Wednesday, June 3, 2009

Sokongan Rakyat Terhadap Umno..Mampukah Direalisasikan??


Kemerosotan prestasi Umno dalam Pilihanraya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008 berpunca daripada terhakisnya sokongan rakyat terhadap Kerajaan BN sehingga pihak pembangkang berjaya menguasai (5) buah negeri. Perkembangan ini menunjukkan rakyat Melayu tidak lagi memberi kepercayan kepada parti Umno dalam mentadbir negara. Pembangkang melalui Lim Kit Siang, Penasihat DAP melabelkan peristiwa mengejut ini sebagai ‘Tsunami Politik’.



Hal ini ekoran kekalahan yang dialami oleh Kerajaan BN adalah di luar jangkaan terutamanya setelah mereka dinafikan 2/3 majoriti dalam Parlimen. Secara keseluruhan BN hanya memperolehi 4,081,115 undi (51.4 peratus) jika dibandingkan pembangkang (PR) 3,767,606 undi (47.5 peratus) manakala lain-lain parti memperolehi 94, 082 undi (3.9 peratus).


Buat pertama kalinya Parlimen Malaysia dianggotai seramai 83 Ahli Parlimen pembangkang (satu jumlah yang besar). Suatu senario yang luar biasa dilihat di Parlimen.


Beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh UMNO bagi menarik semula sokongan rakyat terhadap parti tersebut menjelang Pilihanraya Umum yang Ke-13 akan datang. UMNO memerlukan perubahan yang drastik dalam mengembalikan semula perpaduan dalaman parti iaitu kunci utama ke arah kekuatan parti tunjang Kerajaan BN ini. UMNO yang kini mengalami krisis kepimpinan di beberapa negeri haruslah kembali kepada perjuangan dan matlamat asal penubuhan parti iaitu memperjuangkan Agama, Bangsa dan Tanahair.



Jika diamati, pemimpin UMNO yang rata-rata berumur dalam lingkungan 50-65 tahun tidak perlu terikat kepada ‘nostalgia’ lama perjuangan parti. Sememangnya dahulu perjuangan UMNO bertunjangkan kepada perjuangan menentang penjajah, mendapatkan kemerdekaan dan mempertahankan hak-hak keistimewaan Melayu namun kini semuanya perlulah diterjemahkan selari dengan cabaran semasa. Umpanya perubahan dari segi doktrin kepimpinan yang pragmatik perlu ditekankan. Kepimpinan yang mengambil kira kepentingan rakyat ‘marhaien’ perlu didokong sebaik mungkin.
Masih banyak ‘homework’ yang perlu diselesaikan oleh pemimpin-pemimpin UMNO terkini. Bangkitlah wahai pemimpin UMNO sekalian tidak kira di peringkat Pusat, Bahagian waima Cawangan sekalipun. Rapatkanlah saf, tekadkan niat, berjuanglah untuk kepentingan rakyat Malaysia. Perubahan perjuangan UMNO pelulah selari dengan peredaran zaman. Justeru, bagi mengembalikan sokongan rakyat Melayu terhadap Umno mekanisme-mekanisme berikut mampu merealisasikan hasrat tersebut.

Untuk mengembalikan sokongan terhadap UMNO, UMNO sendiri perlu berubah dari dalamannya sendiri terutamanya pemimpin-pemimpinnya.


1. Fokus utama yang perlu diberi perhatian adalah berhubung cara hidup pemimpin UMNO itu sendiri. Pelbagai pandangan dan reaksi diterima di kalangan masyarakat umum yang mempertikaikan penampilan dan keperibadian pemimpin-pemimpin UMNO tatkala rakyat dilanda pelbagai masalah. Seharusnya kepentingan rakyat dijadikan asas dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Berdampinglah dengan mereka kerana akhirnya mereka inilah yang menentukan wakil rakyat ingin mereka undi kelak. Janganlah malu untuk duduk bersila semasa menghadiri kenduri di kampung-kampung yang dilawati. Janganlah malu untuk mengabdikan diri kepada rakyat kerana itu jalan yang kamu semua pilih iaitu untuk berbakti kepada mereka. Lupakanlah seketika pangkat dan gelaran yang dimiliki serta layanan istimewa sebelum ini. Gaya hidup pemimpin-pemimpin UMNO sendiri, tak payah la fikir nak beli kereta besar, rumah besar. Kalau ada duit lebih, simpan saja atau sedekahkan kepada mereka yang memerlukan. Kenapa PR berjaya menarik sokongan rakyat? Mereka tidak menaburkan gula-gula kepada rakyat tetapi mereka mendekati rakyat. Kenapa? Mereka tau apa yang rakyat mahukan



2. Umno merupakan satu-satunya parti yang memiliki jentera penerangan di seluruh negara melibatkan 191 Bahagian dengan lebih kurang 20, 000 Cawangan terdapat di dalamnya. Tidakkah ini jumlah yang cukup gah? Namun tiadalah ertinya jika kelebihan yang dimiliki tidak diguna pakai sebaik mungkin. Jentera UMNO di setiap Cawangan perlulah digerakkan dengan pantas dan secara efektif kerana Cawangan Umno adalah ‘mata’ dan ‘telinga’ Kerajaan dalam mendekati rakyat. Penjelasan secara berterusan amatlah praktikal bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada parti. Sekiranya timbul sesuatu isu yang baru, gerakkanlah jentera penerangan Umno ini secara bersepadu dengan parti komponen yang lain. Sesuatu isu haruslah diperjelaskan secara bersama dengan penuh rasa tanggungjawab. Isu membabitkan kaum-kaum di Malaysia tidak perlu lagi dijuarai parti-parti tertentu sahaja. Jika isu melibatkan kaum Melayu, MIC dan MCA perlu berdamping dengan Umno bagi menunjukkan bahawa mereka juga prihatin. Begitu juga jika ia melibatkan kaum Cina ataupun India, method yang sama perlu digunakan sebaik mungkin.


3. Permasahan dalaman parti melibatkan kepimpinan UMNO di peringkat Bahagian haruslah diselesaikan segera. Akhir-akhir ini dilihat Negeri Perlis dan Terengganu mengalami masalah tersebut ekoran timbul rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin Umno Bahagian masing-masing. Pertikaian ini merupakan rentetan daripada perasan tidak puas hati berhubung isu pelantikan Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri sejurus selesai Pilihanraya Umum Ke-12 dan Pemilihan Agung Umno baru-baru ini. Sehubungan itu, timbul ‘kem-kem’ tertentu dalam parti dalam mempertahankan hak masing-masing. Jika diteliti, masalah berpanjangan ini akan merugikan parti lantas sekaligus memberi peluang kepada pihak pembangkang yang sentiasa cuba ‘menangguk di air keruh’ dengan menyebarkan berita-berita yang menyebabkan pertikaian semakin hangat. Sebagai contoh, penubuhan sebanyak 6 Cawangan DAP di Perlis menunjukkan kekuatan UMNO di negeri tersebut semakin terhakis. Terbaru, PKR dilaporkan telah berjaya menembusi kubu kuat Umno iaitu di Kuala Perlis (kawasan MB Perlis) apabila berjaya membuka Cawangannya di kawasan tersebut. Dikatakan seramai lebih kurang 320 ahli Umno keluar parti untuk menyertai PKR. Moral ahli-ahli parti akan menjunam ‘manifestasi’ kedegilan kepimpinan tertinggi Umno di peringkat Bahagian tersebut untuk berkompromi. Krisis di Perlis dan Terengganu terutamanya, menampakkan secara jelas kepada rakyat siapakah pemimpin-pemimpin UMNO. Tidak perlulah saya ulaskan apa yang berlaku kerana semuanya sudah sedia maklum. Pemimpin yang dipilih perlulah ingat, mereka kena bekeja untuk parti dan rakyat, bukannya untuk diri sendiri. Seharusnya mereka akur, kalau mereka tidak terpilih, jangan la marah. Sepatutnya mereka ini kena terima apa keputusan yang berlaku. Jangan ingat jawatan yang disandang akan kekal sampai ke tua.



4. Dalam pada itu, semua universiti dan sekolah perlulah ditadbir oleh individu yang ‘berorientasikan’ perjuangan Umno kerana di sinilah lahirnya bakal-bakal pemimpin dan generasi yang akan mencorakkan kepimpinan negara satu hari nanti. Bagi agensi kerajaan yang lain seperti Biro Tatanegara, Kemas, Jasa dan sebagainya perlulah diperkukuhkan demi melahirkan insan yang menghargai sumbangan Umno kepada negara. Namun pendekatan yang digunakan haruslah dipelbagaikan seiring perubahan iklim politik di Malaysia.


5. Amalan politik wang di kalangan pemimpin Umno semakin mencapai ke tahap kritikal lebih-lebih lagi menjelang pemilihan parti. Rakyat semakin ‘meluat’ dan ‘kritis’ apabila membincangkan gejala yang kurang sihat ini. Namun, kepimpinan tertinggi parti perlulah menyelesaikan amalan keji ini mengikut saluran parti. Biarkan parti yang mengadili seterusnya menghukum perbuatan mereka itu. Hukuman yang dikenakan juga haruslah adil dan saksama dan berdasarkan prinsip-prinsip yang telah dijelaskan dalam Agama Islam.


6. ‘Media baru’ merupakan platform terbaik buat Umno dalam menangkis segala dakyah dan fitnah yang dilakukan pembangkang. Umum mengetahui bahawa ‘dunia tanpa sempadan’ adalah medium terhebat di abad ini dalam mendapatkan sebarang berita mahupun maklumat. Segala-galanya berada di hujung jari dan tiada sekatan atau kawalan dikenakan. Justeru, Umno haruslah menggunakan peluang yang ada bagi memberi gambaran jelas terhadap sesuatu isu berbangkit di samping mengambil peluang mendedahkan segala keburukan pembangkang yang sebelum ini menyerang Kerajaan BN menerusi ‘media baru’ ini. Umno perlu mewujudkan ‘network’ di kalangan ‘blogger’ pro-Umno dalam melakukan ‘perang saraf’ terhadap pembangkang yang kini menguasai ‘media baru’ ini. Penyelarasan di peringkat Pusat amatlah penting dalam menjayakan hasrat murni ini.


7. Selain itu, Umno selaku parti dominan dalam Kerajaan BN perlu lebih agresif dalam menangani permainan politik kotor pembangkang ini. Penguatkuasaan undang-undang perlu diperhebatkan dan secara berterusan ke atas anasir-anasir yang cuba merosakkan sistem pemerintahan Negara terutama juak-juak yang semakin lantang mempertikaian hak-hak istimewa kaum Melayu seperti yang termaktub dalam perlembagaan. Mereka yang ingkar dalam mematuhi undang-undang perlu diajar walaupun Kerajaan terpaksa menggunakan ISA untuk menanganinya. Biar mereka berasa serik kerana selama ini, kebebasan dan keterbukaan yang diperolehi di era pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi telah disalahgunakan. Konflik dalaman antara parti-parti di dalam BN. Sebelum ini kita sibuk dengan PR yang PAS macam tu la, PKR macam nilah, DAP macam nilah, tapi cuba tengok, rakyat tidak nampak pun kegoyangan di dalam parti mereka. Macam-macam kita dengar, "Tidur sebantal tapi mimpi lain-lain". Tapi tengok la apa yang jadi pada PPP. Rakyat tidak akan memilih parti yang lemah.


8. Gagasan 1Malaysia ilham Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia menjadi pegangan dalam melaksanakan pembaharuan dalam parti. Gagasan yang semakin menerima reaksi positif rakyat Malaysia ini perlu didokong oleh semua pemimpin BN terutama pemimpin Umno. Datuk Seri Najib mengilhamkan 1Malaysia untuk memastikan dalam usaha Kerajaan memajukan negara ke hadapan, semua kepentingan dan aspirasi semua masyarakat, termasuk masyarakat Cina dan India, didengari dan diambil perhatian. 1Malaysia seharusnya tidak dipandang oleh semua pihak sebagai landasan untuk mendesak Kerajaan dalam menuntut hak kaum masing-masing. 1Malaysia lebih menjurus kepada menjayakan perpaduan antara kaum, hak kemarataan yang terjamin dan memelihara keharmonian di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Rakyat akan mendapat hak-hak mereka yang sepatutnya, tiada lagi rakyat yang akan dipinggirkan dan semua akan berkongsi kejayaan secara adil sekaligus melahirkan masyarakat Malaysia yang dinamik, progresif dan berdaya saing.


9. Tidak dilupakan ialah pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memecah-belah masyarakat Melayu. Perancangan licik beliau selaku Ketua Umum PKR juga perlulah diambil kira. Segala strategi jahat beliau dalam mempengaruhi minda rakyat khususnya Kaum Melayu tidak boleh dipandang ringan. Kerajaan haruslah berusaha ‘mengawal’ beliau bagi menyukarkan langkah dan hasratnya dalam mengucar-kacirkan kehidupan rakyat Malaysia khususnya kaum Melayu mampu menarik kembali sokongan rakyat terhadap Umno. Serangan-serangan dan tuduhan pembangkang pada BN sendiri. Di manakah juara-juara BN untuk mengakis semua tuduhan itu. Dan kalau nak menangkis, sediakan hujah yang tepat. Pemimpin-pemimpin talam dua muka yang kini nampak menyokong pembangkang. Mereka ini memainkan peranan penting kerana meraka tahu apa kelemahan BN kerana mereka pernah berada di dalamnya.


10. Akhir sekali Umno harus menerima kenyataan bahawa rakyat semakin bijak dalam menilai sesuatu perkara terutama yang melibatkan isu politik semasa. Kebijakan rakyat ini juga sebenarnya diperolehi daripada dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Kerajaan Malaysia yang membela nasib rakyat Malaysia. Maka Umno sebagai parti yang memperjuangkan hak-hak kaum Melayu perlulah mendidik rakyat agar mereka dapat menghargai segala apa yang diperolehi selama ini. Jangan biarkan pembangkang menafikan penat lelah Kerajaan selama 52 tahun ini. Jangan memperjudikan nasib anak bangsa kita kea rah hala tuju yang masih belum pasti.