Saturday, April 11, 2009

Terjemahan 2 pilihan raya kecil


Semenjak pengumuman bahawa tarikh Perhimpunan Agung UMNO jatuh pada 24 Mac dan berakhir pada 28 Mac 2009 lalu, parti-parti politik termasuk komponen Barisan Nasional (BN) dan seluruh rakyat amnya telah membayangkan bahawa sebuah kerajaan baru bakal dibentuk di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang baru.


Peralihan kepimpinan Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang kini di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak memberi nafas baru kepada corak pemerintahan negara.


Bagaimanapun semangat konsep "Satu Malaysia" yang diperkenal oleh Najib seakanakan menjadi saingan kepada konsep yang juga cuba diperkukuhkan oleh parti komponen dalam pakatan pembangkang seperti DAP dan PKR.


Trend pengundi zaman sekarang bukan lagi berdasarkan kepada banyak mana pembangunan yang mampu diberikan oleh BN walaupun ia amat penting bagi negara.


Politik pembangunan kini sudah menjadi faktor sampingan yang boleh diketepikan oleh pengundi bila-bila masa sahaja dan diterjemahkan oleh mereka pada pilihan raya.


Trend ini sebenarnya dapat dilihat melalui cita rasa pengundi bukan Melayu dan juga kecenderungan parti bukan Melayu dalam BN yang inginkan perubahan daripada segi agihan kuasa melalui komposisi pemerintahan negara.


Jika dilihat di Sabah dan Sarawak, kaum bukan Bumiputera seperti Cina dan India masih kurang. Tambahan pula pendedahan politik kebangsaan seperti yang berlaku di Semenanjung tidak terlalu dirasai.


Kebanyakan parti komponen BN di Sabah dan Sarawak juga adalah terdiri daripada masyarakat pribumi yang masih bergantung kepada peruntukan Perlembagaan dalam menjaga hak-hak mereka sebagai Bumiputera selain politik pembangunan yang masih diharapkan untuk mengubah taraf hidup masyarakat luar bandar.


Oleh itu, boleh dikatakan bahawa kecenderungan mereka kepada parti pemerintah (BN) masih kukuh disebabkan jaminan tersebut. Justeru, kemenangan BN di Sarawak adalah atas faktor tradisi ini.


Tetapi kekalahan BN di dua kawasan pilihan raya kecil iaitu Bukit Gantang dan Bukit Selambau menampakkan bahawa kaum bukan Bumiputera sebenarnya sudah tidak mengharapkan kepada politik pembangunan semata-mata.


Penulis berpendapat seakan-akan berlaku satu lonjakan tahap di mana sudah sampai ketikanya kaum bukan Bumiputera kini menginginkan agihan kuasa tertinggi dalam pemerintahan Malaysia bagi mewakili kaum mereka.


Ini penting kerana ia akan menjadi satu simbol pengiktirafan kepimpinan politik kaum bukan Bumiputera. Oleh demikian, kewujudan parti-parti liberal seperti PKR dan DAP merupakan pentas untuk melonjakkan keinginan agihan kuasa tertinggi dalam pemerintahan politik negara.


DAP sebelum ini telah mempelopori 'Malaysian Malaysia' yang mana menuntut supaya kuasa politik Malaysia bukan hanya dipegang oleh orang Melayu tetapi perlu juga mengambil kira semua kaum.


Namun di awal perjuangan DAP, sokongan daripada rakyat adalah kurang dan DAP tidak mempunyai teman parti politik khususnya daripada komposisi Melayu yang menyokong konsep liberalisme ekstrem mereka.


Sokongan PKR yang membuka keahlian pelbagai kaum selain keterbukaan Pas dalam melonggarkan konsep politik agamanya memberi kekuatan serta harapan bahawa suatu masa nanti kaum bukan Bumiputera boleh menjadi pemimpin tertinggi dalam negara.


Saat ini akan sentiasa menjadi impian dan idaman kepada kaum bukan Bumiputera yang kini sudah mempunyai parti alternatif untuk mengiktiraf kuasa politik mereka ke tahap yang lebih tinggi.


Perlu diingat bahawa komposisi kaum di Malaysia bukan lagi secara majoritinya daripada kaum Melayu.


Orang Melayu hanya sah dalam Perlembagaan negara tetapi daripada segi peratus sokongan pengundian, kuasa kaum Melayu sudah boleh dinafikan.


Seandainya, orang Melayu cuma ada lebih kurang 30 atau 40 peratus daripada penduduk Malaysia (di Semenanjung), kuasa politik Melayu hanya akan ditentukan sejauh mana Perlembagaan Malaysia masih wujud dan bertahan.


Maka, mungkin terbayang di fikiran kita, kalau pakatan pembangkang memerintah, adakah Perlembagaan masih wujud atau dibuat satu Perlembagaan alternatif mengikut cita rasa kerajaan yang memerintah.


Tidak hairanlah kalau calon Pas di Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaludin mampu mengekalkan penerimaan rakyat terhadapnya walaupun krisis politik di Perak dikatakan menampilkan sikapnya yang sebenar.


Krisis di Perak adalah satu pakej iaitu hala tuju kuasa politik kaum. Nizar dapat memerintah bukan kerana kuasa politik orang Melayu tetapi diangkat kerana sokongan alternatif daripada kaum bukan Bumiputera.


Dalam BN, kaum bukan Bumiputera juga telah lama menginginkan agihan kuasa yang saksama dalam pemerintahan tertinggi sama ada peringkat negeri atau negara.


Tetapi atas faktor sejarah dan tradisi serta budaya yang disemai sejak Parti Perikatan dulu, maka hasrat itu tidak pernah diluahkan oleh mereka.


Pengundi bukan Bumiputera sebenarnya tidak lagi mengharapkan parti-parti dalam BN untuk mengetengahkan cita-cita mereka sehinggalah mereka meletakkan harapan yang tinggi kepada parti alternatif seperti DAP dan PKR. Bagi penulis, walaupun PKR kini dipimpin oleh orang Melayu, namun adakah kitaran kepimpinan parti tersebut mesti diberi kepada orang Melayu?


Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan selama-lamanya memegang tampuk kepimpinan PKR. Sampai masanya, Anwar akan diketepikan.


Anwar sebenarnya hanya pengukuh kepada parti itu di persada politik negara. Setelah itu, parti tersebut akan digunakan sepenuhnya oleh kaum bukan Bumiputera untuk melonjakkan kuasa mereka setanding dengan kuasa politik orang Melayu.


Dalam menghubungkan faktor kekalahan BN dan cita-cita agihan kuasa bukan Bumiputera, penulis cuba mengaitkannya dengan beberapa saranan daripada parti komponen BN. Mereka juga inginkan pemerintahan tertinggi kerajaan diisi oleh orang bukan Melayu.


Cadangan tersebut sebenarnya sudah pun bergema selepas Pilihan Raya Umum 2008 lalu dan selepas Najib mengambil alih teraju kepimpinan baru-baru ini, timbul pula cadangan diwujudkan Timbalan Perdana Menteri Kedua untuk mewakili kaum bukan Bumiputera.


Mungkin inspirasi untuk mewujudkan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri itu dicedok daripada struktur kepimpinan di Pulau Pinang. Ada juga kemungkinan sistem penggiliran Ketua Menteri di Sabah pada masa lalu memberi asas kukuh agar perlunya mewujudkan jawatan tersebut kepada kaum bukan Melayu.


Bagaimana landskap politik Malaysia pada masa depan dengan perubahan besar yang dipamerkan oleh pengundi?


Bagaimana pula Najib akan mencorakkan politik negara dengan konsep Satu Malaysia yang pada pandangan penulis akan memperbanyakkan peluang dan tuntutan daripada kaum bukan Bumiputera serta seluruh rakyat.


Apa pun hakikat yang harus diterima semua ialah kekalahan BN di Bukit Gantang dan Bukit Selambau adalah manifestasi daripada impian kuasa politik yang dipendam sejak sekian lama oleh kaum bukan Bumiputera di negara ini.


Tidak dapat tidak, hakikat ini mesti diterima dalam politik Malaysia pada hari ini.
UMNO dan BN tidak mempunyai banyak masa bagi menstrukturkan semula politik negara kerana prasyarat kepada pembangunan, kesejahteraan dan ekonomi adalah kemampuan kerajaan mengurangkan konflik politik supaya usaha mengurus negara tidak akan sentiasa terganggu.