Monday, December 29, 2008

Hak milik tanah usah belakangi Perlembagaan


KEPUTUSAN kerajaan Perak menawarkan pertukaran status hak milik tanah lot kediaman dan perniagaan daripada pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal 999 tahun di kampung baru dan rancangan perkampungan tersusun (RPT) yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini, dijangka berpanjangan untuk beberapa ketika lagi.



Langkah yang dikatakan untuk meningkatkan nilai hartanah bagi RPT dan kampung baru di Perak melebihi RM1.5 bilion itu mungkin bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin berkata hak milik tanah pegangan kekal tidak boleh sewenang-wenangnya diberi kepada penduduk RPT dan kampung baru tanpa persetujuan Majlis Tanah Negara. Dasar Tanah Negara menetapkan pegangan tanah secara kekal hanya boleh diberi bagi maksud kegunaan Kerajaan Persekutuan, awam dan keadaan istimewa yang terhad.



Berdasarkan hakikat ini, cadangan kerajaan Perak untuk memberi hak milik tanah pegangan kekal kepada penduduk RPT dan kampung baru di negeri itu tidak boleh dilaksanakan sehingga Majlis Tanah Negara membuat keputusan. Dalam reaksi awal selepas kenyataan Najib itu, Exco Kanan Perak, Datuk Ngeh Koo Ham bertegas menyatakan cadangan kerajaan negeri itu mematuhi Dasar Tanah Negara dan boleh dilaksanakan dengan alasan ada kriteria yang dipanggil sebagai 'keadaan khas' untuk meluluskan pegangan sedemikian.



Sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyatakan pemberian hak milik tanah pegangan kekal itu akan dibuat secara berperingkat-peringkat kepada 110,000 pemilik, iaitu 60,000 di RPT dan 50,000 kampung baru membabitkan kawasan seluas 6,000 hektar.



Kita berharap walaupun apa pun tujuan kerajaan negeri, Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tunjang peraturan di negara ini perlu dipatuhi.



Jika dari segi dasar dan dari sudut Perlembagaan Persekutuan, sesuatu perkara itu tidak boleh dilakukan, ia seharusnya tidak diteruskan apa lagi jika ia bermotifkan politik. Pemilikan kekal 999 tahun yang dilakukan Perak itu memang luar biasa, kerana ia hanya berlaku ketika zaman penjajah. Malah sejak merdeka, tiada negeri memanjangkan tempoh seribu tahun itu apabila mengehadkan pajakan dan hak milik tanah kepada maksimum 99 tahun.



Kita berharap kerajaan Perak yang dikuasai DAP tidak mempolitikkan isu tanah dan perlu mengambil kira sensitiviti kaum. Justeru, mesyuarat khas Majlis Tanah Negara yang bakal diadakan nanti bagi membincangkan kertas kerja berhubung cadangan kerajaan Perak itu perlu membuat keputusan muktamad supaya tidak ada lagi mana-mana kerajaan negeri cuba berbuat sesuatu yang bercanggah dengan semangat Persekutuan.



Sehingga keputusan itu dibuat, proses permohonan bagi urusan menukar status hak milik tanah lot kediaman dan perniagaan daripada pajakan kepada hak milik selama-lamanya di Perak itu perlu dihentikan sementara waktu.