Monday, February 9, 2009

Ahli Parlimen PAS Roslan Shaharum meninggal kerana serangan jantung

IPOH 9 Feb. - Anggota Parlimen Bukit Gantang daripada PAS, Roslan Shaharum, meninggal dunia pagi ini dipercayai kerana serangan jantung, menurut abangnya Ahmad Najmi.

Beliau berkata Roslan, yang pada mulanya sedang menunggu keretanya dicuci di sebuah stesen minyak di Batu Gajah, tiba-tiba dilaporkan merasa tidak sihat dan meminjam sebuah basikal milik orang lain untuk ke farmasi berdekatan.

Sebaik mengayuh basikal itu beberapa meter, beliau dikatakan terjatuh lalu dibawa ke Hospital Batu Gajah sebelum disahkan meninggal dunia, kata Ahmad Najmi kepada Bernama di sini.


Roslan, 50, yang merupakan pengerusi Yayasan Perak di bawah kerajaan Pakatan Rakyat, meninggalkan seorang isteri Sofiah Husein dan 11 anak.


Lulusan ijazah sarjana muda Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia serta sarjana Sains Pembangunan dan Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia, beliau pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara serta Universiti Terbuka Malaysia.



UMNO Taman Sejahtera mengucapkan takziah kepada keluarga beliau. Al-Fatihah


Sejarah Bukit Gantang

Dato' Panglima Bukit Gantang (bapa saudara Long Jaafar) merupakan orang Melayu yang terkaya serta berpengaruh di negeri Perak sekitar tahun 1800 – 1850 an. Mereka juga merupakan Pemungut Cukai di Kerian dan Kurau ketika itu. Dato' Panglima Bukit Gantang dikatakan orang yang mula-mula membuka kawasan ini dan dari situlah kawasan ini mendapat namanya.

Dato Panglima Bukit Gantang meninggal dunia pada Isnin 20.4.1818. Makam Panglima Bukit Gantang terdapat di Kampung Kubu dan merupakan peninggalan sejarah yang perlu dipelihara. Long Jaafar pula adalah orang Melayu yang mula-mula menjalankan perusahaan melombong bijih-timah di Daerah Larut. Dalam tahun 1848 Long Jaafar telah memulakan perusahaan melombong di Kelian Pauh ataupun lebih dikenali sekarang sebagai Bandar Taiping dan dalam masa yang singkat beliau telah beroleh kejayaan dan menempatkan dirinya sebagai orang yang terkaya dan berpengaruh di Daerah Larut bahkan jua di dalam negeri Perak.

Dalam tahun 1850, Raja Muda Ngah Ali telah mengurniakan Daerah Larut kepada Long Jaafar. Kemudian dalam tahun 1856, Raja Ngah Jaafar yang menggelar dirinya sebagai Sultan Perak telah memberi pula surat kuasa kepada Long Jaafar bagi mengukuhkan lagi surat kuasa yang telah diberi oleh Raja Muda Ngah Ali.

Long Jaafar telah meninggal dunia pada 6 Jamadil Akhir 1272 bersamaan Ogos 1858. Anaknya Ngah Ibrahim telah menggantikan tempat beliau sebagai orang yang berkuasa di Daerah Larut (Menteri Larut) Dizaman kekuasaannya, Long Jaafar telah membina kota kediaman di Kampung Bukit Gantang atau disebut ‘kubu' oleh orang-orang disitu, Makamnya juga telah dibina di dalam kota tersebut.
Kubu itu juga dikatakan menjadi salah satu antara tempat perlindungan bagi Ngah Ibrahim bersama pengikut-pengikutnya untuk bertahan dari serangan British dalam Perang Larut. Akhirnya Ngah Ibrahim dapat ditawan oleh British dan dibuang di Pulau Sycelles.