Tuesday, November 18, 2008

Koyak Permohonan: Ramasamy perlu kemuka bukti

PUTRAJAYA 17 Nov. - Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Profesor P. Ramasamy perlu membuat aduan kepada pihak berkenaan jika mempunyai bukti bahawa borang permohonan jawatan sektor awam daripada kaum bukan Melayu telah dikoyakkan tanpa diproses.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam berkata, Ramasamy pada masa yang sama perlu menamakan jabatan kerajaan tersebut secara spesifik.

''Untuk pihak JPA, saya memang tidak pernah menerima sebarang laporan bahawa borang permohonan jawatan daripada kaum bukan bumiputera telah dikoyakkan.

''Kenyataan Ramasamany tidak jelas, beliau tidak nyatakan secara spefisik sama ada perbuatan itu dikesan di kerajaan negeri, JPA, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) atau badan-badan berkanun kerajaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.


Beliau mengulas tindakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bayan Baru, Norman Zahalan yang membuat laporan polis terhadap Ramasamy berhubung kenyataannya mengenai isu dominasi orang Melayu dalam sektor awam di negeri itu.


Menurut Norman, laporan tersebut perlu kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh Ramasamy termasuk dakwaan terdapat ketua jabatan yang mengoyakkan borang permohonan bukan Melayu itu berbaur perkauman dan boleh mencetuskan perbalahan kaum di Pulau Pinang.


Khamis lalu ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang berlangsung, Ramasamy mengatakan bahawa kerajaan campuran negeri mahu memastikan pelantikan kakitangan awam di negeri tersebut seimbang bagi setiap kaum dan bukan didominasi oleh kaum tertentu sahaja.


Beliau turut menuduh UMNO sebagai penyebab berlakunya ketidakseimbangan dalam pengambilan kakitangan kerajaan.


Mengulas lanjut, Ismail berkata, beliau sedia menerima sebarang aduan membabitkan JPA daripada Ramasamy.


''Tetapi kalau aduan itu membabitkan jabatan-jabatan kerajaan negeri, maka ia bergantung kepada budi bicara kerajaan negeri untuk selesaikannya," katanya.


Ismail bagaimanapun berkata, tindakan mengoyakkan borang permohonan tidak mungkin berlaku dalam semua jawatan kerajaan kerana sistem permohonan secara dalam talian telah diaplikasikan secara meluas menggantikan cara permohonan konvensional.


''Ia umpamanya tidak mungkin melibatkan SPA kerana SPA telah memperkenalkan cara permohonan secara elektronik menggunakan Internet.

''Dalam keadaan ini, adalah tidak mungkin untuk pegawai SPA mengoyakkan apa-apa borang permohonan," katanya.