Monday, December 8, 2008

Syed Hamid: KT memang panas


Dari Malaysiakini.com
Seorang anggota Majlis Tertinggi Umno turut menjangkakan pilihanraya kecil Kuala Terengganu akan menyaksikan persaingan sengit antara calonnya dengan pembangkang.
"Panas sebab pembangkang nak rampas kerusi dari kita... sebab ini adalah kerusi BN dan kita akan pertahankannya. "Pada saya, pilihanraya kecil macam ini tidak boleh diambil mudah, kita perlu kerja keras untuk pastikan kemenangan kita (BN)," kata Datuk Seri Syed Hamid Albar, lapor Bernama.
Malah, katanya, BN juga tidak menganggap kerusi parlimen berkenaan sebagai kerusi mudah kerana pembangkang akan menggunakan pelbagai taktik untuk memenanginya.


Susulan jangkaan itu, Syed Hamid yang juga menteri dalam negeri berkata lebih ramai polis akan ditempatkan di bandar itu berbanding pilihanraya kecil Permatang Pauh, Ogos lepas.Tambahnya, berdasarkan beberapa kejadian tidak diingini di Terengganu pada pilihanraya umum lepas, polis akan mengawal lebih ketat pilihanraya kecil tersebut antara 6 hingga 17 Januari ini.
Syed Hamid berkata langkah itu bagi memastikan seramai 80,229 pemilih dapat menunaikan tanggungjawab mereka tanpa gangguan penyokong pembangkang yang mendakwa wujud pengundi hantu."...kerana ada pengalaman lalu, mereka (polis) akan lebih berjaga- jaga dan kita minta orang ramai supaya jangan mudah untuk memberi kad pengenalan kepada orang lain.
"Saya juga meminta mana-mana parti supaya tidak menggunakan tindakan agresif untuk menggagalkan dan menyekat orang ramai daripada mengundi mahupun semasa mengambil bahagian dalam kempen pilihan raya kecil itu nanti," katanya, lapor agensi berita itu lagi.
Beliau bercakap kepada media selepas sesi taklimat perkembangan terkini banjir dan persiapan pilihanraya kawasan parlimen itu di ibu pejabat polis kontinjen Terengganu hari ini.Syed Hamid berkata, orang ramai seharusnya sedar bahawa kad pengenalan adalah hak mereka dan tidak ada pihak yang boleh meminta dan merampas kad itu.
Kerusi Kuala Terengganu kosong susulan kematian penyandangnya Datuk Razali Ismail pada 28 November lepas.Razali, juga timbalan menteri pelajaran, mengekalkan kerusinya itu apabila menewaskan Naib Presiden PAS Mohamad Sabu dengan majoriti 628 undi.