Sunday, November 30, 2008

Henti pertikai ketuanan Melayu

Boleh jejas semangat perpaduan antara kaum

Pemimpin yang mengungkit konsep ketuanan Melayu sengaja mahu menjadi 'hero' atau menjadikan perkara itu sebagai isu untuk meletakkan kawan sendiri dalam partinya atau parti lain berada dalam situasi perlu menjawab kepada isu yang dibangkitkan itu.


Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata dalam suasana politik yang berubah pada masa kini, pemimpin berkenaan sebenarnya masih tercari-cari bagaimana meletakkan dan menempatkan diri serta perjuangan mereka dalam senario politik negara hari ini.

"Orang ramai sudah muak dengan isu-isu yang dibangkitkan berkisar kepada agama, kaum dan politik semata-mata. Malaysia melalui pilihan raya umum lebih tujuh bulan dan orang ramai hendak tengok kerja dilaksanakan.

"Jika masih dibelenggu dengan isu sebegini, bila nak buat kerja?" katanya selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Guru sempena Majlis Grand Reunion Alumni Maktab Kirkby di Institut Tadbiran Awam Negara Bukit Kiara di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Chua Soi Lek dan Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun yang menyatakan bahawa konsep ketuanan Melayu tidak lagi relevan di Malaysia dan ditolak oleh rakyat pelbagai kaum khususnya generasi muda.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata jangan ada pihak bercakap soal ketuanan Melayu secara tidak bertanggungjawab dan cuba mengelirukan makna dan maksudnya.
"Makna dan maksud asas ketuanan Melayu bukan menggambarkan soal hubungan tuan dengan hamba. Kalau begitu, tentunya tuan tidak akan berkongsi kuasa dengan hambanya tapi kita nampak orang Melayu berkongsi kuasa dengan kaum lain.

"Ketuanan Melayu yang dimaksudkan sebenarnya berasaskan kepada sejarah asal usul negara ini, yang mana majoritinya orang Melayu. Maka ketuanan Melayu itu adalah keindukan Melayu dan kalau pun banyak dasar-dasar kerajaan yang berpihak kepada orang Melayu, kesan dan nikmatnya dinikmati orang Melayu kerana orang Melayu adalah kaum majoriti," katanya.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Shafie Apdal, berkata semua pihak termasuk pemimpin bukan Melayu perlu berhenti mempersoalkan isu berkaitan ketuanan Melayu kerana perkara berkaitan hak orang Melayu sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, jika terus dibangkitkan ia boleh mencetuskan suasana tidak baik dan menjejaskan semangat perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Sambil melahirkan rasa kesal, beliau berkata sebagai pemimpin parti dalam komponen Barisan Nasional (BN), Dr Chua sepatutnya mengelak daripada menimbulkan isu yang mencabar perasaan orang Melayu.