Sunday, January 11, 2009

Kelonggaran bayar yuran sekolah usah diambil mudah


MUSIM persekolahan tahun ini nampaknya berlangsung tanpa sebarang kontroversi, terutama membabitkan keluhan ibu bapa yang sering kita dengar setiap awal tahun.


Semuanya bermula dengan langkah Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling kepada semua sekolah di seluruh negara bagi menangguhkan kutipan yuran sekolah dan pelbagai yuran lain sehingga April.


Selain itu, langkah proaktif sekolah menyalurkan skim pinjaman buku teks kepada semua pelajar sebelum cuti persekolahan bermula November lalu menyebabkan urusan persekolahan yang biasanya kecoh pada awal tahun berjalan lancar. Ini bermakna langkah kementerian berjaya menyelesaikan masalah yang biasanya timbul setiap kali sekolah dibuka.


Sejumlah enam juta pelajar mengikuti pengajian di seluruh negara tahun ini. Kecuali puluhan ribu pelajar di kawasan terbabit dengan banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang yang tidak dapat ke sekolah kerana bangunan sekolah dinaiki air atau menjadi kawasan penempatan sementara mangsa banjir, pelajar di negeri lain meneruskan persekolahan seperti biasa.



Sehingga kini, lebih 30,000 pelajar membabitkan hampir 40 sekolah di Kelantan tidak ke sekolah dan hal sama turut dialami pelajar di Terengganu, Pahang dan Sabah. Kita menyokong langkah proaktif kementerian yang semakin menyedari masalah tekanan kewangan dihadapi ibu bapa yang mempunyai ramai tanggungan setiap kali musim persekolahan bermula, selepas berhempas pulas mencari wang untuk persiapan sekolah anak.



Dengan langkah diambil bagi pembayaran pelbagai yuran tiga bulan selepas sekolah dibuka, ia membolehkan ibu bapa kembali bernafas. Ini penting memandangkan kegawatan ekonomi semakin dirasai apabila ada kalangan ibu bapa kehilangan pekerjaan berikutan penutupan kilang kesan krisis ekonomi global dan sudah pasti, tindakan yang diambil kerajaan itu cukup melegakan. Cuma harapan kita, ibu bapa tidak mengambil kesempatan terhadap kelonggaran disediakan sekolah dan semua yuran diwajibkan perlu dibayar, walaupun secara berperingkat.



Ini membolehkan sekolah menjalankan kegiatan, terutama yuran membabitkan kegiatan pelajar. Tanpa peruntukan tambahan menerusi yuran, sesetengah sekolah tidak dapat menjalankan aktiviti terutama melalui pungutan yuran Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) yang diwajibkan kepada pelajar. Sehubungan itu, pengurusan sekolah perlu mendapatkan dana khas daripada kementerian bagi membolehkan kegiatan pelajar dilaksanakan sebaik saja sesi sekolah dibuka, tanpa menunggu kutipan pelbagai yuran dikenakan.



Ini dapat mengelak aktiviti pelajar terbantut atas alasan sekolah tidak mempunyai dana mencukupi. Ibu bapa nampaknya tidak mempunyai alasan lagi terhadap pendidikan anak dan mereka perlu memastikan anak belajar dan membantu sekolah meneruskan kecemerlangan. Ini penting kerana tanpa sokongan dan kerjasama ibu bapa, pihak sekolah tidak mampu untuk menjadikan anak mereka sempurna di dalam pelajaran.



Kejayaan anak di sekolah, sebahagiannya disumbangkan ibu bapa di rumah dan atas keyakinan itu, kedua-dua pihak perlu bertanggungjawab bagi memastikan mutu pendidikan negara terus meningkat.