Tuesday, June 9, 2009

Kerajaan Perpaduan Tidak Penting, Agama dan Bangsa Yang Utama


Dari Blog Dr Khir Toyo


1. Muktamar Pas yang berakhir semalam memberi satu nafas baru kepada kedudukan Islam dan orang Melayu di negara ini. Ini kerana tokoh-tokoh yang menang seperti YB Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang (Presiden), YB Nasharuddin Mat Isa (Timbalan Presiden), Tuan Ibrahim Tuan Man (Naib Presiden), Saudara Nasrudin Hassan (Ketua Pemuda) dan beberapa pimimpin utama Pas lain mempunyai pandangan dan pendirian mengutamakan agama dan bangsa berbanding kuasa.


2. Saya ditanya oleh sahabat-sahabat mengenai isu kerajaan perpaduan ini. Mungkin pertanyaan tersebut bersandarkan kedudukan saya sebagai salah seorang pelopor penubuhan kerajaan BN-Pas di Selangor tempoh hari.


3. Bagi saya pembentukan Kerajaan Perpaduan tidak lagi penting hari ini memandangkan semua negeri telah pun membentuk kerajaan. Cakap-cakap mengenainya hanya akan menimbulkan lebih banyak konflik di dalam Pas dan UMNO sendiri. Ini kerana apabila kita bercakap soal kerajaan perpaduan, maka rakyat melihat ia melibatkan soal kuasa dan pengaruh politik.



4. Sebaliknya, apa yang lebih penting ialah kesepakatan dan kesepaduan pimpinan UMNO dan Pas untuk menjaga kepentingan umat Islam dan orang melayu di negara ini yang tampaknya kian terumbang-ambing.



5. Misalnya, pernahkah terfikir kepada kita ada pemimpin Pas sanggup berucap di dalam Gereja dan menyokong usaha pihak tertentu menggunakan nama Allah sebagai ganti nama tuhan dalam Bible bahasa Melayu? Alahamdulillah pemimpin seperti ini ditolak dalam Muktamar Pas yang berakhir semalam.



6. Pas sungguhpun melaungkan perjuangan Islam sebagai perjuangan tunggalnya, mereka tetap tidak dapat menolak hakikat bahawa 90% daripada "pemegang saham" parti tersebut merupakan orang Melayu dan Bumiputera.



7. Justeru mahu tidak mahu Pas perlu juga memikirkan kepentingan orang Melayu. Mungkin kerana itu juga ada usul dari Dewan Pemuda Pas sendiri menggesa agar dipertahankan kepentingan Melayu dan Bumiputera terutamanya membabitkan kuota 30% dalam ekonomi negara.



8. Saya tidak boleh memberi pandangan mewakili kepimpinan UMNO. Namun sebagai seorang Muslim dan Melayu, saya lebih mengharapkan Pas akan menjadi sebuah parti yang mempertahankan prinsip dan kepentingan Islam, Melayu dan bumiputera melebihi kuasa dan pengaruh.



9. Hanya dengan ini, jika UMNO lemah, orang Melayu mempunyai Pas untuk diharapkan. Jika Pas lemah, orang Melayu mempunyai UMNO untuk diharapkan. Bukan seperti sekarang ini, orang Melayu seolah-olah tiada lagi tempat berteduh. UMNO kuat tetapi nampak lemah, Pas lemah tetapi nampak kuat.



10. UMNO kuat kerana terus menjadi tunggak Barisan nasional dan kerajaan. Namun kelihatan amat lemah dengan serangan bertali arus dari parti komponen mahu pun parti lawan.



11. Pas pula lemah dari segi kekuatan kerusi, namun kelihatan kuat kerana kompromi tertentu dalam Pakatan Pembangkang. Persepsi di kalangan orang Melayu, kerajaan campuran pimpinan Pas di Perak sebelum ini gagal sama sekali menjaga kepentingan agama dan bangsa. Mengapa? Ini kerana Pas hanya kelihatan kuat atas "kertas" sebagai Menteri Besar tetapi tiada kuasa majoriti sama ada dalam Mesyuarat EXCO mahu pun Sidang DUN Perak.



12. Ketika parti-parti politik Melayu tampak lemah inilah maka ada orang cuba mengambil kesempatan untuk terus menekan dan membuat pelbagai permintaan yang bukan-bukan.


13. Hari ini, pengarang akhbar Melayu seperti Utusan pun ditekan dan dituduh pelbagai tuduhan hanya kerana memetik pesanan-pesanan pemimpin negara semasa kemerdekaan dahulu. Kuota biasiswa, peluang pendidikan dan perniagaan untuk orang Melayu dan bumiputera lain juga dipertikaikan kerana ada pemimpin Melayu yang sanggup menjual agama dan bangsanya demi kuasa.



14. Atas sebab inilah, saya percaya yang lebih penting kepada agama Islam dan orang Melayu hari ini ialah perpaduan idea dan pegangan antara Pas dan UMNO, bukannya kerajaan perpaduan.