Tuesday, April 21, 2009

Bertanding atau tidak dalam Pilihan Raya Kecil Penanti


LONTARAN cadangan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perlu atau tidak parti itu meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti wajar dikaji secara serius oleh Majlis Tertinggi UMNO dan komponen BN.


Adalah wajib bagi BN menyertai Pilihan Raya Kecil DUN Penanti jika kekosongan kerusi berkenaan disebabkan keperluan Perlembagaan negara seperti mana di bawah Perkara 48 iaitu wakil rakyat kehilangan kerusi kerana status bankrap, dijatuhi hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan denda tidak kurang dari RM2,000 dengan tiada pengampunan, gagal menghantar penyata perbelanjaan pilihan raya sebelumnya serta sebab-sebab lain di bawah peruntukan berkenaan.


Dalam keadaan tersebut bukan sahaja BN perlu menyertai pilihan raya kecil malah ia mempunyai tuntutan moral sebagai parti politik yang bertanggungjawab serta memberi alternatif kepada pengundi.


Namun jika pilihan raya kecil akibat kegagalan kepemimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memilih calon yang berwibawa seperti mana yang berlaku di DUN Penanti dan DUN Bukit Selambau maka kita perlu menyoal apa perlunya BN membabitkan diri.


Ini kerana sama ada PKR atau BN yang akan memenangi kerusi DUN Penanti, ia tidak akan memberi sebarang kesan terhadap imbangan kuasa dalam DUN Pulau Pinang. Pakatan pembangkang tetap akan menerajui Kerajaan Negeri Pulau Pinang.


Sebab itu, langkah BN jika tidak menyertai pilihan raya kecil DUN Penanti kali ini tidak harus dilihat sebagai langkah mengelak perbelanjaan besar menguruskan Pilihan Raya Kecil tetapi kerana soal prinsip.


Belanja besar sama ada untuk menguruskan pilihan raya umum atau kecil tidak harus dijadikan alasan kerana Malaysia adalah sebuah negara demokrasi di mana suara rakyat wajib dijunjung kerana ia suara penentu.


Tindakan BN jika tidak bertanding adalah tindakan politik budiman yang akan memberikan ruang kepada Kerajaan Persekutuan BN serta Kerajaan Negeri pakatan pembangkang untuk menumpukan masa, fokus serta tenaga dalam menangani kemelut ekonomi.


Ekonomi Pulau Pinang yang amat bergantung kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan memerlukan tumpuan yang serius bagi mengelakkan masalah pengangguran.


Kegagalan kepemimpinan PKR untuk mencalonkan salah seorang ADUN daripada parti itu untuk menggantikan Mohammad Fairus Khairuddin sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 tidak boleh dijadikan alasan bagi menyalahgunakan proses demokrasi dengan mengadakan pilihan raya kecil secara berwewenang.


Kenapa Mohammad Fairus tidak boleh kekal sebagai ADUN Penanti sehingga proses perundangan (jika ada) yang kononnya menyelubungi beliau itu diselesaikan. Jika alasannya untuk menyambung pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah kenapa bertanding dalam pilihan raya umum ke-12?


Kalau tidak sanggup menjadi wakil rakyat kenapa bersetuju menjadi calon pilihan raya? Menjadi wakil rakyat adalah perkara serius bukan untuk dicuba-cuba atau dijadikan mainan.


Jika pucuk kepemimpinan PKR gagal menunjukkan keberanian politik untuk mencadangkan calon TKM 1 daripada kalangan ADUN PKR maka eloklah mereka membenarkan TKM 1 dilantik daripada salah seorang ADUN Pas di Pulau Pinang. Ini memandangkan ADUN Pas setakat ini terbukti tidak mempunyai masalah kewibawaan.


Selaku pemimpin defacto PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus mengambil tanggungjawab di atas kekalutan wibawa yang berlaku di dalam PKR.


Apa yang berlaku dalam PKR boleh diistilahkan sebagai kecelaruan akibat 'rakyat dibelakangkan' dan 'kepentingan diri diutamakan.'