Wednesday, November 19, 2008

Harga Minyak Turun Lagi : Pembangkang Disaran Bersama Bantu Rakyat

Penurunan harga minyak buat kali kelima hari ini sebanyak 15 sen tidak sehebat kenaikannya pada Jun lalu. Pada ketika ini bukan sahaja rakyat mengeluh malah ia dijadikan senjata paling ampuh buat pembangkang menyerang kerajaan.

Pemimpin pembangkang seperti tidak menang mulut menghentam kerajaan yang didakwa zalim, rakus dan tidak prihatin terhadap rakyat.

Walaupun kerajaan berjanji akan mengkaji serta menurunkan harga bahan api itu mengikut harga pasaran tetapi janji itu hanya dipandang sinis sahaja.

Seperti dijangka apabila kerajaan menunaikan janjinya tiada pula suara pemimpin pembangkang menghamburkan pujian.

(Minyak dah turun: awat tak mau buat tunjuk perasan lagi? Jangan menipu rakyat! Malaysia negara aman damai, jangan sesekali porak perandakan keamanan yang dikecapi!)

Mengulas perkara tersebut, Timbalan Pengerusi Biro Pengaduan Awam dan Hal EHwal Pengguna, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Suhaimi Mohd Ghazali berkata penurunan kali kelima bahan api tersebut membuktikan kerajaan berpegang kepada janjinya.

Jelasnya pasaran antarabangsa harga bahan api terbabit pada kadar AS AS$55.85 (RM195) membolehkan kerajaan mengambil keputusan terbabit untuk kepentingan rakyat.

Justeru beliau mengajak parti-parti pembangkang berhenti mengkritik kerajaan berhubung isu berkenaan sebaliknya berganding bahu untuk memastikan para peniaga menurunkan harga barang keperluan sejajar dengan penurunan harga minyak berkenaan.

"Penurunan kali kelima harga minyak sejak Ogos lalu menunjukkan kerajaan prihatin terhadap apa yang dilalui oleh rakyat.

"Apa yang penting hari ini, semua pihak perlu bekerjasama dengan agensi sedia ada memantau dan membuat laporan sewajarnya terhadap mana-mana pihak dan peniaga yang terus berdegil mengeksploitasi harga barang keperluan berdasarkan harga minyak", katanya.

Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda sebagai mengulas penurunan harga minyak kali kelima oleh kerajaan sejak ogos lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan penurunan itu berkata, petrol RON97 turun daripada RM2.15 kepada RM2 seliter manakala RON92 dan diesel masing-masing daripada RM2.05 kepada RM1.90 seliter.


Suhaimi yang juga Ketua Pemuda UMNO Sepang seterusnya percaya kerajaan akan menurunkan lagi harga bahan bakar terbabit selepas ini berdasarkan harga semasa pasan minyak dunia.

"Justeru adalah wajar dan sesuatu yang berpatutan para peniaga menurunkan harga barang keperluan agar ianya seiring dengan tindakan kerajaan yang peka dan prihatin terhadap rakyat.

"Jika mereka terus berdegil dan terus mengambil kesempatan, tindakan kerajaan itu tidak akan memberi satu impak yang cukup meluas, sebaliknya tertumpu kepada kenderaan semata-mata dan bukannya menyeluruh", ujar beliau.

Harga minyak petrol dan diesel telah mengalami kenaikan tertinggi pada Jun lalu apabila kerajaan menaikkan harga runcit petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter ketika harga minyak mentah dunia meningkat sekitar AS$125 setong.

(Pemimpin POPULIS memang merosakkan negara untuk kepentingan peribadi)


Bagaimanapun, dua bulan kemudian iaitu pada 23 Ogos, kerajaan menurunkan harga runcit petrol RON97 sebanyak 15 sen menjadikannya RM2.55 seliter, ketika kadar inflasi bagi bulan Ogos meningkat kepada 8.5 peratus, manakala diesel sebanyak lapan sen menjadikannya RM2.50 seliter.

Pada 24 September lalu, kerajaan sekali lagi mengumumkan harga runcit petrol RON97 dan RON92 dikurangkan 10 sen iaitu masing-masing daripada RM2.55 seliter kepada RM2.45 seliter dan RM2.40 seliter kepada RM2.30 seliter.


Pada 14 Oktober pula, kerajaan menurunkan harga runcit petrol sebanyak 15 sen dan 20 sen bagi diesel ketika harga minyak mentah dunia berlegar sekitar AS$77 setong.

Terakhir, kerajaan menurunkan harga minyak sebanyak 15 sen pada hujung bulan lalu, menjadikan harga runcit dua bahan api itu masing-masing pada kadar RM2.15 dan RM2.05 seliter.


Konsert PROTES yg dicemari aksi lucah menunjuk pungkoq kepada penonton boleh disaksikan di:http://www.youtube.com/watch?v=iuZfAtwF8BU&eurl=http://tersurat-tersirat.blogspot.com/2008/07/protes-konsert-tonggeng.html