepada pihak tertinggi UMNO supaya mengadakan mesyuarat mengikut zon seperti utara, selatan dan timur. Tujuannya mudah iaitu supaya UMNO dapat mengadakan perjumpaan dengan lebih ramai lagi bloggers yang aktif mengambil serta di dalam sessi brainstorming.


Penulis kenal ramai rakan bloggers yang kritis dan selalu membincangkan isu-isu dengan positif serta membina dan penulis mahu mereka turut dijemput ke mesyuarat utama yang akan datang.


Pastinya, mesyuarat akan menjadi lebih signifikan dengan input-input konstruktif yang lebih banyak.Beberapa lagi cadangan dan kritikan telah penulis lontarkan kepada pihak UMNO dan penulis pasti kritikan penulis itu dikongsi bersama oleh anda semua.


Bloggers lain juga telah memberikan pandangan mereka. Di antaranya ialah Sang kelembai, UMNO-reform, Depa-kata, Razlan, MyKMU dan cybertroopers.


Anda boleh membaca ulasan mereka di blog mereka.Seperkara lagi, penulis ingin menegaskan di sini bahawa kami bukan 'bloggers yang rela mulut mereka ditampal dan kaki mereka diikat' seperti yang didakwa oleh rakan kita di dalam komentar artikel sebelum ini.


Semua bloggers menyuarakan kritikan yang keras dan pedas mengenai kepimpinan dan gerak kerja kepimpinan UMNO hari ini.Tetapi cara to send the message across the other side perlu melambangkan kematangan kita , berdiplomasi dan rasional.


Yang paling penting ialah mesej kita dapat diterima, dihadam dan tindakan yang serius dijalankan.Kami juga menekankan kepada pihak UMNO hak kami sebagai Non-Government Individuals (NGI) yang bebas untuk bersuara termasuk mengkritik kerajaan dan UMNO selagi ianya matang, berasas dan positif.


Kesimpulan yang penulis perhatikan ialah pihak tertinggi UMNO telah mulai sedar tentang kepentingan siber. Mereka juga serius untuk menggunapakai siber sebagai salah satu alat komunikasi utama kepada rakyat.


Penulis berharap segala yang dicadangkan akan dilaksanakan dan follow-up mesti dilakukan. Jika tidak, ianya sekadar hiasan yang tidak bernilai dan retorik politik yang memualkan.

Saturday, November 29, 2008

Apabila Bohong Anwar Ibrahim dipertahankan


Dari laman blog Dr. Novandri Hassan Albasri (http://novandri.blogspot.com/)


Penulis senyum sinis bila melihat adegan menegak benang basah ketua pergerakan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin yang masih mempertahankan satu janji yang tidak dikotakan.


"Kalau beliau (Anwar) berjanji tetapi tidak laksanakan, tidak berusaha (ke arah itu), boleh dianggap beliau berbohong," katanya, dengan menambah Anwar dan Pakatan telah mencuba beberapa langkah termasuk mengutus surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan mengusulkan untuk mengadakan sidang tergempar Parlimen. - MalaysiaKini.


Kesimpulan mudah, sekarang sudah ada konsep baru iaitu apabila kita berjanji tetapi tidak tepati. Jika kita 'berusaha' tetapi tidak terlaksana, maka ianya bukan berbohong.


Masaalahnya ialah jika 'usaha' itu sekadar mewujudkan persepsi, gimik, gertak dan lakonan, apakah kita masih boleh mengkategorikan 'usaha' DS Anwar Ibrahim sebagai usaha yang betul-betul tulin?


Penulis pernah menulis :-

Pertama, 16hb September 2008 merupakan satu mitos yang dicanang-canangkan oleh Anwar Ibrahim sebagai gimik untuk menunjukkan bahawa beliau mempunyai sokongan yang amat padu.


Kedua, taktik mendakwa polis negara dan peguam negara tatkala seorang pemuda biasa yang berumur 23 tahun mendakwa beliau merupakan satu cover up untuk menunjukkan Anwar Ibrahim sedang ber'perang' dengan orang-orang penting di dalam Malaysia, padahal yang mengoncangkan beliau hanyalah seorang pemuda biasa nerumur 23 tahun. Ini adalah senario sebenar apabila kita meneliti kembali kronologi drama politik Anwar Ibrahim. Memang kita boleh berhujah dan memberikan pandangan yang berbeza-beza mengenainya tapi pokok penting yang perlu kita tahu ialah Anwar Ibrahim sedang tertekan dan berada di tahap karier beliau yang sangat rendah.


Ketiga, jika pada mulanya, PKR yang dibina oleh Anwar Ibrahim adalah berteraskan kepada Melayu, tetapi ianya beransur-ansur lenyap dek kemaruk untuk mendapat undi daripada bukan Melayu. Inilah kenyataannya. (klik di sini untuk bacaan seterusnya)

Friday, November 28, 2008

Satukan sahaja DAP dan PKR

Salam muhibbah.

Kita lihat sejak akhir-akhir ini, kerap kita mendengar isu-isu yang sedikit sebanyak 'menggegar' arena politik tanah air. Suhu panas politik tidak pula menunjukkan tanda-tanda menurun, malah semakin dipetik suis nya untuk menghangatkannya kembali.

Tidakkah anda hairan dengan sikap Pakatan Rakyat yang berjaya menguasai beberapa negeri, tetapi berlagak seperti pembangkang lagi? Kuasa sudah berada di tangan, gunakanlah sebaik mungkin, bukan dengan menyalahkan kerajaan terdahulu.

Jika dulu tak boleh, bolehkan sekarang.Jika kita amati dengan teliti, setiap isu yang dibangkitkan, tidak kira PKR atau DAP, adalah hampir menyerupai antara satu sama lain.

Yang pasti, pokoknya adalah "Tiada Ketuanan Melayu" atau formula mudah:(PKR+DAP)=PAP Singapura=Malaysian Malaysia=Malayan Union=[TIADA]Ketuanan Melayu.

Justeru itu, adalah lebih baik kedua parti ini bergabung untuk sama-sama menyuarakan pendapat yang sama. Sama-samalah menuju "kesamarataan" yang kabur tanggapannya oleh mereka. Lebih-lebih lagi apabila bersuara di Parlimen, kelihatan sama sahaja keduanya.


Hendak membezakannya pun membuat fikiran saya pening.Ini yang perlu kita khuatirkan sekarang. Lebih-lebih lagi puak-puak PAS yang menyokong kedua parti ini. Tinggalkan sahaja Pakatan Temberang itu.

Sudah terang, jelas lagi nyata, jika mereka menentang Ketuanan Melayu ini bermakna mereka menentang Ketuanan Islam. Sanggupkah kamu (PAS), melihat Islam dihina dan diperlekehkan?Usah tertipu dan terpesona dengan segelintir pemimpin Cina yang melaungkan beberapa potong ayat Al-Quran atau menyebut "Amar Ma'aruf, Nahi Mungkar".

Adakah mereka ikhlas mengeluarkan kenyataan itu atau sekadar ayat mengambil hati orang PAS? Adakah apabila mereka bersuara sebegitu, mereka lebih baik daripada orang Islam UMNO sendiri? Adakah mereka itu akan terbuka pintu hati untuk memeluk agama Islam?Inilah realiti permainan orang bukan Islam untuk menjatuh dan memecah belah umat Islam sendiri.

Jika kita lihat, banyak kajian yang dilakukan oleh sarjana Barat, mencari fakta, mencari tanda untuk membuatkan umat Islam semakin ragu dengan ajaran Islam hari demi hari. Hakikatnya yang bukan Islam seperti yang saya sebutkan tadi, wajiblah kita mengelaknya daripada berkawan dengan mereka. Kelak nanti memakan diri.

Tuesday, November 25, 2008

Perbezaan antara Politik Berasaskan Kaum dan Politik Perkauman

Disunting dari Blog Dr Khir Toyo (http://www.drkhir.com)


Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers sekalian,


1. Minggu lalu saya berkesempatan berbicara isu antara politik berasaskan kaum dan politik perkauman dengan Setiausaha Agung PKR Datuk Salahuddin Hashim dalam rancangan Sudut Pandangan di rangkaian Astro Awani.


2. Saya bertolak dari premis bahawa UMNO dan BN bukan parti sekumpulan manusia politik yang bersifat perkauman. Sebaliknya UMNO dan BN lebih merupakan kepada ideologi politik berasaskan kaum.

3. Sungguhpun dicanangkan oleh PKR bahawa dalam pilihan raya lalu, isu-isu kaum tidak lagi penting atau sudah ketinggalan zaman, namun hakikatnya PKR sebagai sebuah parti politik yang "menolak" agenda kaum hanya menguasai sekitar 13% daripada jumlah kerusi Parlimen. Selebihnya ia masih lagi dikuasai oleh parti yang berasaskan kepentingan kaum tertentu. Ini termasuk parti DAP dan Pas.


4. Manakala parti-parti yang dikatakan multiracial seperti Gerakan (?) dan Parti Progresif Penduduk (PPP) jelas hilang kekuatan. DAP sungguhpun kononnya memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia, namun jelas bahawa agenda perjuangan mereka banyak berlegar di kalangan kaum Cina. Demikian juga Pas sungguhpun membawa ideologi Islam namun ia masih berasaskan kepentingan orang Melayu sebagai penganut agama Islam terbesar di negara ini.


5. Adalah tidak salah kita memperjuangkan agenda kaum tertentu asalkan ia tidak menindas dan menzalimi kaum yang lain.


6. Bagi saya, politik perkauman ialah ideologi atau tindakan yang mementingkan sesuatu kaum dengan menindas, membenci malah menyakiti kaum lain. Kumpulan ini sanggup melakukan apa sahaja sama ada huru-hara atau menimbulkan pertelingkahan kaum demi memenuhi agenda politik dan kepentingan kaum sendiri.


7. Sejarah politik perkauman ini sebenarnya berakar umbi di Eropah dan Amerika Syarikat. Ideologi anti-Yahudi dan white Supremacy merupakan contoh-contoh terbaik politik perkauman.
8. Mungkin contoh politik perkauman yang paling mudah ialah kemunculan Nazi di Jerman yang membunuh jutaan orang Yahudi yang dianggap telah merampas kekayaan orang jerman.

10. Di Eropah, kumpulan anti orang asia atau anti bukan kulit putih masih wujud sehingga hari ini. Mereka ini dikenali sebagai kumpulan neo-nazi. Mereka bukan sahaja tidak bersetuju secara idea atau akademik mengenai kehadiran bangsa lain tetapi turut mengambil tindakan menghasut agar orang ramai membenci bangsa asing. Malah di sesetengah tempat serangan fizikal dan vandalisme harta benda kaum pendatang berlaku secara teratur dan sistematik.
11. Di Amerika sendiri terdapat beberapa bentuk politik perkauman. Sebaik ditamatkan penghambaan di negara tersebut terdapt undang-undang baru diperkenalkan yang jelas menunjukkan politik perkauman. Jim Crow laws pada 1876-1965 telah mengasingkan sekolah awam, pengangkutan awam, restoran dan tandas awam antara kulit putih dan kulit hitam.
(Pemimpin populis sentiasa mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi)





12. Salah satu organisasi yang telah terkenal dalam melaksanakan politik berasaskan kebencian ini ialah kumpulan Ku Klax Klan di Amerika Syarikat. Ku Klax Klan ini bukan sahaja menyebarkan ideologi membenci kaum pendatang terutamanya kulit hitam, malah mereka melakukan pelbagai keganasan dan kekerasan bagi memberi tekanan kepada bukan kulit putih dan yahudi.





13. Selain kumpulan Ku Klax klan, orang kulit putih di Amerika juga mewujudkan pelbagai sistem berasaskan politik perkauman yang mengasingkan terus sekolah, kedai dan ruang pengangkutan awam antara mereka dengan kulit hitam dan lain-lain bangsa. Di Malaysia juga sudah ada ciri-ciri perkauman apabila ada sebuah pertubuhan kaum tertentu yang menuduh pemimpin Melayu melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas kaum India di Malaysia.


(Gambar diatas jelas menggambarkan tidak menghormti Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan)
14. Politik Perkauman merupakan satu idea dan usaha untuk mengangkat bangsanya menjadi paling hebat, kuat dan berkuasa sama ada dalam bentuk kedudukan politik mahu pun kekuatan ekonomi dan sosial dengan cara menimbulkan kebencian, mengenakan tekanan emosi dan fizikal serta mewujudkan sistem-sistem yang secara sistematik merampas kekayaan dan kehidupan sosial kaum lain.Politik berasaskan kaum

15. Politik berasas kaum lebih merupakan bentuk politik Malaysia sejak merdeka lalu. Iaitu parti-parti politik ditubuhkan berasaskan kaum tertentu bagi memperjuangkan kepentingan dan kebajikan kaum tersebut. Misalnya UMNO ditubuhkan untuk menjaga kepentingan orang Melayu dari segi agama Islam, bangsa Melayu itu sendiri dan tanah air atau negara. Kemudiannya peranan UMNO ditambah dengan usaha menjaga kepentingan bumiputera lain.

16. MCA ditubuhkan bagi menjaga kepentingan kaum Cina di negara ini. Demikian juga MIC yang menjaga kepentingan kaum India. Parti-parti ini bukan sahaja memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing.

17. Terdapat juga parti-parti yang membuka keahlian kepada semua bangsa tetapi asas perjuangan mereka masih tertumpu kepada kaum mana yang mendominasi parti politik tersebut. Kita lihat sungguhpun DAP terbuka keahlian kepada semua namun asas perjuangan mereka masih lagi tertumpu kepada kepentingan orang Cina. Demikian juga Pas yang terbuka kepada semua orang Islam tetapi ia masih berasaskan politik Melayu.

18. Gerakan juga sungguhpun parti multi racial tetapi masih bersikap parti orang Cina. Politik berasaskan kaum lebih merupakan politik tolak ansur antara kaum yang dipraktikkan dalam negara berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia. Politik ini berjaya mengelakkan pertumpahan darah dan konflik antara kaum yang berlaku di banyak negara-negara pelbagai kaum lain seperti di negara-negara balkan suatu ketika dahulu.
19. Politik berasaskan kaum tidak menindas mana-mana kaum atau mengambil hak mana-mana kaum mahu pun mengenakan sebarang tindakan mendiskriminasi mana-mana kaum. Misalnya hak-hak istimewa melayu, kedudukan bahasa Melayu, agama Islam dan raja-raja Melayu merupakan sebahagian tolak ansur dan power bargain kemerdekaan yang turut memberikan hak kerakyatan, hak mengundi, hak mengamalkan adat istiadat dan budaya serta pendidikan berasaskan bahasa-bahasa kaum lain. Justeru ia tidak boleh dilihat sebagai tindakan satu kaum menindas kaum lain.

20. DEB juga bukan satu polisi perkauman tetapi merupakan polisi berasaskan kaum demi kepentingan sosial. Contoh – Peruntukan 30% ekuiti bumiputera, biasisiwa dan kuota universiti untuk bumiputera tidak merampas hak kaum lain. Ini kerana jumlah yang diperuntukan lebih kecil atau setara daripada jumlah penduduk bumiputera di negara ini.

21. DEB juga tidak pernah melakukan perampasan harta bukan Melayu untuk dijadikan harta kaum Melayu. Politik berasaskan kaum ini tidak pernah menindas mana-mana kaum bukan peribumi dari mencapai kedudukan, kuasa mahu pun penguasaan ekonomi.

22. Bahkan politik berasaskan kaum seperti di Malaysia ini telah melahirkan ramai jutawan dari kaum cina dan India.


23. Ini jelas berbeza dengan politik perkauman yang melakukan tekanan, dan diskriminasi secara sistematik bagi menaikkan bangsanya dengan memusnahkan bangsa lain.

24. Tiada apa yang perlu digundah gulanakan apabila kita dilabelkan pejuang bangsa. Yang kita khuatir ialah jika perjuangan bangsa digunakan untuk memusnahkan bangsa lain. Ini tidak akan berlaku di Malaysia selagi Barisan Nasional kekal memerintah dengan konsep politik berasaskan kaum ini. Ini kerana politik menjaga kepentingan kaum tertentu ini diikuti oleh tolak ansur dan persefahaman yang akhirnya menghasilkan situasi menang-menang kepada semua kaum.

25. Memang secara idealnya politik yang tidak berasaskan kaum merupakan satu hujah akademik yang cantik molek. Namun realitinya ia tidak seindah digambarkan. Ia akhirnya akan menjadi keadaan di mana kaum yang kuat dan gagah dari segi ekonomi membolot segala kekayaan dan keselesaan manakala yang lemah dan kurang kekuatan akan terus ketinggalan.