Sunday, December 21, 2008

Hudud, sumpah dan pertimbangan politik

ISU hudud timbul semula setelah sekian lama tidak kedengaran. Ia bukan isu baru, tapi isu yang telah lama dilaungkan oleh Pas. Isu itu senyap 'beberapa ketika' apabila Pas cuba berbaik-baik dengan pakatan pembangkang lain - termasuk Keadilan dan rakan antihudud - DAP, untuk menumbangkan BN pimpinan UMNO.

Sejak itu sehinggalah pada pilihan raya umum ke-12 lalu, Pas terus senyap membincangkan isu itu. Hasilnya, pakatan pembangkang itu menang lima negeri.

Walaupun dalam masa-masa tertentu Pas ada juga berkias mengenai isu hudud, DAPlah yang menjadi pihak pertama atau juara untuk menghentamnya. Pas tidak pernah membantah. Pas akur dan tunduk membisu atas kecaman DAP itu.

Ia berbeza apabila UMNO yang membuka mulut dan menghentam mengenai isu itu. Serangan oleh pengikut-pengikutnya yang fanatik begitu mengkagumkan sekali. Mereka akan menyerang UMNO kiri-kanan sehingga ada yang sanggup mengecap UMNO sebagai parti kafir, taghut dan dengan pelbagai lagi kata-kata nesta.

DAP bagi Pas adalah rakan terbaik yang boleh berkongsi kepimpinan, walaupun satu Malaysia tahu siapa itu DAP dan apa cara kepimpinan yang ada padanya. Namun bagi Pas, DAP ialah kawan setia mereka.

Bagi pengikut fanatik Pas, termasuk kader-kader yang sedang dilatih atau keluaran sekolah-sekolah pondoknya, DAP bukan kafir dan yang kafir ialah UMNO.

Kita tidak perlulah mengimbas kembali kisah 'fatwa kafir ke atas UMNO' yang pernah dikeluarkan oleh seorang tok guru Pas pada awal 80-an dulu, kerana itu cerita lama dan orang Melayu 'sudah lupa'.

Pasa masa itu UMNO difatwakan kafir oleh Pas kerana ia bersekongkol dengan MCA. Daging sembelihan UMNO haram dimakan oleh orang Islam lain. Anak-anak orang UMNO haram dijodohkan kepada para pengikut Pas. Dan siaran televisyen yang disiarkan oleh pemerintah UMNO itu haram, sehinggakan peti televisyen diharuskan dibuang ke dalam sungai. Seperti yang saya katakan tadi, tidak perlulah dibangkitkan soal itu kerana kita semua sudah lupa dan generasi belasan tahun sekarang pun tidak pernah tahu mengenai isu itu.

Tapi episod Pas-DAP sekarang merupakan cerita baru. Pas tidak lagi mengeluarkan fatwa-fatwa 'mengarut' seperti itu kerana Pas-DAP kini sudah berboleh berganding bahu. Mereka tidak mengatakan lagi hubungan itu sebagai hubungan kafir-Islam, tapi kini ia lebih dikenali sebagai pakatan 'strategik' untuk kemenangan politik.

Ahad lalu, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, yang saya kenali sebagai Setiausaha Akhbar kepada tok guru Nik Aziz Nik Mat ketika saya bertugas di Kota Bharu selepas Pas memerintah Kelantan pada pilihan raya 1990 dulu, bercakap dengan penuh yakin mengenai isu hudud.

Katanya, Pas memberi jaminan untuk melaksanakan hukum hudud di seluruh negara sekiranya pakatan pembangkang berjaya memerintah pada masa depan.

Terpinga-pinga juga saya kerana pada hari yang sama berita itu dikeluarkan, Pas dan DAP berbalah di Pulau Pinang mengenai isu tarian I-Dance yang dianjurkan oleh kerajaan negeri itu. Soal yang kecil itu pun tidak boleh selesai, macam mana soal yang besar dan kontroversi lebih sedekad lamanya itu boleh diselesaikan?

DAP tidak akan membenarkan hukum hudud itu wujud di tanah air ini. Seorang pemimpin mereka pernah bersumpah ''langkah mayat"nya dulu jika hukum itu mahu dilaksanakan di negara ini. Kini kita semua sudah keliru. Apakah, semasa Husam mengeluarkan kenyataan itu DAP telah pun 'melupakan' sumpahannya itu?

Namun, ia tidak berlaku. Kurang 24 jam selepas kenyataan Husam itu, di dalam akhbar arus perdana - yang didakwa oleh pakatan pembangkang sebagai semuanya pembohong - DAP dengan lantang terbukti masih berpegang kepada sumpahnya itu. Karpal Singh dipetik di muka depan NST sebagai berkata: ''The time has come for Pas to discard myopic political considerations and try to appreciate the larger political landscape which is a necessary for the continued existence of Pakatan Rakyat" (Masanya telah tiba bagi Pas 'mencampakkan' pertimbangan politiknya yang 'kabur' itu dan cuba menghargai hakikat politik yang lebih luas yang penting bagi meneruskan kewujudan Pakatan Rakyat).

Petikan Karpal itu cukup luas dan cukup jelas. Sumpahnya masih kekal. Dia tidak akan membiarkan sumpahnya memakan dirinya.

Sekarang orang Islam sendiri keliru dengan pegangan dan pendirian Pas. Walaupun Nik Aziz dipetik NST sebagai berkata ''With or without their support, Pas will go ahead with hudud" (Sokong atau tidak (oleh DAP), Pas akan teruskan hudud), semua pihak semakin kabur dengan perjalanan Pas.

Kita tidak pasti apakah Husam pun sendiri faham maksud Nik Aziz itu? Apakah Nik Aziz faham dengan situsai politik Malaysia, atau beliau hanya merujuk kepada politik dalam negeri Kelantan semata-mata? Jika politik Kelantan, di mana hukum hudud? Atau seperti kata seorang kawan dari Kelantan ''cakap saja Pasnya".

Para pemimpin Pas sebenarnya masih diawang-awangan. Mereka tidak jelas dengan siapa kawan mereka itu. Namun atas 'pertimbangan politik' juga Pas terpaksa bersekongkol dengan DAP.

Pas tidak mahu kelihatan tersisih tanpa pakatan itu. Setelah terlalu lama anggota-anggotanya diindoktrinasi oleh institusi Pas atas nama Islam, terlalu sukar untuk mereka bersahabat dengan UMNO. Selagi mereka masih merasakan UMNO itu masih kafir, maka selagi itulah kedua-duanya sukar disatukan.

Selagi Pas masih tidak boleh menerima konsep assabiyah atau semangat ke'bangsa'an, maka selama itulah kedua-dua buah parti berteraskan Melayu ini tidak boleh bersatu.

Namun, politik tetap politik. Hari ini bermusuh, esok bersahabat. Hari ini bercerai, esok merujuk semula. Harapan kita semua biarlah esok masih ada untuk kedua-dua parti politik ini. Kerana sesungguhnya penyatuan UMNO-Pas itu amat digeruni oleh DAP.